Menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Menurut laporan Harian Metro yang memetik sumber New Straits Times (NST), dakwaan terbabit disokong dengan beberapa gambar yang memaparkan Adlan bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat.
Ahli perniagaan itu dilaporkan telah ‘melarikan’ diri lebih dua tahun lalu dan sedang dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.
Artikel berkaitan: SPRM Akan Minta Bantuan Interpol Cari Menantu Muhyiddin & Peguam, Lari Lepas Tersenarai Dalam ‘Wanted List’
Artikel berkaitan: SPRM Sita Duit Bernilai RM38 Juta & Emas 200KG Milik Seorang Datuk Terlibat Penyeludupan Barang Haram
Menurut maklumat yang diperoleh oleh NST, Adlan dipercayai kerap keluar masuk ke negara berkenaan untuk urusan luar negara, termasuk ke Thailand untuk bermain golf dan menembak.
SPRM sebelum ini memaklumkan bahawa Adlan kini menetap di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
Adlan meninggalkan Malaysia ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas Muhyiddin didakwa atas kes rasuah. Peguamnya, Mansoor Saat, turut melarikan diri ke Jakarta empat hari kemudian.
Mansoor juga berdepan dakwaan pecah amanah jenayah yang berkaitan dengan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS), yang dibiayai melalui sukuk bernilai RM595 juta.
Projek NERS itu pada asalnya bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik.
Bagaimanapun, siasatan mendapati hampir RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sepatutnya digunakan untuk membayar balik sukuk, diselewengkan.
SPRM mengaitkan Adlan dan Mansoor dengan kes tersebut, yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, kedua-duanya pernah mengeluarkan kenyataan melalui peguam masing-masing menafikan bahawa mereka melarikan diri untuk mengelak daripada pendakwaan.
Sumber: Harian Metro