Setiap negara mempunyai peraturan dan undang-undang yang berbeza, dan ia tidak semestinya sama seperti di negara kita. Apa yang nampak biasa di sini mungkin boleh dianggap salah atau menyalahi undang-undang di negara lain, bahkan boleh menyebabkan kita didenda atau ditahan jika melanggarnya.
Kadang-kadang, benda harian yang kita dah biasa buat dekat negara kita, mestilah kita akan anggap takkan ada masalah. Tapi, rupanya ada beberapa barang yang langsung tak dibenarkan di negara lain.
Jadi, sebelum korang melancong ke mana-mana negara, elok juga tahu apa yang dilarang di sana. Berikut adalah antara 6 barang harian yang nampak biasa tapi sebenarnya diharamkan di negara lain.
1. Kanada mengharamkan baby walker
Penggunaan ‘baby walker’ ni sememangnya perkara biasa bagi kita dalam mendidik bayi untuk mula belajar berjalan. Kita juga anggap ia sebagai salah satu langkah awal dalam membantu mereka berdikari, di samping kelihatan comel bila si kecil ‘meronda’ dalam ronda dengan ‘baby walker’.
Selain itu, ‘baby walker‘ turut dianggap memudahkan kerja ibu bapa sementara mereka menguruskan hal sendiri, di mana bayi boleh bergerak bebas tanpa dibiarkan terbaring je. Tapi sebaliknya di Kanada, alat ni telah diharamkan sejak tahun 2004.
Hal ini kerana, Kerajaan Kanada mendapati bahawa alat ‘baby walker‘ ni boleh menyebabkan kecederaan serius. Bayi yang terlalu laju bergerak boleh menyebabkan mudah untuk jatuh tangga, terlanggar objek tajam atau pergi ke kawasan berbahaya seperti dapur.
Lebih mengejutkan juga, kajian mendapati penggunaan ‘baby walker‘ ini boleh melambatkan perkembangan otot dan keseimbangan bayi, menjadikan cara yang terbaik untuk mendidik anak kecil belajar berjalan adalah dengan cara cuba berjalan sendiri dan bukan melalui bantuan alat ini.
Sekiranya korang tertangkap memiliki atau menjual ‘baby walker‘ di sana, korang boleh dikenakan denda sehingga RM300,000 atau lebih teruk lagi adalah dengan berdepan dengan hukuman penjara.
Artikel penuh: Bau Ketiak Pun Dapat Duit? Ini 5 Pekerjaan Paling Pelik Dalam Dunia – Lobak Merah
Artikel penuh: 8 Bandar Paling Berbahaya Di Dunia Untuk Dilawati, Ini Sebabnya… – Lobak Merah
2. Australia melarang bunga api
Negara kita sangat sinonim dengan bunga api dan mercun. Tak kisahlah apa pun momen yang disambut, sama ada hari perayaan atau sambutan Hari Kebangsaan, atau majlis kahwin sekalipun, pasti ada bunga api. Langit negara kita sentiasa penuh dengan cahaya warna-warni, bahkan kita juga suka menantikan detik-detik letupan itu.
Tapi lain pula ceritanya di Australia. Negeri seperti New South Wales melarang individu biasa membeli, memiliki atau menyalakan bunga api tanpa lesen yang sah. Hanya individu yang memiliki lesen pyrotechnician atau Fireworks (Single Use) Licence (FSUL) saja dibenarkan untuk mengendalikan bunga api. Lesen ini hanya sah untuk satu acara sahaja seperti majlis komuniti atau perayaan yang dibuka kepada orang ramai.
Hal ini kerana, Australia sering berdepan dengan kebakaran hutan besar dan bunga api dianggap sebagai antara penyumbang risiko utama. Pelanggaran undang-undang ini boleh dikenakan denda sehingga AUD 27,5000 atau hukuman penjara sehingga 12 bulan.
Jadi, andai kata korang bercadang nak menyalakan bunga api di Australia, pastikan mendapat lesen yang sah di samping mematuhi peraturan tempatan.
3. UAE mengharamkan barang keagaaman
Bagi pelancong yang ingin melawat United Arab Emirates (UAE), disarankan untuk tidak membawa sebarang peralatan yang berunsur keagamaan bukan Islam seperti salib Kristian atau kitab agama lain. Negara ini mempunyai undang-undang ketat bagi menjaga keharmonian agama dan melindungi sensitiviti penduduk tempatan. Barangan ini boleh dirampas di lapangan terbang, malah boleh menyebabkan siasatan lanjut dijalankan.
Walaupun UAE secara umumnya menghormati kebebasan beragama, namun negara ini tetap menetapkan batasan tertentu. Contohnya, undang-undang persekutuan melarang gereja daripada memasang menara loceng atau memaparkan salib dan simbol keagamaan lain di luar premis mereka bagi tujuan mengelakkan sebarang gambaran yang boleh dianggap penyebaran agama secara terbuka. Hal ini kerana, ia dikatakan takut boleh menyinggung sensitiviti umat Islam di negara tersebut.
Sesetengah pelancong menganggap perkara ini sedikit pelik, namun undang-undang ini dibuat demi menghormati budaya dan pegangan agama di sana.
4. Fesyen camo diharamkan di beberapa negara Timur Tengah
Pemakaian fesyen camo (camouflage) ini memang nampak cool di sesetengah mata orang kerana terdapat elemen corak tentera, namun tak semua negara boleh menerima pemakaian corak tersebut. Kalau korang bercadang nak melancong ke negara seperti Jamaica, Barbados atau Saint Lucia, mungkin perlu fikir dua kali sebelum menggunakan seluar atau baju corak camo di sana.
Di negara-negara ini, pakaian bercorak tentera adalah eksklusif untuk anggota keselamatan sahaja. Orang awam yang memakainya berisiko disalah anggap sebagai askar atau pemberontak dan situasi sebegini boleh menjadi masalah besar. Malah, pihak berkuasa jugak tidak main-main dengan peraturan ini kerana ia berkait dengan isu keselamatan awam.
Selain negara Caribbean, beberapa negara di Afrika, Zambia, Zimbabwe dan Mesir juga mempunyai undang-undang yang ketat mengenai pemakaian corak camo ini. Meskipun corak itu dipakai pada beg atau aksesori saja, ia juga dilarang bagi orang awam untuk menggunakannya.
5. Korea Utara mengharamkan seluar jeans biru
Dalam banyak perkara yang boleh diharamkan, Korea Utara telah memilih untuk mengharamkan seluar jeans biru ini kerana ia dianggap sebagai simbol budaya negara Barat, khususnya Amerika Syarikat. Kerajaan negara tersebut menganggap jeans sebagai lambang kapitalisme dan imperialisme yang bertentangan dengan nilai sosialis yang mereka pegang teguh.
Selain itu, Korea Utara juga tidak membenarkan pemakaian seluar jeans yang ketat, koyak atau berwarna biru. Pakaian yang dibenarkan adalah seluar longgar berwarna hitam sebagai alternatif yang lebih sesuai dengan nilai negara tersebut.
Walaupun undang-undang ini ketat bagi rakyat tempatan, pelancong asing masih boleh memakai seluar jeans biru ketika melancong ke negara tersebut. Namun, pelancong dilarang memakai seluar jeans biru ini serta diwajibkan memakai pakaian formal ketika melawat tempat-tempat bersejarah seperti Kumsusan Palace of the Sun dan Mansudae Grand Monument.
Meskipun peraturan ini tidak tertakluk pada pelancong asing sepenuhnya, tapi ia masih disarankan untuk korang memakai pakaian yang longgar dan sopan sepanjang berada di negara tersebut atas dasar menghormati undang-undang tempatan.
6. Singapura mengharamkan chewing gum
Isu Singapura mengharamkan chewing gum adalah antara isu yang hampir kita semua tahu, malah masih ada segelintir mempunyai tanda tanya kenapa ia boleh diharamkan di negara tersebut.
Larangan ini mula diharamkan sejak tahun 1992, apabila kerajaan sudah tidak tahan dengan masalah sampah dan kerosakan harta benda awam akibat orang awam yang suka buang chewing gum merata-rata tempat termasuklah pernah menjadi punca ia tersangkut di pintu MRT.
Tapi tidak semua chewing gum ini dikatakan diharamkan sepenuhnya, antara chewing gum yang masih dibenarkan untuk rakyatnya membeli adalah sekiranya untuk dasar perubatan seperti usaha berhenti merokok.
Walaupun undang-undang ini kelihatan remeh, namun ia berjaya menjadikan Singapura antara negara paling bersih di dunia.
Kesimpulannya, benda yang nampak biasa bagi kita ni belum tentu boleh diterima di tempat lain sebab setiap negara ada sebab dan sejarah di sebalik larangan mereka. Jadi bila melancong, eloklah kita buat sedikit kajian sebelum tersilap langkah. Jangan disebabkan hanya kerana terbawa sebatang chewing gum, kita boleh dikenakan hukuman denda di negara orang.
Sumber: The Merge