“Penonton suka sangat” – Selama 3 Dekad, Filem Klasik Bollywood Ini Masih Lagi Relevan Ditayang Di Pawagam

13 hours ago 7

Memang tidak dapat dinafikan, ramai dalam kalangan kita membesar dengan menonton filem-filem Bollywood yang penuh dengan kisah kekeluargaan, percintaan dan nilai budaya yang tersendiri. Antara filem yang masih kekal diingati sampai hari ini termasuklah Kabhi Khushi Kabhie Gham, Kuch Kuch Hota Hai dan Mohabbatein.

Waktu tu boleh dikatakan memang dahsyat betul fenomena filem Bollywood. Dari situ jugalah kita mula kenal barisan pelakon popular seperti Shah Rukh Khan, Kajol, Amitabh Bachchan, Salman Khan dan ramai lagi.

Tapi korang tahu tak, ada satu filem klasik Bollywood yang masih lagi ditayangkan di pawagam sampai hari ini selama 30 tahun berturut-turut? Rupanya filem ni tak pernah berhenti ditayangkan sejak tahun 1995!

Kalau korang nak tahu filem apa dan kenapa ia masih relevan di pawagam, boleh teruskan baca artikel di bawah.

Filem Dilwale Dulhania Le Jayenge

ddlj yashraj filem

Filem Dilwale Dulhania Le Jayenge atau lebih dikenali dengan singkatan DDLJ ini mula ditayangkan pada tahun 1995. Filem ini dibintangi oleh dua pelakon popular iaitu Shah Rukh Khan dan Kajol.

Filem ini mengisahkan tentang dua anak muda berketurunan India, Raj Malhotra dan Simran Singh, yang dibesarkan di London. Mereka bertemu ketika dalam perjalanan menjelajah ke Eropah, dan dari situlah bermulanya kisah cinta yang tidak disangka.

Namun, percintaan mereka diuji apabila Simran dijodohkan dengan pilihan keluarganya di India, menyebabkan Raj terpaksa berjuang untuk menambat hati bapa Simran bagi membuktikan keikhlasan cintanya.

Filem arahan Aditya Chopra ni bukan sahaja telah menaikkan populariti Shah Rukh Khan dan Kajol sebagai pasangan romantik dan ikonik dalam sejarah Bollywood, malah ia menjadi fenomena budaya di seluruh dunia. Filem ini juga berjaya diiktiraf sebagai antara filem Hindi paling berjaya pada waktu itu.

Artikel Berkaitan: Bekas Suami Pelakon Bollywood Karisma Kapoor Meninggal Dunia Diserang Sakit Jantung Lepas Tertelan Lebah – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Insiden Tik*m Saif Ali Khan Didalangi ‘Orang Dalam’, Polis Tahan 3 Individu – Lobak Merah

Konflik identiti budaya

ddjl kajol

Sejak ia ditayangkan, DDLJ kekal menjadi antara filem pilihan ramai untuk ditonton berulang kali walaupun ada banyak filem romantik yang lain muncul.

Hal ini kerana, filem ini mencerminkan konflik nilai dan identiti budaya dalam kalangan masyarakat India moden yang hidup di perantauan. Misalnya, watak Raj dan Simran adalah dua anak muda India yang dibesarkan di London, menunjukkan berlakunya pertembungan antara gaya hidup Barat dan nilai tradisional yang masih dipegang kuat oleh keluarga mereka.

Pengkritik filem bernama Baradwaj Rangan berkata bahawa filem ini masih kekal di hati penonton sebab India sendiri masih melalui fasa pertembungan antara nilai tradisional dan moden.

Filem ni sangat menunjukkan budaya orang India, sebab tu orang masih suka tengok sampai sekarang,” katanya.

Menurut CNN, tema yang ditekankan dalam filem ni dikatakan berjaya menyentuh hati ramai penonton terutamanya mereka yang sedang berdepan dilema antara mengejar kebebasan diri tanpa melupakan asal-usul budaya mereka.

Mementingkan restu ibu bapa dalam hal percintaan 

ddjl restu

Masih ada segelintir masyarakat India yang mengamalkan perkahwinan yang diaturkan oleh ibu bapa mereka kerana mereka menganggap restu keluarga itu jauh lebih penting daripada kehendak hati sendiri.

Menurut pengarah DDLJ, Aditya Chopra merasakan filem-filem pada zaman itu sering menggambarkan cinta sebagai sesuatu yang memberontak dan tidak disenangi oleh ibu bapa.

Selalu dalam filem, bercinta tu macam sesuatu yang akan menentang ibu bapa dan perkara tu sebenarnya buat saya rasa tak selesa,” katanya ketika mengulas tentang filem tersebut.

Sebab itu, apa yang membezakan filem ini dan filem romantik lain adalah cara Raj menunjukkan cintanya terhadap Simran di mana dia tidak cuba melarikan Simran walaupun keluarganya ingin menjodohkan Simran dengan lelaki lain. Sebaliknya, Raj berjuang untuk mendapatkan kepercayaan dan persetujuan daripada ayah Simran.

Pendekatan ini bukan saja memaparkan keindahan cinta sejati antara dua insan, tetapi juga menekankan nilai penting restu ibu bapa iaitu perkara yang paling dekat di hati masyarakat India.

Perubahan sosioekonomi India 

ddjl hmmm

Filem ini juga ditayangkan pada waktu India sedang melalui fasa liberalisasi ekonomi dan pembukaan kepada dunia luar. Jadi, filem ini ibarat menyentuh generasi muda India pada waktu itu yang ingin mempunyai kebebasan dengan perubahan global, tapi terikat dengan akar budaya sendiri.

Secara tak langsung, filem ini seolah-olah mengajar peralihan masyarakat India ke arah dunia yang lebih moden tanpa meninggalkan identiti tradisional mereka.

Diangkat menjadi monumen budaya 

ddjl monumen budaya

Selepas 3 dekad tayangan tanpa henti, DDLJ kini bukan lagi sebuah filem klasik kerana ia sudah menjadi monumen budaya dalam sejarah perfileman di India. Filem ini telah ditayangkan tanpa henti sejak tahun 1995.

Setiap hari, pawagam yang masih menayangkan DDLJ ini seolah-seolah sudah menjadi ritual harian kerana masih ada penonton setia yang datang hanya untuk menghidupkan semula kenangan lama.

Fenomena ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa DDLJ berjaya melampaui sempadan zaman dan generasi. Hal ini kerana, filem ini bukan hanya milik mereka yang pernah menonton pada era 90-an, malah penonton muda hari ini juga amat meminati filem ini.

Zaman sekarang ni, kita banyak tengok hubungan yang macam bersifat ‘give and take’ je. Tapi dalam filem ni, hero dia sanggup buat apa saja demi cinta tanpa mengharapkan apa-apa balasan pun,” kata penonton bernama Omkar Saraf, 23, kepada media antarabangsa.

Media antarabangsa menyifatkan bahawa kejayaan filem ini lebih daripada sekadar kejayaan komersial kerana karyanya bukan saja merangkum semangat generasi yang memandang ke Barat, tapi filem ini masih lagi menekankan untuk tidak lupa pada asal usul budaya mereka di tanah India.

Maka, filem ini kekal menjadi simbol kepada era perubahan iaitu ketika India sedang berkembang pesat dan masyarakatnya mula membuka diri terhadap dunia, di samping bangga dengan akar tradisi mereka.

Pernah cuba untuk menghentikan tayangan 

ddlj al jazeera

Pada tahun 2015, pihak pawagam pernah mencadangkan untuk menghentikan tayangan harian DDLJ ini selepas mencapai 1,000 minggu tayangan. Namun, keputusan untuk menghentikan tayangan tersebut mendapat protes daripada peminat.

Protes daripada peminat itu dikatakan menyebabkan pihak pawagam dan pengurusan filem menarik balik keputusan tersebut dan meneruskan tayangan harian seperti sedia kala. Insiden ini jelas mengambarkan betapa filem ini menjadi satu ikon budaya yang rakyat India tidak mahu melupakannya.

Menurut Harian Metro, satu-satunya masa tayangan filem itu pernah dihentikan adalah ketika tempoh sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19 pada tahun 2020 dan itu pun hanya beberapa bulan sahaja.

Reaksi barisan pelakon 

pelakon ddlj

Sempena ulang tahun ke-30 filem ini, Shah Rukh Khan juga mengimbau kembali kenangan dan penghargaan yang pernah diterimanya daripada peminat menerusi wataknya iaitu Raj.

Saya sendiri rasa macam tak percaya sudah 30 tahun sejak Dilwale Dulhania Le Jayenge ditayangkan. Saya benar-benar bersyukur atas semua sokongan yang diterima daripada orang ramai di seluruh dunia kerana membawa watak Raj. Tiada siapa pun dapat menjangka sejauh mana filem ini akan melekat di hati penonton,” katanya dalam sebuah temu bual bersama Variety. 

Pelakon itu juga menzahirkan penghargaan terhadap seluruh tenaga produksi yang menjayakan filem tersebut sambil menegaskan bahawa kejayaan terbesar filem itu berpunca daripada keikhlasan semua pihak terutamanya pengarah Aditya Chopra.

Sementara itu, Kajol yang melakonkan watak Simran berkata bahawa wataknya itu telah mewakili jutaan gadis di India.

“Penonton yang menonton filem ini ketika berusia 16 tahun kini menontonnya semula bersama anak-anak mereka. Setiap tahun, penghargaan mereka terhadap filem ni makin mendalam, menunjukkan betapa berjayanya perfileman India menggambarkan impian dan keindahan cinta,” jelasnya.

Kajol juga sempat berkongsi tentang keserasian luar biasa antara dirinya bersama Shah Rukh Khan bahawa mereka seperti mempunyai satu kefahaman, rentak dan kepercayaan yang menjadikan gandingan mereka kelihatan sempurna.

Mungkin penonton filem ini di India merasakan mesej yang disampaikan terlalu dekat dengan realiti kehidupannya mereka. Jadi, bila mesej dan emosi dalam filem tu betul-betul sampai pada isi hati penonton, tidak hairanlah kenapa sampai sekarang masih ramai yang sanggup ulang tonton DDLJ di pawagam.

Sumber: CNN, Al Jazeera, Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |