syaz ft 2025 10 23T104457.463

Kegembiraan sekumpulan rakan bermain badminton bertukar tragedi apabila seorang lelaki berusia 35 tahun tiba-tiba rebah di gelanggang sebelum disahkan meninggal dunia meskipun diberikan bantuan kecemasan.

Mangsa, Li Jiaxian, difahamkan sedang bermain bersama beberapa rakan di sebuah dewan badminton di sekitar Seremban 2, Negeri Sembilan malam semalam apabila dia secara tiba-tiba berasa tidak selesa dan rebah.

Rakan-rakannya segera bergegas memberikan bantuan kecemasan termasuk rawatan CPR (bantuan pernafasan kecemasan) serta menggunakan alat penyahgegaran jantung automatik (AED) yang disediakan di dewan berkenaan.

Menurut Sin Chew Daily, ketika kejadian, mereka hanya bermain secara santai. Namun, ketika perlawanan hampir tamat, mangsa dilihat menunjukkan reaksi kesakitan sebelum rebah dan tidak lagi memberi respon.

“Semuanya berlaku terlalu pantas. Kami cuba sedaya upaya menyelamatkannya, tapi dia sudah tidak bernafas,” kata seorang rakannya dalam keadaan sebak.

Siasatan awal mendapati, Li merupakan seorang suami dan bapa, beliau mempunyai sepasang anak kecil dan isterinya kini sedang hamil anak ketiga yang dijangka lahir hujung bulan ini.

Pasangan berkenaan baru sahaja membeli rumah baharu dan menantikan kehidupan baru bersama keluarga.

Rakan-rakan mengenali Li sebagai individu yang aktif bersukan dan gemar melakukan aktiviti luar. Dia juga dikatakan memiliki tubuh badan yang sihat serta tidak pernah mengadu sebarang masalah kesihatan serius, kecuali keputusan pemeriksaan perubatan baru-baru ini yang menunjukkan tekanan darahnya sedikit tinggi.

Sumber: Sin Chew Daily

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.