Satu tragedi telah berlaku pada malam Deepavali lepas apabila sebanyak 22 orang awam cedera termasuk seorang lelaki yang mengalami kecederaan serius pada dahi akibat insiden letupan mercun di Jalan Paya Besar, Kulim.
Menurut Astro AWANI, Ketua Polis Daerah Kulim Supt Zulkifli Azizan berkata, kejadian ini berlaku pada jam 12.45 malam (20 Oktober) dan disedari anggota yang membuat rondaan pencegahan jenayah yang melihat kesesakan lalu lintas dengan kehadiran orang ramai di tepi jalan Paya Besar.
Susulan kejadian berkenaan, dua lelaki telah ditahan semalam bagi membantu siasatan yang menyebabkan 22 orang awam cedera.
Mereka dilaporkan ditahan secara berasingan di Taman Senangin dan Paya Besar. Menurut Zulkifli, lelaki pertama berusia 34 tahun yang beralamat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, manakala suspek kedua berusia 23 tahun bekerja sebagai pembantu kedai dan beralamat di Jalan Paya Besar, Lunas.
Kedua-duanya adalah sahabat lama dan semakan mendapati mereka masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau, namun ujian air kencing negatif dadah,” katanya.
Artikel berkaitan: Main Mercun Tanpa Kebenaran Boleh Dihukum Penjara Atau Denda – KPN
Artikel berkaitan: Kereta Terbalik Gara-gara Budak Lempar Mercun Ke Dalam Lubang Kumbahan
Mercun dibakar tidak naik, meletup di bawah
Hasil siasatan juga mendapati kejadian berlaku ketika mereka sedang melepak bersama beberapa rakan di kawasan berkenaan.
Katanya, suspek pertama yang dalam keadaan mabuk telah mengambil mercun jenis kelapa yang dijual di khemah berhampiran pada harga RM200 dan memasukkannya ke dalam silinder yang tersedia di tepi jalan.
Suspek kedua kemudian membakar mercun itu tetapi ia tidak naik, sebaliknya meletup di bawah, disyaki akibat dipasang secara terbalik oleh suspek pertama.
Akibat letupan itu, 22 orang yang berada di kawasan itu mengalami kecederaan termasuk seorang mangsa parah di kepala dan retak tengkorak.
“Mangsa dirujuk ke Hospital Pulau Pinang serta masih tidak sedarkan diri,” katanya.
@mamadodo95Mercun meletop bawah naya …#payabesar #depavali #fyp
♬ bunyi asal – Din Omar – Din Omar
Setakat ini seramai 10 orang mangsa diambil keterangan untuk membantu siasatan, manakala penjual mercun pula sudah dikenali pasti.
Permohonan reman kedua-dua suspek akan dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, video mengenai insiden ini juga tular di media sosial memaparkan beberapa mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan kaki akibat daripada letupan mercun yang kuat itu.
Sumber: Harian Metro, Astro AWANI