Seorang lelaki yang dilaporkan maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor pada petang Isnin, merupakan pekerja kepada usahawan terkenal, Rozita Ibrahim.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Bonda Rozita berkongsi perkara itu di media sosial, mendakwa kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku jika keselamatan diutamakan.
“Dalam sekelip mata, pokok besar jalan utama menuju ke Genting, tumbang menghempap kereta Hilux milik syarikat Bonda.
“Nyawa staf kami yang masih muda, bongsu dalam keluarga, baru berusia 20 tahun, diragut dalam tragedi ngeri ini. Sedekahkan al-Fatihah kepada arwah Ahmad Al Faruq.”
Artikel berkaitan: Bela German Shepherd Untuk Tujuan Keselamatan, Video Bonda Rozita Bawa 2 Ekor Anjing Bersiar Tarik Perhatian Ramai
Artikel berkaitan: 2 Pelancong China Maut Kereta Dihempap Pokok & Runtuhan Bangunan Selepas Ribut Di Pulau Pinang
Tegasnya, kejadian itu bukan sekadar takdir, sebaliknya berpunca daripada kelalaian manusia apabila keselamatan diabaikan.
“Anak muda staf ini datang bekerja mencari rezeki halal, penuh semangat. Belum pun sempat meniti dewasa, kini pergi dijemput Ilahi.
“Ini bukan sekadar takdir, ini kelalaian manusia bila keselamatan diabaikan,” ujarnya.
Dalam perkongsian itu, Bonda Rozita menggesa pihak berkuasa agar menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden pokok tumbang terbabit yang mengorbankan pekerjanya.
“Saya amat berharap pihak kerajaan ambil tindakan tegas atas insiden ini.
Kemalangan ini bukan di resort Bonda, tapi kesan pencemaran sungai & pokok hutan yang tidak dipantau boleh mengancam tetamu dan binaan.
“Bina resort bukan sekadar pacak bangunan tanpa lesen, mudah kalau tak ikut undang-undang!”
Terdahulu, polis mengesahkan kemalangan maut membabitkan seorang lelaki yang kenderaannya dihempap pokok di Jalan Batang Kali berhampiran sebuah chalet berpunca daripada hujan lebat dan angin kuat.
Sumber: Instagram, Berita Harian