syaz ft 2025 10 23T160940.649

Polis Melaka yang diketuai Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar hari ini membuat lawatan mengejut ke sebuah sekolah di negeri itu bagi memastikan sekolah berada di dalam keadaan selamat.

Beliau turut berharap usaha ini dapat diteruskan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Artikel berkaitan: KPM Laksana Pelan 11 Langkah Keselamatan Sekolah, Kuasa Rotan Disemak Semula

Artikel berkaitan: Pelajar Sekolah Cipta Inovasi Berasaskan Kubis Ungu, Mampu Kesan Kewujudan Pewarna Tiruan Dalam Makanan

“Bermula hari ini kita adakan pemeriksaan ini secara berterusan setiap hari membabitkan kira-kira 336 sekolah di Melaka.

Kita juga akan periksa telefon bagi memastikan ia tidak mengandungi sebarang bahan (kandungan) yang dilarang terutamanya lucah serta pastikan mereka tidak membawanya ke sekolah,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap statistik kes jenayah pelajar di Melaka sepanjang tahun ini, punca utama masalah tersebut sebenarnya bermula dari rumah dan bukan semata-mata tanggungjawab pihak sekolah.

“Mengikut kajian kita, memang semuanya bermula di rumah, jadi ibu bapa kena memainkan peranan untuk pastikan anak-anak tidak membawa barang-barang terlarang ke sekolah, pantau kehidupan sosial termasuk penggunaan telefon bimbit mereka.

Kita tidak boleh hendak harapkan guru saja, contohnya sekolah ini ada 1,500 pelajar dan guru 78 orang, tentunya sukar untuk memantau semua pelajar dan mungkin ada satu dua yang terlepas bawa barang terlarang,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa hasil pemeriksaan yang dijalankan di sekolah tidak menemukan sebarang kes jenayah berat, sebaliknya hanya kesalahan kecil seperti pelajar membawa daun terup dan telefon bimbit yang kemudian diperiksa kandungannya bagi memastikan tiada bahan terlarang.

Dalam pada itu, Dzulkhairi turut berkongsi perkembangan positif apabila kes jenayah melibatkan pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun di negeri tersebut mencatat penurunan ketara bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebanyak 68 kes direkodkan tahun ini berbanding 91 kes pada tahun sebelumnya di tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Daripada jumlah itu, 24 kes membabitkan jenayah kekerasan manakala 20 kes jenayah harta benda.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.