KPM Laksana Pelan 11 Langkah Keselamatan Sekolah, Kuasa Rotan Disemak Semula

1 day ago 11

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan 11 langkah tambahan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat untuk meningkatkan aspek keselamatan dan menangani isu disiplin murid di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian tersebut, bagi memperkukuh infrastruktur keselamatan, KPM memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi tujuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti. Peruntukan ini adalah tambahan kepada RM3 juta yang diperuntukkan sebelum ini.

Dalam aspek sokongan psikososial dan pengurusan pula, seramai 10,096 guru baharu, termasuk lebih 500 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling, akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara pada November 2025 bagi memenuhi keperluan semasa dan meningkatkan aspek psikososial murid.

LM Gambar Hiasan Guru 2

Selain itu, seramai 600 orang Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP. Pelantikan ini bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan murid asrama dan mengurangkan beban tugas Warden Asrama.

KPM turut memperkukuhkan Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk fungsi Pegawai Penghubung Sekolah. PDRM akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan KPM. Fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat JPN dan PPD juga akan terus diperkasakan untuk membantu dari aspek psikososial dalam situasi krisis.

Di dalam pengurusan disiplin, KPM menekankan peningkatan peranan Pengetua dan Guru Besar serta Jawatankuasa Disiplin dalam menangani isu-isu disiplin murid di sekolah. Peraturan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa pada waktu ini turut melibatkan kuasa merotan murid, menggantung sekolah dan membuang sekolah.

367922

Pengetua dan Guru Besar juga diberi kuasa untuk menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan murid berdasarkan keperluan. Walau bagaimanapun, KPM kini sedang dalam proses menggubal semula peraturan disiplin murid.

Perkara ini disambut baik oleh guru dan ibu bapa dengan rata-rata bersetuju sekiranya tindakan merotan itu tidak keterlaluan, mempunyai garis panduan yang khusus, selain perkara tersebut perlu diuar-uarkan kepada ibu bapa menerusi satu surat rasmi atau memo bagi mengelakkan guru ‘diserang’ sekiranya anak mereka dirotan.

Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) pula akan diteliti semula dan ditambah baik, serta perlu digunakan secara proaktif untuk mengurus isu disiplin.

Artikel berkaitan : 2 Guru Didakwa Kerana Rotan Pelajar Hingga Cedera

Artikel berkaitan : “Tak bermaksud kes disembunyikan” – Fadhlina Sidek Tampil Perjelas Maksud ‘Sembunyi Bawah Karpet’

Dalam pada itu, Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh waktu terdekat bertujuan melindungi murid di sekolah. Suara guru dan murid di sekolah perlu diberi perhatian melalui sesi pertemuan dan dialog, termasuk inisiatif ‘kotak suara murid’ yang selaras dengan syor UNICEF.

KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan memperkukuhkan program saringan kesihatan mental bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam, termasuk intervensi dan sokongan psikososial yang berterusan untuk murid.

KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan aspek keselamatan institusi pendidikan dan menangani isu disiplin murid , dan menyeru semua pihak bekerjasama bagi mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan.

Sumber : KPM

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |