Malaysia Jadi Tuan Rumah Asean Summit 2025, Tapi Apa Sebenarnya Yang Dibincangkan Dalam Asean Summit?

16 hours ago 7

Suasana di ibu negara kita semakin meriah dan sibuk dengan kehadiran pemimpin-pemimpin luar negara sempena ASEAN Summit 2025 yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini. Disebabkan ketibaan mereka ini juga, ia membawa kepada penutupan jalan raya besar-besaran di sekitar kawasan Kuala Lumpur bagi tujuan keselamatan dan kelancaran acara.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama sidang kemuncak yang telah diadakan di Malaysia. Cumanya, perjumpaan kali ke-47 ASEAN Summit ini dikatakan berbeza dengan pertemuan terdahulu kerana kali ini ia dijangka lebih signifikan pada isu ekonomi dan kerjasama serantau, di samping memfokuskan agenda baharu seperti transformasi digital, ekonomi hijau dan isu keselamatan siber serantau.

Tapi, apa benda ASEAN Summit ni dan kenapa ia penting sampaikan negara kita sedang sibuk untuk membuat persiapannya?

Penubuhan ASEAN

asean dulu ecentral

ASEAN atau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara mula dibentuk pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand. Penubuhan ini dimeterai melalui Deklarasi ASEAN yang juga dikenali sebagai Deklarasi Bangkok oleh lima negara pengasas iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Sejak itu, ASEAN terus berkembang dengan penyertaan negara-negara baharu seperti Brunei pada tahun 1984, diikuti dengan Vietnam pada tahun 1995, serta Laos dan Myanmar pada tahun 1997. Kemboja menjadi anggota terakhir yang menyertai pada tahun 1999, menjadikan keseluruhan 10 negara anggota dari rantau Asia Tenggara seperti yang kita kenal hari ini.

Artikel Berkaitan: Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Dilantik Jadi Pengiring Presiden Donald Trump – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Putin Dijangka Hadir Ke Sidang Kemuncak ASEAN Hujung Minggu Ini – Lobak Merah

Tujuan penubuhan 

logo asean ecentral

Motto ASEAN ialah “One Vision, One Identity, One Community”. Motto ini mencerminkan aspirasi dan semangat kerjasama dalam membina sebuah komuniti yang bersatu, aman dan berdaya saing di kalangan negara-negara anggota. Ia menekankan kepentingan visi bersama, identiti serantau yang kukuh serta usaha kolektif dalam mencapai kemakmuran dan kestabilan Asia Tenggara.

Dalam erti kata lain, motto ini melambangkan tekad negara-negara anggota untuk bergerak seiring ke arah masa depan yang inklusif dan seimbang dari segi pembangunan politik, ekonomi dan sosial.

ASEAN Summit

asean summit

ASEAN Summit atau Sidang Kemuncak ASEAN pula adalah badan pembuat dasar tertinggi dalam ASEAN yang dianggotai oleh ketua-ketua negara atau kerajaan daripada semua negara anggota.

Sidang kemuncak ini diadakan dua kali setahun dan ia dihoskan mengikut pemegang Pengerusi ASEAN bagi tahun tersebut. Sidang pertama telah diadakan pada 23 hingga 24 Februari 1976 di Bali, Indonesia.

Melalui sidang inilah pemimpin-pemimpin tertinggi ASEAN membincangkan isu-isu besar yang berkaitan dengan pelaksanaan matlamat organisasi, termasuk hal ehwal ekonomi, politik, sosial dan keselamatan serantau. Sidang kemuncak ini juga berfungsi untuk memberikan hala tuju dasar, menangani situasi kecemasan yang memberi kesan kepada rantau, meluluskan penubuhan atau pembubaran badan-badan ASEAN serta melantik Setiausaha Agung ASEAN.

Selain perbincangan dalaman antara pemimpin negara-negara ASEAN, sidang kemuncak ini turut merangkumi siri mesyuarat bersama rakan dialog utama dari luar rantau. Perkara ini menggambarkan peranan ASEAN sebagai pusat diplomasi serantau yang penting.

Antara mesyuarat utama termasuklah ASEAN + 3 yang melibatkan negara China, Jepun dan Korea Selatan, East Asia Summit yang turut dihadiri kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, India, Australia, New Zealand dan Rusia serta mesyuarat ASEAN + 1 bersama negara-negara rakan strategik tertentu.

Untuk memastikan keputusan dibuat dalam Sidang Kemuncak ASEAN dapat dilaksanakan dengan berkesan, peranan ini disokong oleh Majlis Penyelarasan ASEAN atau juga dikenali sebagai ASEAN Coordinating Council (ACC).

ACC terdiri daripada Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN dan bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun. Badan ini bertanggungjawab dalam menyelaras persediaan bagi Sidang Kemuncak ASEAN di samping menyelaras pelaksanaan keputusan yang telah dibuat oleh para pemimpin serta menyelaras laporan-laporan daripada ACC kepada Sidang Kemuncak.

Apa yang berbeza dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sebelum ni? 

asean malaysia malaymail

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober 2025 di Kuala Lumpur bakal menjadi antara persidangan terbesar dalam sejarah ASEAN dengan membawa tema ‘Inclusivity and Sustainability’ atau Keterangkuman dan Kelestarian.

Tema ini menekankan kepentingan dalam memastikan kemajuan ekonomi, sosial dan politik di rantau ini dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Selain itu, ia mencerminkan usaha Malaysia dalam menjadikan ASEAN sebagai satu komuniti yang berdaya tahan serta berperikemanusiaan.

Sidang kemuncak ini dijangka memberi tumpuan kepada isu-isu utama seperti keamanan serantau, ketahanan ekonomi dan pertumbuhan inklusif yang selaras dengan agenda jangka panjang ASEAN Vision 2025. Malaysia menekankan bahawa keberhasilan ASEAN tidak hanya bergantung pada integrasi ekonomi, malah turut bergantung pada kemampuan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan geopolitik dan cabaran global seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi dan keselamatan siber.

Selain perbincangan antara negara anggota ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini juga melibatkan sesi dengan rakan dialog utama dunia seperti China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat. Antara agenda penting yang bakal dibincangkan termasuklah kerjasama ekonomi digital, keselamatan maritim dan penyelarasan langkah dalam menangani penyebaran maklumat palsu di media sosial.

Kehadiran pemimpin luar seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang menunjukkan ASEAN dijadikan sebagai platform kerjasama global. Penyertaan mereka mencerminkan hubungan diplomatik dan ekonomi yang kukuh dengan rantau Asia Tenggara, di samping mengiktiraf peranan ASEAN dalam mengekalkan keamanan, keterangkuman serta pertumbuhan mampan.

Selain itu, antara perbezaan jelas dengan Sidang Kemuncak ASEAN yang sebelum dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kali ini adalah apabila Timor-Leste dijangka diterima secara rasmi sebagai negara anggota yang ke-11, sekaligus memperkukuh semangat perpaduan dan peluasan komuniti Asia Tenggara. Usaha ini juga dikatakan mendapat sokongan ACC yang berfungsi menyelaras pelaksanaan keputusan sidang tersebut.

Manfaat Malaysia berada dalam ASEAN 

asean

Sebagai negara yang berteraskan perdagangan, keanggotaan Malaysia dalam ASEAN banyak membawa manfaat strategik. ASEAN merupakan pasaran dinamik dengan lebih daripada 650 juta penduduk dan jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pula melebihi AS$3.3 trilion, menjadikannya antara pasaran terbesar di dunia.

Kedudukan Malaysia di tengah-tengah Asia Tenggara menjadikannya pintu masuk utama ke pasaran ASEAN, sekali gus memudahkan aliran perdagangan, pelaburan dan rantaian bekalan serantau. Melalui rangka kerja perdagangan bebas seperti ASEAN Free Trade Area (AFTA), syarikat tempatan boleh mendapat akses pasaran yang lebih luas, di samping menikmati pengurangan halangan tarif dan meningkatkan daya saing produk Malaysia di peringkat serantau.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia juga menikmati manfaat dari segi pengaruh dasar dan reputasi antarabangsa di samping memberi peluang untuk Malaysia memperkukuh hubungan dua hala bersama kuasa besar seperti China, Jepun, India dan Amerika Syarikat.

Selain itu, Malaysia juga dijangka akan menerima limpahan ekonomi yang besar iaitu sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan perkhidmatan tempatan akan menerima manfaat secara langsung melalui kemasukan ribuan delegasi dan pelabur asing.

Secara keseluruhannya, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini juga menjadi peluang besar untuk Malaysia menunjukkan kemampuan sebagai tuan rumah yang bukan sahaja berperanan dalam aspek diplomasi, tetapi juga dalam memperkukuh perpaduan dan kerjasama serantau. Dengan Malaysia mengetuai tahun ini, negara kita berpeluang untuk menunjukkan bahawa prinsip ‘Inclusivity and Sustainability’ ini boleh dijelaskan dalam tindakan dan dasar yang memberi manfaat kepada seluruh rantau.

Sumber: Malay Mail, eCentral, ASEAN,

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |