Keberkesanan penempatan kerja melalui inisiatif MYFutureJobs dikenal pasti sebagai faktor penyumbang utama dalam menyusutkan kadar pengangguran di Sabah. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, mengumumkan bahawa statistik menunjukkan kadar pengangguran di Sabah susut kepada 6.2 peratus pada suku kedua tahun ini, berbanding 6.7 peratus pada suku sebelumnya.
Kejayaan ini menterjemahkan pengurangan jumlah penganggur di Sabah daripada 144,500 orang kepada 120,300 orang dalam tempoh berkenaan, iaitu pengurangan lebih 20,000 orang penganggur.
Program MYFutureJobs yang diselia oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula menyaksikan seramai 11,966 pencari kerja berjaya ditempatkan setakat Oktober tahun ini. Dari aspek tawaran kekosongan jawatan, sebanyak 93,782 kekosongan jawatan telah ditawarkan di Sabah setakat 24 Oktober 2025.

Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata angka-angka ini menunjukkan kesan positif MYFutureJobs dalam membantu rakyat Sabah mendapatkan pekerjaan. Beliau menambah, angka-angka ini juga menterjemahkan komitmen berterusan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memperkasa pasaran kerja tempatan, bukan hanya di Sabah tetapi di seluruh negara.
Beliau menyampaikan ucaptama perasmian ini di Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs @ Lamag Kinabatangan 2025. Karnival ini menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan, dengan menyasarkan belia, graduan, pencari kerja aktif, serta peniaga kecil. Penganjuran karnival tersebut membuktikan komitmen kerajaan untuk mendekati segenap lapisan masyarakat, memastikan tiada golongan yang tercicir, termasuk masyarakat luar bandar di Kinabatangan.
 
Karnival ini menawarkan pelbagai aktiviti dan peluang pekerjaan untuk warga Kinabatangan, seperti temu duga terbuka dengan penyertaan lebih 11 majikan daripada pelbagai sektor. Selain itu, pendaftaran percuma akaun MyFutureJobs dan khidmat kaunseling kerjaya turut disediakan.
Pengarah PERKESO Sabah, Dr Mohd Ali Hindia, menyatakan bahawa penganjuran karnival ini membuktikan iltizam PERKESO untuk terus turun padang dan membawa perkhidmatan kepada rakyat. Beliau menekankan bahawa PERKESO bukan sekadar membantu ketika musibah, tetapi menjadi rakan strategik dalam membina masa depan yang lebih terjamin buat rakyat Sabah khususnya.
Artikel berkaitan : 9.6 Juta Pencarum Dilindungi 24 Jam : PERKESO Perluas Jaringan Keselamatan Sosial Melalui LINDUNG 24/7
Artikel berkaitan : Festival Mega i LINDUNG u, Permulaan Siri Jelajah PERKESO Lindung Seluruh Negara
Di karnival tersebut, khidmat nasihat perlindungan sosial daripada PERKESO dan taklimat produk perkhidmatan di bawah LINDUNG Kasih dan LINDUNG Kendiri turut disediakan. LINDUNG ialah penjenamaan semula skim perlindungan keselamatan sosial PERKESO yang dilancarkan pada 22 Ogos 2025. Di bawah penjenamaan ini, Akta 789 (SKSPS) dikenali sebagai LINDUNG KENDIRI, dan Akta 838 (SKSSR) sebagai LINDUNG KASIH.

                        1 day ago
                                10
                    





























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















