Gara-gara mengikut aplikasi navigasi, seorang wanita bersama bayi kecilnya dan anak saudara tersesat lebih 3 jam dalam sebuah hutan di Bangi Lama, Kajang.
Berkongsi detik cemas itu, Fadylla Ismail, 34, berkata kejadian berlaku ketika dia menghantar pembantu rumah pulang ke kampung berkenaan kira-kira jam 7 malam, Sabtu lalu.
Katanya, itu kali pertama dia menjejakkan kaki ke kawasan terbabit dengan menggunakan aplikasi navigasi untuk mencari jalan pulang ke rumahnya di Semenyih.
Tak sedap hati nampak kubur kiri kanan
Wanita itu mula berasa tidak sedap hati apabila dia dibawa masuk ke jalan sempit berhampiran ke kawasan perkuburan lama.
“Namun, laluan yang ditunjukkan membawa saya melalui jalan sempit dan sunyi berhampiran kawasan perkuburan lama. Saya tak sedap hati bila nampak kawasan kubur kiri kanan, tapi aplikasi navigasi tunjuk terus ke depan.
“Lama-lama makin dalam sampai saya tak tahu di mana. Rangkaian Internet telefon pun hilang,” katanya.
Dia yang memandu kereta sedan model BMW berkata keadaan jalan yang sempit dan berlubang menyebabkan keretanya tersangkut.
“Kiri sungai, dikelilingi hutan, di hadapan lubang besar, saya cuma mampu tawakal,” ujarnya.
@bharianmy“Kiri sungai, dikelilingi hutan, di hadapan lubang besar… saya cuma mampu tawakal,” kata Fadylla Ismail, 34, yang tersesat lebih tiga jam dalam hutan selepas melalui kawasan perkuburan lama di Kampung Batu 3, Bangi Lama, di Kajang, Sabtu lalu. beritaditiktok
♬ original sound – Berita Harian – Berita Harian
Fadylla berkata keadaan menjadi semakin cemas apabila bayi kecilnya berusia tiga bulan menangis tanpa henti kerana keadaan gelap dan sunyi.
Dia kemudiannya sempat memuat naik hantaran ringkas di media sosial meminta bantuan walaupun capaian Internet ketika itu sangat lemah.
“Saya tak sangka video saya dalam kereta tu akan tersebar. Ramai tak tahu saya memang dalam panik dan hampir tak boleh bernafas,” katanya.
Menurutnya, pasukan polis dan bomba menemui mereka kira-kira jam 9 malam selepas mengesan lokasi melalui panggilan kecemasan yang terputus-putus.
Sementara itu, suaminya dari tempat kerja turut datang membantu dalam operasi mencari sebelum akhirnya menemui mereka dalam keadaan selamat.
Katanya, dia bersyukur kerana berjaya diselamatkan walaupun kereta alami kerosakan dan berpesan kepada orang ramai supaya berhati-hati menggunakan aplikasi navigasi terutama ketika memandu waktu malam.
Sumber: Berita Harian