Seperti yang kita semua tahu, Sidang Kemuncak ASEAN kembali lagi dan sidang kali ini akan menjadi tumpuan dunia disebabkan penyertaan pemimpin-pemimpin hebat dari pelbagai rantau yang dijangka hadir termasuklah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Selain beliau, sebenarnya ramai lagi dan bukanlah tergolong daripada pemimpin negara sahaja. Berikut adalah senarai penuh pemimpin dunia yang dijangka hadir pada Sidang Kemuncak Asean yang ke-47 ini.
1. Anthony Albanese, Perdana Menteri Australia

Anthony Albanese adalah Perdana Menteri Australia yang ke-31. Beliau telah memimpin negara sejak Mei 2022 selepas Parti Buruh menang pilihan raya persekutuan.
Beliau juga dikenali kerana pendekatan progresifnya dalam isu-isu domestik seperti perubahan iklim, pendidikan dan kesihatan, di samping sudah lama aktif dalam politik Australia sejak tahun 1996 sebagai Ahli Parlimen Lalor.
Sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan kabinet dan antaranya ialah Menteri Infrastruktur.
Artikel Berkaitan: Malaysia Jadi Tuan Rumah Asean Summit 2025, Tapi Apa Sebenarnya Yang Dibincangkan Dalam Asean Summit? – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: KDN Bawa Aspirasi Keselamatan Rantau ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Lobak Merah
2. Li Qiang, Premier China

Li Qiang ialah Premier atau Perdana Menteri yang ke-8 dan beliau dilantik pada 11 Mac 2023 selepas pengunduran Li Keqiang.
Sebelum menjadi perdana menteri, beliau memegang beberapa jawatan penting seperti Gabenor Zhejiang (2013-2016), Setiausaha Parti Jiangsu (2016-2017) dan Setiausaha Parti Shanghai (2017-2022). Beliau turut dikenali sebagai sekutu rapat Presiden Xi Jinping dalam kelompok ‘New Zhijiang Army’ yang berperanan penting dalam struktur kepimpinan semasa.
Pada tahun 2024, Li Qiang tersenarai dalam TIME100 sebagai salah seorang individu yang paling berpengaruh di dunia dan ini mencerminkan peningkatan profilnya dalam arena politik dan ekonomi global.
3. Sanae Takaichi, Perdana Menteri Jepun

Sanae Takaichi adalah Perdana Menteri Jepun yang ke-104 dan menariknya adalah, beliau baru sahaja dilantik sebagai perdana menteri pada 21 Oktober 2025 baru-baru ini.
Beliau telah menggantikan perdana menteri yang sebelumnya iaitu Fumio Kishida, di mana Fumio telah meletakkan jawatannya selepas tekanan dalaman dalam parti dan penurunan sokongan awam.
Sanae Takaichi pula menang dalam pemilihan Parti Demokratik Liberal (LDP) dan secara automatik dilantik sebagai perdana menteri yang baru, di samping menjadi wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi negara itu. Pelantikan ini dianggap sebagai detik bersejarah yang membuka ruang baharu untuk wanita dalam dunia politik di Jepun.
4. Christopher Luxon, Perdana Menteri New Zealand

Christopher Luxon kini merupakan Perdana Menteri New Zealand selepas dilantik pada November 2023. Beliau dikatakan mempunyai karier dalam dunia politik yang agak luar biasa kerana beliau asalnya bekerja dalam dunia korporat lalu berpindah ke dunia politik dalam masa yang singkat.
Sebelum beliau menceburi bidang politik, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Air New Zealand dan pernah berkhidmat di syarikat multinasional Unilever selama lebih sedekad.
Kelajuan beliau dalam mendaki tangga politik dikatakan luar biasa kerana beliau hanya mula menyertai Parlimen pada tahun 2020 di samping mengambil alih kepimpinan parti setahun kemudian. Pada tahun 2023, beliau terus dilantik menjadi Perdana Menteri New Zealand yang baru, menjadikan satu pencapaian yang jarang berlaku di negara itu.
5. Lee Jae Myung, Presiden Republik Korea Selatan

Lee Jae Myung kini menjawat sebagai Presiden Repulik Korea Selatan selepas kemenangan dalam pilihan raya awal pada 3 Jun 2025 dengan memperoleh kira-kira 49.42% undi.
Beliau mengangkat sumpah pada 4 Jun di Parlimen Korea Selatan dan terus mengambil alih tugas tanpa tempoh peralihan seperti biasa selepas krisis politik yang tercetus daripada pengisytiharan undang-undang tentera oleh bekas presiden yang sebelumnya.
Lee Jae Myung dikatakan dibesarkan dalam keluarga yang susah dan pernah bekerja di kilang sebelum menjadi peguam hak asasi manusia dan kemudian menukar bidangnya sebagai ahli politik. Beliau turut mencipta sebuah kempen dengan menjanjikan usahanya dalam merapatkan jurang sosial dan mengembalikan kestabilan ekonomi negara.
6. Alexei Logvinovich Overchuk, Timbalan Perdana Menteri Rusia

Alexei Logvinovich Overchuk merupakan Timbalan Perdana Menteri Rusia yang memainkan peranan penting dalam hal ehwal ekonomi antarabangsa dan kerjasama serantau.
Beliau dilantik pada tahun 2020 dan bertanggungjawab terhadap dasar ekonomi luar negara Rusia termasuk menjaga hubungan dengan negara-negara Asia, Eropah Timur dan rantau Eurasia.
Sebelum menjawat jawatan ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Perkhidmatan Cukai Persekutuan Rusia di mana beliau dikenali atas kebolehannya dalam memodenkan sistem cukai negara dengan memperkenalkan teknologi digital berskala besar.
Di peringkat global, beliau sering menjadi wakil utama Rusia dalam rundingan ekonomi antarabangsa, termasuklah forum seperti APEC dan sidang ekonomi Eurasia yang turut menjelaskan bagaimana beliau ini dipilih untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN bagi mewakili negara Rusia.
7. Donald J. Trump, Presiden Amerika Syarikat

Donald J. Trump kini menjawat sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-47 selepas dilantik semula pada 20 Januari 2025. Beliau adalah satu-satunya Presiden Amerika Syarikat yang memegang jawatan bukan secara berturut-turut di mana beliau pernah menjadi Presiden yang ke-45 (2017-2021) yang kemudiannya kalah dan kembali menang dalam pilihan raya 2024.
Beliau sangat terkenal dengan latar belakang korporat yang kuat sebelum memasuki bidang politik dan gaya kepimpinannya yang lantang ini sering memecah norma sehinggakan mendapat perhatian antarabangsa.
8. António Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

António Guterres ialah Setiausaha Agung PBB sejak 1 Januari 2017 yang menggantikan kedudukan Ban Ki Moon sebagai Setiausaha Agung PBB terdahulu. Beliau berasal dari Portugal dan merupakan bekas Perdana Menteri Portugal pada tahun 1995 hingga 2002.
Sebelum menyertai PBB secara rasmi, beliau pernah mengetuai United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) pada tahun 2005 hingga 2015 yang membuatkan beliau mula dikenali di peringkat global.
9. Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Brazil

Luiz Inácio Lula da Silva atau lebih dikenali sebagai Lula da Silva merupakan Presiden Brazil yang terkini. Beliau merupakan antara figura politik yang paling berpengaruh di Amerika Latin dan menjawat semula jawatan Presiden itu selepas memenangi dalam pilihan raya tahun 2022.
Penjawatan beliau sebagai Presiden Brazil bukanlah kali pertama dalam memimpin negara itu. Sebenarnya, beliau pernah menjadi Presiden Brazil pada tahun 2003 hingga 2010 dan antara kejayaannya adalah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan secara besar-besaran melalui program sosial seperti Bolsa Família.
Namun selepas beliau meninggalkan jawatan tersebut, beliau berdepan pelbagai kes mahkamah yang berkait dengan rasuah sebelum akhirnya dibebaskan dan kembali ke bidang politiknya.
10. Mark Carney, Perdana Menteri Kanada

Mark Carney kini menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Kanada ke-24 yang menggantikan Justin Trudeau selepas peralihan perdana menteri pada Mac 2025.
Sebelum beliau menceburi bidang politik, Mark Carney ini terkenal sebagai tokoh kewangan yang berprofil tinggi di mana beliau pernah berkhidmat sebagai Gabenor Bank of Canada dan kemudian Gabenor Bank of England, menjadikan beliau satu-satunya individu yang pernah mengetuai dua bank pusat utama di dunia.
Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah Parti Literal dan beliau membawa pendekatan berasaskan ekonomi mampan dan kestabilan fiskal. Beliau juga sering memberi pandangan tegas mengenai perubahan iklim dan ekonomi hijau serta mengusahakan untuk menyeimbangkan semula dasar kewangan Kanda selepas ketidaktentuan global.
11. António Costa, Presiden Majlis Eropah

António Costa kini memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Eropah sejak Disember 2024. Sebelum dilantik memegang jawatan tersebut, beliau merupakan Perdana Menteri Portugal selama hampir sedekad iaitu pada tahun 2015 hingga 2024. Di situlah beliau dikenali atas kejayaannya dalam menstabilkan ekonomi negara selepas krisis kewangan Eropah serta mengekalkan dasar sosial yang inklusif dan berpaksikan rakyat.
Majlis Eropah atau Europian Council ini merupakan salah satu institusi tertinggi dalam Kesatuan Eropah (EU) yang berfungsi dalam menetapkan hala tuju politik dan keutamaan strategik EU, termasuklah dasar luar, keselamatan dan ekonomi.
Jadi, António Costa akan menjadi suara penyelaras bagi kepimpinan Eropah demi memastikan setiap negara anggota bergerak seiring dalam menangani cabaran global serta memperkukuh hubungan antarabangsa.
12. Cyril Ramaphosa, Presiden Republik Afrika Selatan

Cyril Ramaphosa kini memegang jawatan sebagai Presiden Republik Afrika Selatan setelah dipilih semula pada 14 Jun 2024 oleh Dewan Nasional melalui sokongan gabungan parti. Beliau memulakan jawatan pertamanya pada 15 Januari 2018 dan kini meneruskan penggal keduanya yang menyaksikan perubahan besar selepas dominasi satu parti berakhir.
Beliau dikenali sebagai seorang aktivis, peguam dan usahawan sebelum menceburi bidang politik. Beliau turut memainkan peranan penting dalam rundingan pengakhiran apartheid di Afrika Selatan dan kemudian meningkat ke puncak dalam parti bersejarah African National Congress (ANC).
Di peringkat global pula, beliau telah menetapkan arah bagi negara dalam senario global, contohnya mengetuai usaha Afrika Selatan sebagai tuan rumah G20 pada 2024 dengan memfokuskan pada pengurangan beban hutang demi memberi ruang untuk negara berkembang.
Selain itu, Perdana Menteri kita iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan bahawa wakil daripada Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Majlis Perniagaan Asia Timur (East Asia Business Council) serta Trilateral Cooperation Secretariat turut dijangka hadir dalam perbincangan Sidang Kemuncak ASEAN, lapor Malaysia Gazzette.
Jadi, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kali ini jelas mencerminkan peranan Asia Tenggara sebagai pusat diplomasi global. Kehadiran pemimpin-pemimpin dunia daripada pelbagai rantau menandakan keyakinan terhadap keupayaan ASEAN sebagai blok ekonomi dan politik.
Sidang ini juga dijangka membuka lembaran baharu dalam kerjasama antarabangsa dan pada masa yang sama Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dunia.
Sumber: Malaysia Gazzette

13 hours ago
7











![“Tolongg!!” – [VIDEO] Penduduk Di Kawasan Perumahan Taiping Panik, Air Banjir Cecah Paras Pinggang](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2025/10/banjir-di-taiping.png)


















:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















