Pernah tak korang idamkan kehidupan mewah seperti anak raja? Tak perlu fikir sewa rumah, bil api dan elektrik, tak perlu cari kerja, hanya nikmati je kehidupan mewah yang dah tersedia sejak kecil.
Tapi mungkin sebab tu jugalah hidup ni menarik, tak semua orang ditakdirkan untuk hidup senang dan masing-masing ada jalan hidup yang unik untuk ditempuhi. Contohnya macam Puteri Diana, walaupun dia dikahwinkan dengan kerabat diraja, tapi dia tetap berani melangkaui batas protokol istana demi memperjuangkan apa yang dia percaya.
Dan kisahnya sehingga hari ini masih diingati oleh seluruh dunia kerana sifatnya yang berbeza dengan golongan kerabat diraja yang lain. Tapi korang tahu tak selain Puteri Diana, ada puteri-puteri raja yang lain yang turut memilih untuk ikut kata hati dan buat apa yang mereka inginkan tanpa batasan protokol istana?
Kalau korang nak tahu siapa, boleh teruskan baca artikel di bawah ini.
Artikel Berkaitan: Kenali Kisah 5 Puteri Lagenda Dahulukala Yang Ramai Orang Tak Tahu – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Drama! Ini Pergaduhan Antara ‘Royal’ Yang Pernah Berlaku Sepanjang Sejarah – Lobak Merah
Puteri Keisha Omilana

Puteri Keisha Bolden merupakan seorang gadis biasa yang sentiasa bekerja kerja dalam dunia peragaan serta dikenali sebagai ‘The Pantene Girl’ ekoran sering muncul dalam iklan jenama itu.
Kehidupannya berubah apabila dia bertemu dengan Putera Adekunle ‘Kunle’ Omilana, seorang putera dari keluarga diraja tradisional Yoruba, Nigeria. Namun sepanjang 2 tahun bercinta, Keisha langsung tak tahu bahawa pasangannya merupakan seorang putera raja. Rahsia ini mula terbongkar apabila ibu Kunle sendiri memanggil Keisha ‘my princess’ dan pada waktu itulah baru dia mengenali sebenar lelaki yang dia bakal kahwini.
Mereka berkahwin pada 28 Januari 2006 dalam satu majlis kecil di New York dan sejak itu, Keisha secara rasminya dikenali sebagai Princess Keisha Omilana of Ipetu-Ijesha yang mewakili rumah diraja Arigbabuowo dalam komuniti Yoruba di Nigeria.
Ramai menyangka bahawa setelah dia berkahwin, dia bakal bersara daripada kerjayanya sebagai model dan fokus pada tugas-tugas istana. Namun, Puteri Keisha telah memilih jalan yang berbeza iaitu untuk terus kekal aktif dalam industri fesyen dan keusahawanan sehingga mendapat gelaran #TheWorkingPrincess.
Meskipun dia mengakui dia penat untuk terlalu membuktikan kepada orang ramai bahawa dia juga bekerja di samping memiliki kehidupan di istana, tapi dia juga tegas untuk menunjukkan bahawa wanita boleh melakukan segalanya.
Puteri Keisha yang sudah dikurniakan dua anak hasil perhakwinan bersama Putera Kunle, kini sedang menguruskan A Crown of Curls, iaitu jenama penjagaan rambut yang diasaskan khas untuk wanita berambut kerinting dan bertekstur afro. Selain itu, dia juga melancarkan majalah digital SAXS yang menampilkan fesyen, budaya dan kisah diraja dari pelbagai negara.
Puteri Esther Kamatari

Puteri Esther Kamatari yang dilahirkan pada 30 November 1951 di Bujumbura, Burundi ini asalnya daripada keluarga diraja dinasti Ganwa dan bapanya, Putera Ignace Kamatari merupakan antara tokoh penting dalam sistem monarki tradisional Burundi suatu ketika dahulu.
Namun, tak lama lepas Burundi mencapai kemerdekaan, sistem diraja mula bergolak. Setelah sistem monarki dihapuskan pada tahun 1966, bapanya didapati dibunuh dalam satu insiden politik berdarah dan menyebabkan Puteri Esther perlu meninggalkan negara tersebut dan berhijrah ke Paris demi keselamatan dirinya.
Di kota itulah dia terpaksa memulakan kehidupan baru dari bawah iaitu tiada lagi kehidupan yang mewah seperti anak raja lain. Disebabkan wajah dan karismanya yang menarik perhatian dunia fesyen, Puteri Esther memulakan kerjayanya sebagai model dan mencipta sejarah sebagai wanita berkulit hitam pertama yang muncul sebagai model profesional di Perancis.
Selepas bertahun-tahun menetap di Perancis, dia membuat keputusan untuk kembali ke Burundi dan pada tahun 2004, dia tampil sebagai calon Presiden Burundi di bawah parti Abahuza yang bermaksud ‘menyatukan’. Matlamatnya pada ketika itu adalah untuk membawa keamanan dan perpaduan selepas konflik etnik dan politik yang sudah sekian lama menghantui negaranya.
Walaupun percubaannya untuk menjadi presiden tidak berjaya, namun keberanian dan kegigihannya dalam membangunkan negaranya semula masih diingati sehingga hari ini. Kini, dia bergiat aktif dalam memperjuangkan isu kemanusiaan, hak wanita dan kanak-kanak serta bekerjasama dengan pelbagai organisasi antarabangsa.
Puteri Mako

Puteri Mako ialah anak sulung kepada Putera Mahkota Fumihito dan Puteri Mahkota Kiko serta merupakan cucu kepada bekas Maharaja Akihito.
Puteri Mako bertemu dengan Kei Kumuro, seorang rakyat biasa, ketika mereka sama-sama belajar di International Christian Universiti di Tokyo pada tahun 2012. Pada 3 September 2017, mereka secara rasminya mengumumkan pertunangan mereka.
Namun menurut undang-undang Imperial House Law, ia menjelaskan bahawa sekiranya puteri diraja Jepun berkahwin dengan seseorang bukan ahli diraja, mereka perlu melepaskan status diraja mereka.
Puteri Mako turut menjelaskan bahawa sejak kecil lagi, dia sudah memahami bahawa tanggungjawab sebagai puteri diraja sangat besar serta dia perlu melepaskan status diraja sekiranya dia berkahwin dengan rakyat biasa.
Saya dah sedar sejak kecil lagi yang saya akan kehilangan status diraja bila saya berkahwin.
Sepanjang saya berkhidmat membantu Maharaja dan menjalankan tanggungjawab sebagai ahli keluarga diraja sebaik mungkin, saya sentiasa menghargai dan nikmati kehidupan saya sendiri,” katanya.
Pada 26 Oktober 2021, Puteri Mako dan Kei Kumuro pun secara rasmi mendaftarkan perkahwinan mereka tanpa majlis diraja besar dan protokol istana seperti majlis perkahwinan kerabat diraja yang lain. Dengan itu, Puteri Mako melepaskan statusnya sebagai puteri diraja dan mengubah namanya kepada ‘Mako Kumuro’.
Secara kebiasaannya, sekiranya wanita diraja berkahwin dengan rakyat biasa, undang-undang Jepun akan menetapkan sejumlah pembayaran wang sebagai tanda ‘keluar’ daripada keluarga diraja. Namun, Puteri Mako adalah orang pertama dalam keluarga diraja yang menolak hadiah kewangan ini.
Baru-baru ini, Puteri Mako dilaporkan sudah melahirkan anak pertamanya pada 30 Mei lalu. Namun, jantina bayi itu tidak didedahkan pada umum bagi memberi ruang kepadanya dan keluarga kecilnya untuk menikmati waktu privasi mereka tanpa menjadi tumpuan umum.
Puteri Mahkota Marie-Chantal

Marie-Chantal Miller dilahirkan dalam keluarga Miller yang kaya. Bapanya, Robert Warren Miller merupakan salah seorang pengasas syarikat ‘Duty Free Shoppers’ yang menjadikan keluarganya antara keluarga terkaya.
Pada 1 Julai 1995, dia berkahwin dengan Putera Mahkota Pavlos dari Greece dan mendapat gelaran puteri daripada perkahwinan tersebut. Walaupun bergelar Puteri Mahkota, dia tidak bergantung pada gelaran tersebut. Malah, pada tahun 2000, dia menubuhkan jenama fesyen dan barangan kanak-kanak jenama ‘Marie-Chantal’ yang berkembang menjadi jenama gaya hidup mewah yang merangkumi pakaian kanak-kanak, pakaian keluarga dan koleksi hadiah eksklusif.
Selain itu, Puteri Mahkota Marie juga menulis buku ‘Manners Begin at Breakfast: Modern Etiquette For Families’ yang memfokuskan kepada adab keluarga moden.
Walaupun kini hidup seperti kerabat diraja, namun dia juga memilih untuk membina identiti sendiri di mana dia tidak kisah pun bila rakan-rakan anaknya memanggilnya dengan singkatan nama seperti ‘MC’ dan ingin dikenali sebagai ibu yang moden dan bersahaja.
Puteri Mahkota Marie juga sering dilihat keluar beriadah dan menghadiri acara sosial bersama anak-anak remajanya, menjadikan dia tidak mengehadkan aktiviti sosial dirinya dan anak-anaknya agar mereka masih boleh menikmati kehidupan seperti rakyat biasa.
Puteri Pauline von Metternich

Kalau kita tengok balik dari zaman dulu, sebenarnya sejak abad-19 lagi sudah ada puteri yang berani melanggar protokol istana demi memperjuangkan apa yang mereka percaya. Antara contoh yang masih diingati sehingga hari ini ialah Puteri Pauline von Metternich yang asalnya lahir sebagai Bangsawan Pauline Sándor de Slavnicza dari Hungary.
Sejak kecil lagi dia sudah biasa dengan kehidupan bangsawan yang meriah dengan majlis sosial, seni dan diplomasi yang menyebabkan berlakunya perkahwinan dia dengan Putera Klemens von Metternich, iaitu cucu kepada negarawan Austria yang mempunya sama nama dengannya.
Puteri Pauline ini dikatakan terkenal kerana memperkenalkan fesyen Paris ke seluruh Eropah, di samping menjadi antara wanita pertama yang memakai pakaian moden dan berani pada waktu itu. Puteri Pauline juga sangat rapat dengan isteri Napoleon III iaitu Maharani Eugénie dan sering menjadi penggerak utama dalam acara sosial istana Perancis.
Pada zaman itu, lelaki adalah antara golongan yang paling berkuasa. Namun, dia tidak pernah takut untuk menyuarakan pendapatnya menyebabkan sehingga hari ini masih dikenang sebagai wanita yang berani menentang norma kelas atasan.
Antaranya adalah dia kurang selesa dengan wanita hanya dilihat sebagai hiasan sosial di mana tidak boleh terlibat dalam ruang diplomasi dan politik pada waktu itu. Akhirnya, Pauline sering menganjurkan majlis seni dan muzik yang bukan untuk hiburan, tetapi juga sebagai ruang wanita boleh berdiplomasi.
Walaupun Puteri Pauline ini memegang gelaran hanya selepas berkahwin dengan Putera Klemes, dia lebih suka mengatur sendiri acara sosial, mereka busananya sendiri dan kerap muncul dalam lukisan serta potret dalam keadaan yang agak kontroversi.
Mereka ini semua mengingatkan kita bahawa kehidupan yang sebenar bukanlah daripada gelaran atau kedudukan, tetapi tentang bagaimana ia boleh memberi makan dalam hidup kita sendiri dan orang lain juga.
Mereka juga menunjukkan bahawa kebahagiaan dan kejayaan tidak hanya datang dari kehidupan yang mewah, tetapi dari cara kita untuk percaya pada apa yang kita ingin lakukan di dunia ini. Jadi, walau apa pun status kita, jangan takut untuk keluar dari zon selesa demi perkembangan diri.
Sumber: South China Morning Post, History Snob

13 hours ago
6










![[VIDEO] Ramai Terharu Lihat Pakcik Tertunduk Sedih, Individu Borong Karipap Frozen Dijual Tepi Jalan](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2025/10/pakcik-karipap-frozen-sg-isap.png)



















:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















