Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron menyatakan perbezaan tarikh akad nikah dengan tarikh tercatat dalam sijil nikah rasmi tidak menjejaskan kesahihan sesebuah perkahwinan.
Jelasnya, perkahwinan itu adalah sah sekiranya akad nikah dilaksanakan mengikut rukun dan syarat yang ditetapkan dalam Islam termasuklah kehadiran wali dan saksi yang sah.
“Ya, perkahwinan itu sah. Kalau pada tarikh sebenar akad, semua rukun dan syaratnya cukup, ada wali, saksi dan ijab kabul yang sah, maka pernikahan tersebut sah di sisi syarak,” katanya.
Dalam hal ini, perbezaan tarikh mungkin berlaku akibat kesilapan teknikal dalam proses pendaftaran dan ia boleh diperbetulkan di pejabat agama.
“Tak ada masalah pun sebab dokumen tersebut hanya berfungsi sebagai rekod dan sokongan kepada perkahwinan,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan, akad nikah menjadi asas pada kesahihan perkahwinan dalam Islam, manakala sijil dan dokumen rasmi hanyalah rekod pentadbiran moden.
“Zaman dahulu pun orang kahwin tanpa dokumen, asalkan ada saksi dan wali, sah pernikahan itu.
“Sekarang ini sijil cuma sebagai bukti atau support letter supaya mudah urusan pendaftaran dibuat,” ujarnya.
Artikel berkaitan: Uqasha Persoal Status Pernikahan Kerana Tarikh Di Sijil Nikah Berbeza Dengan Akad
Artikel berkaitan: “Kalau tiada, inilah pengakhiran Uqasha” – Peguam Jawab Punca Uqasha Senrose Fail Cerai
Semalam, pelakon Uqasha Senrose berkongsi kegusarannya apabila mengetahui tarikh pernikahan dengan maklumat pada sijil pernikahannya tidak tepat.
Menurutnya, dia baru menyedari tarikh pernikahan adalah 5 November namun tarikh yang dicatat dalam sijil pernikahan itu adalah 4 November.
Perkara itu menimbulkan tanda tanya sekali gus bimbang perkahwinan itu tidak sah kerana perbezaan tarikh tersebut.
Sumber: Majoriti