Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata mereka terkejut dengan keputusan FIFA mengekalkan hukuman terhadap badan induk bola sepak negara itu serta tujuh pemain import berhubung skandal pemalsuan dokumen, dan berikrar untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Isnin, FAM mengesahkan telah menerima keputusan jawatankuasa rayuan FIFA yang menolak rayuan mereka, namun memaklumkan akan meminta penjelasan penuh secara bertulis sebelum menentukan langkah seterusnya.
“FAM telah menerima keputusan daripada FIFA yang mana rayuan kami telah ditolak.
FAM akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis di sebalik keputusan itu sebelum mengambil langkah seterusnya untuk mengemukakan rayuan kepada CAS,” kata pemangku presiden Datuk Yusoff Mahadi.
Yusoff mengakui keputusan itu mengejutkan badan induk bola sepak negara serta mengakui ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan isu sebegini.
“Walau bagaimanapun, FAM akan terus berpendirian tegas dalam mempertahankan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Terdahulu, FIFA mengumumkan bahawa jawatankuasa rayuannya telah mengesahkan bahawa FAM melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.
Badan dunia itu mengarahkan FAM membayar denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.9 juta), manakala tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel .
Masing-masing dikenakan denda CHF 2,000 (RM10,600) dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
FAM kini mempunyai 10 hari untuk meminta penghakiman bertulis terperinci daripada FIFA dan tambahan 21 hari lagi untuk memfailkan rayuan kepada CAS, yang akan membuat keputusan muktamad mengenai kes tersebut.
Sumber: New Straits Times

                        8 hours ago
                                6
                    






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















