Bila sebut Muay Thai, mungkin ramai terus teringat nama-nama atlet tempatan seperti Johan Ghazali yang semakin mencipta nama dalam sukan ini.
Tapi di sebalik populariti dan kehebatan gelanggang Muay Thai hari ini, sukan ni sebenarnya ada sejarah panjang yang menarik sebelum ia digunapakai dalam sukan moden yang kita kenal sekarang. Menariknya, sukan Muay Thai ni pernah digunakan sebagai teknik pertahanan ketika perang pada zaman kerajaan Ayutthaya.
Tapi, macam mana sukan ni boleh berkembang daripada zaman perang sampai ke battle ring? Berikut adalah sejarah asal-usul perkembangan seni pertahanan diri Muay Thai.
Apa tu Muay Thai?

Muay Thai ni sebenarnya dikenali sebagai ‘Thai Boxing’ yang merupakan sukan kebangsaan negara Thailand. Sukan ini juga dianggap sebagai seni pertempuran yang asalnya digunakan oleh tentera sejak abad ke-13 lagi iaitu ketika Kerajaan Sukhothai dan kemudian berkembang ke abad ke-14 pada waktu Kerajaan Ayutthaya.
Muay Thai turut digelar sebagai ‘Art of 8 Limbs’ yang membawa maksud kepada Seni 8 Anggota kerana menggunakan 8 titik serangan iaitu penumbuk, siku, lutut dan tendangan. Ini yang membezakannya daripada sukan pertempuran yang lain seperti tinju yang hanya fokus pada 2 titik iaitu penumbuk, manakala karate pula 4 titik dengan fokuskan pada penumbuk dan kaki.
Perkataan Muay Thai mula diformalkan sekitar awal abad ke-20 apabila ia dipengaruhi oleh sukan tinju dari barat iaitu British Boxing. Waktu itu barulah peraturan rasmi diperkenalkan, termasuklah penggunaan gelanggang dan sarung tangan tinju.
Sebelum tu para pemain Muay Thai hanya membalut tangan dengan tali yang dikenali sebagai ‘Kard Chuek’ semasa bertarung.
Artikel Berkaitan: WWC Buat Permohonan Maaf Secara Terbuka, Gantung Sementara Penyertaan Petarung Bawah Umur – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Tular Pertandingan MMA Libatkan Kanak-kanak, Johan Ghazali Tampil Beri Teguran – Lobak Merah
Digunakan untuk mempertahankan kerajaan

Masa zaman kerajaan Sukhothai, tentera Thai dibentuk bagi mempertahankan kerajaan serta dilatih menggunakan senjata dan teknik mempertahankan diri tanpa menggunakan senjata. Dari situlah seni sukan ini mula evolusi menjadi Muay Boran dan akhirnya berkembang menjadi Muay Thai yang kita kenal hari ini.
Disebabkan perang yang sering tercetus dengan kerajaan dan wilayah lain, Muay Thai lama-kelamaan menjadi gaya hidup dan identiti bangsa orang Thailand. Kisah lagenda yang paling terkenal dalam sejarah Muay Thai ialah kisah zaman kegemilangan Nai Khanom Tom di mana beliau berjaya menewaskan sembilan pahlawan Burma secara berturut-turut ketika ditawan selepas Siam diserang.
Meskipun kisah ini sebahagiannya berunsur mitos sahaja, namun keberanian beliau diraikan setiap tahun sebagai Hari Muay Thai pada 17 Mac.
Muay Thai versi sekarang

Selepas era Perang Dunia Pertama, Muay Thai mula berkembang pesat dan akhirnya menjadi antara sukan pertempuran yang digemari oleh ramai orang di seluruh dunia.
Versi moden Muay Thai kini menggabungkan beberapa elemen daripada tinju barat termasuklah penggunaan sarung tangan tebal, 3 hingga 5 pusingan dalam had masa yang tertentu serta peraturan rasmi dan pertarungan yang berlangsung di dalam gelanggang berbentuk segi empat.
Walaupun kini lebih moden, teknik dan gaya yang digunapakai oleh Muay Thai masih banyak diambil daripada Muay Boran. Terdahulu, Muay Boran dicipta khas untuk pertempuran jarak dekat semasa peperangan. Namun, apabila seni ini berkembang menjadi sukan, beberapa teknik berbahaya yang boleh membawa maut seperti serangan ke sendi atau belakang kepala ini telah diharamkan bagi menjaga keselamatan.
Dalam Muay Thai moden, selain pelbagai jenis pukulan seperti yang digunakan dalam tinju barat, contohnya macam jab, cross, hook dan uppercut, pemain Muay Thai pula menggunakan tendangan, siku dan lutut.
Teknik clinching iaitu pelukan rapat dan lontaran juga digunakan secara strategik untuk menjadikannya satu sukan yang seimbang. Disebabkan penggunaan 8 titik serangan, sukan ini dianggap antara seni pertempuran yang paling efektif dan turut diamalkan oleh ramai atlet mixed martial arts (MMA).
Di Thailand, Stadium Lumpinee dan Stadium Rajadamnern di Bangkok adalah antara gelanggang paling berprestij dalam dunia Muay Thai. Ramai peninju sama ada tempatan atau antarabangsa berimpian untuk beraksi di pentas bersejarah ini sebagai lambang kejayaan mereka dalam sukan tradisional ini.
Kenapa Muay Thai selalu pakai shorts dan aksesori lain?

Seluar pendek Muay Thai ni sebenarnya rekaan moden yang diadaptasi daripada pakaian tinju barat. Kalau diperhatikan, gaya kedua-duanya memang seakan serupa, cuma beza utamanya adalah terletak pada panjang dan potongan seluar.
Seluar tinju barat biasanya lebih panjang, mencecah paras lutut, manakala seluar Muay Thai pula lebih pendek iaitu hanya sampai paras pertengahan peha saja. Reka bentuk ini bukan sekadar untuk gaya, tapi berfungsi untuk memberikan kebebasan penuh pergerakan supaya para pemain boleh menendang dan bergerak tanpa sebarang halangan.
Selain sarung tangan dan seluar pendek, balutan tangan dan pelindung buku lali juga adalah antara peralatan penting dalam sukan Muay Thai. Balutan tangan berfungsi untuk menyokong pergelangan dan tulang jari, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan semasa latihan atau perlawanan.
Biasanya, atlet akan menggunakan balutan tangan jenis boleh basuh dan diguna semula ketika sesi latihan, manakala balutan jenis kain bandage digunakan untuk pertandingan rasmi kerana ia boleh memberi balutan yang lebih ketat dan selamat.
Dan sebenarnya pelindung kaki ni tidaklah diwajibkan, tapi ramai pemain Muay Thai memilih untuk memakainya bagi menambah kestabilan dan perlindungan diri mereka. Ini adalah untuk mengekalkan kehangat otot serta menyokong sendi buku lali mereka, di samping boleh meningkatkan keseimbangan dan pergerakan.
Bagus sangat ke sukan ni?

Walaupun sukan ini dikategorikan sebagai sukan full-contact, sebenarnya ada je orang yang mempelajari sukan ini semata-mata untuk kesihatan dan kecergasan diri mereka.
Setiap sesi latihan Muay Thai ni biasanya berlangsung selama 1 hingga 2 jam yang meliputi pemanasan badan, shadow boxing, teknik pukulan, latihan beg pasir dan sebagainya. Dalam satu sesi ni je, korang boleh bakar sehingga 1000 kalori! Secara tak langsung, sukan ni boleh membakar kalori badan kita dengan cepat.
Sukan Muay Thai ni juga direka untuk melindungi diri dan menewaskan lawan. Teknik seperti tendangan tolak, siku dan lutut boleh digunakan untuk melepaskan diri atau mempertahankan diri semasa diserang. Jadi sukan ini sesuai untuk semua orang, termasuklah wanita dan kanak-kanak.
Di samping itu, latihan Muay Thai bukan sahaja menguatkan fizikal, tetapi juga melatih daya tahan mental. Jadi, bila dah biasa hadap cabaran fizikal, kita pun boleh jadi lebih kuat dari segi emosi dan tak mudah putus asa. Secara tak langsung, keyakinan diri juga akan naik disebabkan nampak diri kita ada kemajuan dalam latihan.
Memang latihan sukan ini mencabar tapi hasilnya nanti, seluruh badan kita akan jadi lebih kuat dan tahan lasak. Setiap kali kita berlatih, badan pun kita sudah terbiasa dengan segala cabaran fizikal, menjadikan kita lebih bersedia dalam menghadapi apa jua keadaan.
Secara keseluruhan, senaman intensif Muay Thai ni juga akan bantu kuatkan jantung dan kurangkan risiko penyakit darah tinggi. Latihan yang konsisten boleh bantu mengawal tekanan darah dan tingkatkan stamina, menjadikan sukan ini bukanlah sukan untuk pertempuran semata-mata.
Jadi, mungkin sebab itulah sukan Muay Thai ni masih kekal relevan sehingga hari ini. Di sebalik peluh dan tendangan, ada nilai semangat juang yang membuatkan seni sukan ini terus hidup dah dihormati sampai hari ini.
Sama ada untuk bertarung di gelanggang atau sekadar meningkatkan kecergasan, Muay Thai berjaya membuktikan bahawa kuasa sebenar bukan hanya datang daripada kemenangan yang diperoleh, tapi juga daripada semangat yang tak mudah mengalah.
Sumber: Yokkao
Sumber: M1

                        5 hours ago
                                5
                    





























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















