Sedar tak sedar, sepanjang tahun 2025 kita dah saksikan pelbagai peristiwa besar yang berlaku di serata dunia. Dari isu politik antarabangsa hinggalah bencana alam yang tak disangka-sangka berlaku dan setiap satu isu ini bukan saja memberi kesan pada negara yang terlibat, malah kepada masyarakat dunia secara keseluruhan.
Tanpa paparan dan jaringan media antarabangsa, mungkin kita pun takkan dapat ikuti berita dan perkembangan global yang secepat hari ini.
Jadi sebagai imbasan, berikut adalah 10 peristiwa global yang telah berlaku sepanjang tahun 2025.
1. Donald Trump kembali menjadi Presiden AS yang ke-47

Pada bulan Januari yang lalu, Donald Trump yang pernah menjadi Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2017 hingga 2021, kembali merangkul jawatan tersebut pada tahun 2025.
Dengan kemenangan pilihan raya kali ini, beliau membuat ucapan rasminya dengan mengumumkan pengiktirafan kepada hanya dua jantina sahaja di negara Amerika Syarikat.
Meskipun negara itu sangat lantang dengan gerakan LGBTQ, beliau amat tegas dalam pengumumannya bahawa dasar kerajaannya hanya akan mengiktraf dua jantina sahaja.
Beberapa selebriti antarabangsa turut menzahirkan reaksi mereka menerusi sosial media sebagai tanda protes kepada pendirian Trump yang seolah-olah menafikan kewujudan komuniti ini, memetik laporan daripada Euronews.
Artikel Berkaitan: “Akan jadi dasar rasmi kerajaan” – Donald Trump Iktiraf 2 Jantina Sahaja Di AS – Lobak Merah
2. Perang tarif antara China dan Amerika Syarikat

Perang tarif antara dua negara ini secara rasminya bermula pada tahun 2018 apabila Amerika Syarikat melancarkan tarif sebanyak 25% ke atas barangan China bernilai $34 bilion.
Langkah ini juga membawa kepada strategi mengekang produk yang ada label ‘Made in China’. Situasi menjadi lebih serius apabila Amerika Syarikat menaikkan kadar tarifnya ke atas barangan China kepada 104% dan China pula membalas dengan kadar tarif setinggi 125% khusus ke atas barangan Amerika Syarikat.
Perang tarif ini telah menyebabkan situasi pasaran global menjadi tidak stabil, namun begitu Trump tetap menegaskan bahawa dasar tarif beliau berada di landasan yang tepat.
Disebabkan perang tarif ini juga, pengilang di China mendakwa yang banyak jenama mahal seperti Gucci, Adidas dan lain-lain sebenarnya dihasilkan di kilang China dengan kos pengeluaran yang rendah. Dan disebabkan produk tersebut membawa jenama terkenal dan mewah, harganya pula dijual pada kadar yang tinggi di pasaran.
Artikel Berkaitan: China Kenakan Tarif Balas 125 Peratus Terhadap Barangan AS, Pasaran Global Semakin Goyah – Lobak Merah
3. Demam patung Labubu

Siapa je yang tak kenal dengan patung Labubu, fenomena global keluaran syarikat Pop Mart yang menjadi rebutan ramai di seluruh dunia?
Pada Jun 2025, nilai bersih pencipta patung ini dikatakan telah meningkat 4 kali ganda daripada 7.59 bilion dolar kepada 22.1 bilion dolar.
Demam patung ini bukan sahaja mendominasi negara Asia saja, malah rakyat daripada negara Eropah dan Amerika Syarikat turut sanggup menghabiskan duit yang banyak demi mendapatkan satu anak patung ini.
Selain saiznya yang biasa kita lihat, Labubu sebenarnya pernah dihasilkan dalam saiz manusia dengan harga 1.08 juta Yuan iaitu sekitar RM626,000.
Populariti patung ini telah menjadikan pencipta Labubu iaitu Kasing Lung terdiri daripada 10 orang terkaya di China serta lelaki yang termuda terkaya di negara itu.
Artikel Berkaitan: Gara-gara Patung Labubu, Lelaki Ini Jadi Bilionair! Tersenarai 10 Individu Terkaya Di China – Lobak Merah
4. Charlie Kirk ditembak mati

Pada bulan September, dunia dikejutkan dengan berita aktivis politik konservatif Amerika Syarikat dan juga sekutu rapat Donald Trump, Charlie Kirk disahkan meninggal dunia selepas ditembak ketika sedang menghadiri sebuah acara di Utah.
Menerusi beberapa video yang tular, Kirk dilihat telah ditembak di leher di hadapan khalayak ramai ketika sedang berucap di sebuah acara di Utah Valley University.
Sebaik saja tembakan itu dilepaskan, suasana riuh berubah menjadi panik serta orang ramai mula menjerit dan berlari bertempiaran untuk menyelamatkan diri mereka.
Kirk kemudian segera dibawa keluar oleh pasukan keselamatan dan dibawa ke hospital. Namun begitu, beliau tidak sempat diselamatkan.
Kematian beliau mendapat pelbagai reaksi di seluruh dunia. Beberapa tokoh politik seperti Donald Trump turut menzahirkan duka citanya terhadap pemergian Kirk yang tak disangka akan berlaku. Namun ramai juga mengecam kematiannya kerana kenyataan kontroversinya yang mendakwa Palestin tidak pernah wujud sebagai sebuah negara.
Artikel Berkaitan: Aktivis & Sekutu Rapat Donald Trump, Charlie Kirk Maut Dit*mbak Di Utah – Lobak Merah
5. Aktivis Global Sumud Flotilla 2025 ditahan Israel

Pada bulan Ogos, pelancaran rasmi misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2025 telah berlepas di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol dengan melibatkan sebanyak 24 kapal yang membawa lebih daripada 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara.
Tujuan GSF ini juga sebenarnya untuk memecahkan sekatan haram Israel yang telah menjerut kehidupan rakyat Gaza.
Antara aktivitis yang terlibat seperti aktivis iklim Greta Thunberg, cucu Nelson Mandela iaitu Mandla Mandela, ahli politik Portugal Mariana Mortágua, bekas Datuk Bandar Barcelona iaitu Ada Colau dan ramai lagi.
Negara kita juga tidak ketinggalan dengan menghantar beberapa wakil seperti PU Rahmat, Zizi Kirana, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan beberapa lagi.
Namun apa yang menggemparkan dunia pada waktu itu adalah apabila tentera Israel telah menahan beberapa kapal yang bukan sahaja membawa aktivis dari pelbagai negara, malah bekalan asas kemanusiaan untuk orang-orang yang memerlukan di Gaza.
Disebabkan perkara ini, orang ramai menzahirkan rasa marah mereka dengan berhimpun di jalan raya untuk tunjukkan solidariti mereka terhadap ahli Global Sumud Flotilla yang telah ditahan oleh Israel di perairan antarabangsa.
Artikel Berkaitan: Kronologi Perjalanan Global Sumud Flotilla 2025 Ke Gaza, Sebahagian Kapal Kini Ditahan Israel – Lobak Merah
6. Ratu Sirikit Thailand mangkat

Pada bulan Oktober yang lalu, negara Thailand dikejutkan dengan khabar berita yang penuh duka apabila ibu kepada Raja Maha Vajiralongkorn iaitu Bonda Ratu Sirikit Kitiyakara mangkat di usia 93 tahun.
Sebagai tanda penghormatan, kerajaan Thailand telah mengumumkan yang negara mereka bakal berkabung secara rasmi selama setahun terutamanya bagi semua penjawat awam dan kakitangan kerajaan.
Dalam tempoh berkabung ini juga, bendera kebangsaan Thailand akan dikibarkan separuh tiang dan semua institusi awam diarahkan untuk tangguh segala aktiviti hiburan serta majlis keraian yang berskala besar.
Oleh demikian, rakyat Thailand amat digalakkan memakai pakaian hitam atau putih sebagai lambang tempoh berduka dan penghormatan kepada keluarga diraja yang sedang berkabung.
Artikel Berkaitan: Orang Yang Nak Bercuti Ke Thailand Dalam Masa 3 Bulan Ini Disaran Pakai Baju Hitam Sebab… – Lobak Merah
7. Muzium Louvre, Paris dirompak

Suasana di Muzium Louvre bertukar kecoh apabila sekumpulan perompak berjaya melaksanakan rompakan berani terhadap koleksi permata mahkota Perancis yang tiada tandingan harganya.
Laporan mendapati yang tidak lama selepas muzium dibuka untuk pengunjung luar melawat seperti biasa, terdapat empat suspek telah tiba di muzium dengan menggunakan sebuah kren mekanikal yang dipasang pada kenderaan bagi mencapai balkoni di Galeri d’Apollon, iaitu sebuah ruang pameran yang berhampiran dengan Seini.
Siasatan awal mendedahkan yang satu daripada tiga bilik di kawasan yang dirompak rupanya tidak dilengkapi dengan kamera litar bertutup, di samping polis Perancis juga mengesahkan yang sekumpulan perompak ini hanya berada dalam muzium selama empat minit sahaja sebelum sempat melarikan diri dengan dua buah skuter.
Antara koleksi yang dicuri termasuklah mahkota, rantai leher, anting-anting dan kerongsang yang semuanya sarat dengan ribuan berlian dan batu permata. Kesemua hasil rompakan ini juga merupakan permata diraja abad ke-19 yang pernah dimiliki oleh kerabat Perancis terdahulu.
Artikel Berkaitan: Macam Dalam Filem, Ini Bagaimana Muzium Louvre Di Paris Boleh Dirompak Dalam Masa 4 Minit – Lobak Merah
8. Konflik perebutan kuasa di Sudan

Isu yang melanda di Sudan sebenarnya bukanlah perkara yang baru, malah telah berlarutan sejak beberapa tahun yang lalu. Namun ianya semakin meruncing sehinggakan rakyat biasa pula menjadi mangsa dalam konflik perebutan kuasa di Sudan.
Selepas penggulingan Al-Bashir yang telah memerintah Sudan lebih daripada 30 tahun, Al-Burhan terus menggantikan kedudukannya sebagai pemimpin sementara. Dia juga telah melantik Hemedti menjadi timbalan ketua Majlis Kedaulatan dan sekaligus telah mengubah nama Janjaweed kepada Rapid Support Forces (RSF).
Pada awalnya, kedua-dua pemimpin ini memang bekerjasama dalam mengurus pentadbiran negara. Namun tak lama dari itu, hubungan mereka mula retak apabila wujudnya cadangan untuk menggabungkan pasukan tentera RSF ke dalam tentera rasmi Sudan yang dikenali sebagai Sudan Armed Forces (SAF).
Disebabkan cadangan inilah kedua-dua pemimpin enggan melepaskan kuasa dan kekayaan yang mereka telah miliki sehinggakan mulanya berlakunya peperangan pertama di Khartoum pada April 2023.
Pada Oktober yang lalu, RSF telah tawan bandar El-fasher selepas mengepung kawasan itu selama hampir 18 bulan. Kejatuhan bandar ini menandakan SAF hilang kubur terakhir di wilayah barat, menjadikan punca bagaimana Sudan kini ibarat terbahagi kepada dua iaitu timur di bawah SAF dan barat pula di bawah RSF.
Artikel Berkaitan: “Orang awam pula jadi mangsa” – Ramai Orang Terb*nuh, Ini 5 Isu Sudan Yang Korang Perlu Ambil Tahu – Lobak Merah
9. Bencana banjir melanda Asia Tenggara

Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh melanda beberapa negara Asia Tenggara terutamanya di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Antara negara Asia Tenggara yang paling terkesan adalah di Aceh, Indonesia. Suasana di sekeliling Kuala Simpang menjadi huru-hara apabila kawasan itu dipenuhi dengan kereta-kereta yang terkandas meskipun banjir sudah pun reda.
Lebih memilukan lagi apabila kereta yang terkandas tidak dituntut kerana ada tuan empunya kereta dikatakan telah meninggal dunia akibat banjir, menjadikan kereta itu tersadai begitu saja.
Selain itu, negara Thailand Thailand juga kecoh apabila ramai pelancong terkandas di Hatyai selama beberapa hari ekoran berlakunya banjir kilat yang tak disangka-sangka.
Manakala di Vietnam pula, angka korban mangsa banjir dikatakan telah mencecah seramai 91 orang dengan 11 orang dilaporkan hilang setelah negara itu dilanda hujan yang luar biasa.
Artikel Berkaitan: Hatyai Dilanda Banjir, Pelancong Malaysia Diminta Elak ke Selatan Thailand – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Asia Tenggara Dilanda Gelombang Banjir Dahsyat, Selain Malaysia, Thailand, Indonesia & Vietnam Antara Teruk Terkesan – Lobak Merah
10. Pangsapuri Hong Kong terbakar

Sebuah kebakaran dahsyat yang berlaku di beberapa blok pangsapuri tinggi di Hong Kong telah meragut sekurang-kurangnya 44 nyawa, manakala lebih 270 orang dilaporkan hilang dan ribuan penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.
Penduduk di kompleks pangsapuri Wang Fuk Court di daerah Tai Po ini mendakwa yang penggera kebakaran langsung tidak berbunyi, menyebabkan sebahagian daripada mereka terkejut apabila mulai menyedari yang api sudah marak.
Siasatan juga mendapati yang penyebaran api berlaku dengan pantas ekoran dipengaruhi oleh penggunaan styrofoam yang mudah terbakar di bahagian tingkap.
Kompleks pangsapuri ini terdiri daripada lapan blok yang setinggi 31 tingkat dan malangnya ketujuh-tujuh pangsapuri ini telah musnah teruk akibat kebakaran yang merebak dengan cepat.
Meskipun operasi kecemasan kebakaran ini telah melibatkan seramai 767 anggota bomba, 128 jentera bomba, 57 ambulans dan sekitar 400 anggota polis yang diarahkan untuk mengawal dan memadam kebakaran, ia tetap tidak dapat untuk dipadamkan sepenuhnya dalam kadar segera.
Artikel Berkaitan: “Jumlah kematian meningkat & ratusan dilaporkan hilang” – Ini Kronologi Kejadian Kebakaran Di Pangsapuri Hong Kong – Lobak Merah
Sumber: Lobak Merah
Sumber: BH

1 month ago
89






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















