Selepas Flotila Ditahan Di Perairan Antarabangsa, Ini Apa Yang Berlaku Pada Peserta Global Sumud Flotilla 2025

10 hours ago 7

Semalam kita digemparkan dengan inisiatif besar-besaran Global Sumud Flotilla 2025, sebuah usaha kolektif antarabangsa untuk menghantar ubat-ubatan dan makanan kepada penduduk Gaza, telah ditahan oleh tentera rejim Israel. Misi ini disertai 497 peserta daripada 46 negara, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 44 buah kapal yang berlayar di perairan antarabangsa menuju Gaza.

Namun, pelayaran yang penuh harapan itu berakhir apabila tentera laut Israel memintas dan menaiki kapal-kapal flotilla ketika mereka menghampiri 75 batu nautika dari Gaza. Hampir kesemua kapal telah ditahan, kecuali sebuah kapal bernama Marinette yang berjaya mengelak daripada Israel.

Walaupun angka 44 kapal ini menunjukkan angka yang besar bagi sebuah konvoi, ia tetap tidak mampu mengelak daripada berdepan operasi tangkapan besar-besaran yang dijalankan oleh Israel.

Pada awalnya, hanya beberapa kapal sahaja yang dipintas pada malam Rabu, termasuk Alma dan Sirius. Tetapi operasi itu berlanjutan, dan semakin banyak kapal yang dipintas. Lebih mengejutkan lagi, sebahagian aktivis dan sukarelawan dilaporkan ditahan secara tidak sah oleh pihak tentera.

Kapal Mikeno, yang antara flotila paling hampir menghampiri Gaza, turut dipintas dan gagal menyampaikan bantuan seperti yang dirancang.

Jadi apa sebenarnya berlaku ketika flotila ini ditahan? Ini apa yang korang perlu tahu.

Serbuan Israel terhadap flotila GSF

florida abcnews

Tentera Israel mula memintas flotila pada malam Rabu, bermula dengan kapal Alma dan Sirius. Beberapa aktivis dan sukarelawan melaporkan bahawa mereka telah ditahan secara paksa dan tidak sah oleh tentera rejim Israel.

Terdapat sebuah rakaman tular di Telegram menunjukkan kapal yang dinaiki oleh Greta Thunberg iaitu kapal Florida, peserta dalam kapal tersebut menunjukkan sedang memegang pasport mereka sambil menegaskan bahawa mereka datang dengan aman dan tidak membawa senjata.

Kamera yang menyiarkan rakaman langsung dari kapal tersebut menunjukkan tentera Israel memakai helmet dan senjata ketika menaiki kapal itu, sementara penumpang iaitu aktivis dan sukarelawan GSF berkumpul bersama memakai jaket keselamatan dengan tangan terangkat.

Pihak pengajur GSF menganggap Israel adalah sebagai ‘jenayah perang’ kerana menggunakan meriam air serta menganggu komunikasi termasuklah memadam siaran langsung.

Nasib peserta Global Sumud Flotilla 

Selain itu, beberapa wakil Malaysia turut disahkan telah ditahan secara tidak sah oleh Israel di perairan antarabangsa. Isu ini diperkuat lagi dengan beberapa rakaman awal yang tular di media sosial, yang menunjukkan bahawa sekiranya rakaman tersebut dapat dilihat, ia bermakna mereka telah ditahan oleh Israel.

Antara peserta yang jelas menjadi tumpuan dalam insiden penahanan ini ialah Greta Thunberg, yang kelihatan dalam video rasmi Kementerian Luar Israel dikelilingi oleh tentera ketika berada di atas dek kapal. Selain beliau, beberapa aktivis lain turut ditahan, termasuk wakil dari Afrika Selatan seperti Mandela, Dr. Fatima Hendricks, Zukiswa Wanner, Dr. Zaheera Soomar, Reaaz Moola, dan Carolyn Shelver. 

Walaupun Israel mengesahkan bahawa semua peserta flotila berada dalam keadaan selamat, insiden ini telah mencetuskan kecaman meluas di peringkat antarabangsa.

Mencetus gelombang kemarahan 

protest rally malaysia us embassy

Di peringkat antarabangsa, tindakan Israel terus mendapat kecaman hebat. Pelbagai badan hak asasi dan negara menganggap tindakan tersebut sebagai satu bentuk penculikan, lanun, serta keganasan terhadap orang awam yang tidak bersenjata. Sepanyol dan Ireland turut menegaskan bahawa flotila ini adalah misi damai yang bertujuan menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Mexico pula menuntut agar keselamatan rakyatnya yang menyertai flotila dihormati, manakala Brazil menyeru Israel menghentikan semua sekatan yang menghalang misi bantuan kemanusiaan tersebut.

Negara kita juga tidak ketinggalan apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyuarakan rasa kesalnya terhadap Israel kerana misi flotila ini hanya membawa bekalan asas kemanusiaan, namun tetap berdepan dengan ‘intimidasi dan paksaan’, lapor Antara News.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang menghalang kapal Global Sumud. Kapal-kapal tersebut membawa warga awam yang tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa untuk Gaza, namun mereka tetap berdepan dengan intimidasi dan paksaan,” katanya.

Kemarahan ini turut disuarakan di jalan raya apabila puluhan ribu orang berhimpun menunjukkan solidariti terhadap Global Sumud Flotilla yang kini ditahan oleh Israel.

Dengan semakin banyaknya rakaman video penahanan Israel terhadap flotila GSF yang datang secara aman, gelombang solidariti dan kecaman terhadap Israel terus meningkat di seluruh dunia. Protes besar-besaran dilaporkan berlaku di pelbagai kota utama termasuk di Eropah, Afrika Utara, Asia Barat, Turkiye, Buenos Aires, dan Milan, Itali. Ribuan orang turun ke jalan raya bagi menyatakan sokongan terhadap misi kemanusiaan flotila serta menuntut pembebasan aktivis yang ditahan.

Namun ironinya, dalam tempoh artikel ini ditulis, kapal Marinette juga dilaporkan telah pun dipintas dan ditahan oleh tentera laut Israel. Ini bermakna hampir keseluruhan konvoi Global Sumud Flotilla 2025 kini berada di bawah kawalan Israel, meninggalkan tanda tanya kepada pengakhiran misi Global Sumd Flotilla serta pesertanya yang sedang ditahan.

Kejadian ini bukan sahaja mencetuskan persoalan tentang hak kebebasan navigasi di perairan antarabangsa, tetapi juga menambah ketegangan dalam konflik yang sudah lama berlaku di Timur Tengah. Apa yang sepatutnya menjadi simbol solidariti kini berubah menjadi satu episod kontroversi yang menjadi perhatian dunia.

Namun persoalannya kini, sejauh manakah misi ini mampu diteruskan di tengah arus pergolakan politik dan sekatan ketenteraan yang kian merumitkan. Semoga usaha murni mereka semua ini mengubah persepsi dunia terhadap isu kemanusiaan di Gaza.

Sumber: The Jerusalem Post, The Guardian, Middle East Eye

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |