Sejak pelancaran pada 15 Jun 2023 lalu, Skim Perubatan MADANI mendapat sambutan menggalakkan serta diterima baik oleh rakyat Malaysia terutama penerima bangunan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Setakat hari ini, penerima STR yang layak di seluruh Malaysia boleh mendapatkan rawatan akut di klinik-klinik swasta yang berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) di sepuluh daerah terpilih, iaitu :
- Kuala Lumpur
- Selangor (Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang)
- Johor (Johor Bahru)
- Perak (Kinta)
- Pulau Pinang (Timur Laut)
- Sabah (Kota Kinabalu)
- Sarawak (Kuching)
Disediakan di bawah Skim Perubatan MADANI, rawatan percuma yang disediakan termasuk konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan susulan dengan peruntukan untuk setiap isi rumah bekeluarga bagi penerima-penerima STR adalah sehingga RM250, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.
Bagi mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta yang berdaftar, penerima STR yang layak hanya perlu membawa kad pengenalan tanpa perlu melakukan pra pendaftaran.
Dalam masa yang sama, penerima-penerima STR yang layak juga boleh mengenal pasti klinik terdekat dan menyemak kelayakan melalui laman sesawang Protecthealth – Skim Perubatan Madani.
Selain itu, pendaftaran untuk menjadi panel klinik di bawah Skim Perubatan MADANI juga masih lagi dibuka dan sasaran jumlah klinik akan terus meningkat dari semasa ke semasa bagi meluaskan jangkauan perkhidmatan ini. Justeru, mana-mana klinik yang berminat dijemput untuk berdaftar dengan ProtectHealth.
ProtectHealth selaku pelaksana Skim Perubatan MADANI akan terus komited dalam meningkatkan akses kumpulan berpendapatan rendah kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik swasta melalui Public-Private Partnership (PPP) sekaligus meringankan bebanan kewangan golongan tersebut menerusi skim ini.
Dalam masa yang sama, ProtectHealth juga optimis bahawa dengan penglibatan lebih banyak klinik perubatan swasta, kebajikan dan kesejahteraan kumpulan B40 dapat ditingkatkan.