Caruman 15 Tahun Di PERKESO Jadi ‘Talian Hayat’ Waris Mangsa Pemandu M*buk

15 hours ago 13

Kebajikan balu dan tiga anak kepada penunggang motosikal yang maut akibat dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, Ahad lalu kini mendapat pembelaan sewajarnya apabila mereka disahkan layak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Hasil semakan mendapati Allahyarham Amirul Hafiz bin Omar, 33, merupakan seorang pencarum aktif di bawah skim LINDUNG Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sepanjang 15 tahun berkhidmat di TVH Malaysia Sdn. Bhd.

Artikel berkaitan: “Dua hari tak boleh tidur, terbayang tangan terkulai” – Saksi Kongsi Detik Ngeri Penunggang Motor Mel*mbung

Artikel berkaitan: Bukan Sekadar Penjara, Pesalah Kemalangan Ma*t Bakal Diwajibkan Bayar Ganti Rugi Kepada Keluarga Mangsa

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, rekod caruman Allahyarham yang memenuhi syarat di bawah Skim Keilatan membolehkan waris menerima jaminan kewangan yang berterusan.

Img 9478

”Rekod caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan, sekali gus melayakkan waris menerima Pencen Penakat sebagai jaminan kewangan berterusan.

Caruman yang dibuat Allahyarham sebelum ini kini menjadi “talian hayat” buat balunya, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak mereka iaitu Muhammad Aqif Amsyar, Muhammad Afif Izz Rayqal, dan Nur Humaira, yang masing-masing berumur antara dua hingga sembilan tahun,” katanya.

Manfaat Kewangan dan Pendidikan

Melalui manfaat tersebut, Nor Nadia bakal menerima bayaran bulanan sepanjang hayat, manakala ketiga-tiga anaknya akan menerima bantuan kewangan pendidikan sehingga mencapai usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama. Secara keseluruhan, jumlah faedah yang bakal diterima adalah sebanyak RM2,888.17 setiap bulan, selain Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000.

Img 9462Barangan & dokumen allahyarham

Bercakap kepada Lobak Merah, Nor Nadia berkongsi bahawa dia dan anak-anak tidak akan menetap lama di Shah Alam. Sebaliknya, mereka telah merancang untuk berpindah dan memulakan hidup baharu di Perak yang merupakan kampung halaman arwah suaminya. Keputusan itu diambil agar dia lebih dekat dengan keluarga untuk mendapatkan sokongan emosi selepas kehilangan tunggak keluarga secara mengejut.

Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman yang ditemui dalam program Ziarah Prihatin di kediaman waris di Pangsapuri Rimba, Seksyen 16 hari ini turut menegaskan betapa pentingnya perlindungan sosial dalam situasi luar jangka seperti ini.

“Kehilangan insan tersayang tidak dapat diganti, namun perlindungan sosial yang disediakan PERKESO mampu menjadi benteng penting dalam menjamin kelangsungan hidup waris.

Caruman yang konsisten adalah asas kepada perlindungan ini, dan dalam kes ini, ia menjadi penyelamat kepada masa depan keluarga Allahyarham,” jelas beliau.

Seruan Keselamatan dan Akta Pekerja Gig

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar menjauhi pemanduan di bawah pengaruh alkohol bagi mengelakkan tragedi serupa berulang. Beliau juga menyeru majikan agar segera mencarum pekerja mereka kerana perlindungan hari ini adalah jaminan masa depan.

Bermula 31 Mac 2026, aspek perlindungan sosial di Malaysia turut diperkukuh melalui penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872). Akta baharu ini secara rasmi memberi perlindungan kepada lebih 1.64 juta pekerja sektor gig di seluruh negara, menjamin pampasan serta kebajikan sekiranya terlibat dalam kemalangan semasa bekerja.

Sumber: Perkeso

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |