Malaysia dilihat berpotensi memperluaskan kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan dengan Turkmenistan, susulan pertemuan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar Turkmenistan ke Malaysia, Muhammetnyyaz Mashalov di Putrajaya baru-baru ini.
Pertemuan pertama antara kedua-dua pihak itu bukan sekadar kunjungan hormat biasa, sebaliknya turut menjadi ruang untuk membincangkan peluang kerjasama baharu, di samping memperkukuh hubungan perdagangan sedia ada antara kedua-dua negara.

Sehingga Disember 2025, nilai perdagangan pertanian antara Malaysia dan Turkmenistan direkodkan sebanyak RM58.74 juta. Antara produk utama yang dieksport Malaysia termasuk kopi, koko, teh dan rempah-ratus.
Kedua-dua negara kini melihat potensi untuk memperluaskan pasaran bagi produk tempatan, sekali gus meningkatkan perdagangan dua hala.
Dalam masa sama, perbincangan turut menyentuh beberapa aspek penting seperti pengurusan sumber air dalam pertanian, kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta usaha memodenkan sektor pertanian secara menyeluruh.

Langkah ini penting dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, selain memperkukuh agenda keterjaminan makanan di peringkat global.
Artikel berkaitan : “Bermula dengan cili & terung…” – Kesan Konflik Asia Barat, Mat Sabu Saran Penjawat Awam Mula Tanam Sayur Di Rumah
Artikel berkaitan : MAHA 2026 Sasar 4 Juta Pengunjung, RM 58 Juta Transaksi Jualan
Dalam pertemuan itu juga, Mohamad Sabu mengundang Turkmenistan untuk menyertai Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS, Serdang.
Acara yang akan membawa tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” tersebut dijangka bakal menjadi platform penting untuk mempamerkan inovasi dalam sektor pertanian sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam sektor berkenaan.
Sumber : KPKM

12 hours ago
10































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















