Hari Epilepsi Sedunia: Ini Fakta Penting Tentang Epilepsi Yang Korang Patut Tahu

13 hours ago 6

Secara kebiasaannya, Hari Epilepsi Sedunia akan disambut pada setiap hari Isnin minggu kedua pada bulan Februari. Jadi untuk tahun 2026, ianya jatuh pada hari ini iaitu bersamaan dengan 9 Februari 2026.

Serangan epilepsi ni bukanlah perkara yang mudah, bahkan terdapat satu kajian turut mendapati kebanyakan penjaga pesakit epilepsi turut berdepan pelbagai cabaran walaupun mereka bukan penghidapnya.

Tanpa kita sedar, sebenarnya ramai individu terkenal pernah menghidap epilepsi. Contohnya seperti Lil Wayne, Vincent van Gogh dan mendiang pelakon Taiwan drama Meteor Garden, Barbie Hsu yang sebelum ini mempunyai sejarah penyakit tersebut.

Jadi bersempena dengan sambutan Hari Epilepsi Sedunia, ini adalah beberapa fakta penting korang perlu tahu sebagai pengetahuan am.

Artikel Berkaitan: Kluster Tibi Dikesan, Ini Langkah Pencegahan Yang Korang Boleh Buat – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Sangat toksik” – Dituduh Kelirukan Orang Ramai, Danial Zaini Dakwa Ada Pihak Cuba Manipulasi Videonya – Lobak Merah

Apa itu epilepsi?

5Hari epilepsi sedunia juga dikenali sebagai purple day

Epilepsi adalah sejenis sawan yang dialami oleh pesakit secara berlarutan dan kerap. Epilepsi bukan merupakan satu sawan yang biasa kerana ianya berlaku disebabkan oleh perubahan cas elektrik yang tidak terkawal secara tiba-tiba pada bahagian otak sehingga menganggu fungsi sistem saraf yang normal.

Beza sawan biasa dan epilepsi adalah sawan merupakan satu episod terpencil di mana aktiviti elektrik dalam otak menjadi tidak normal. Difahamkan, sesiapa sahaja berpotensi untuk mengalami serangan sawan secara tiba-tiba tanpa penjelasan yang mendalam.

Namun, bukan setiap sawan adalah petanda serangan epilepsi. Apabila berlakunya serangan sawan secara berlarutan serta tanpa punca yang jelas, barulah ia dianggap sebagai serangan epilepsi.

Punca epilepsi 

3

Seperti yang dinyatakan, dalam kebanyakan kes, memang sukar untuk menemui punca utama kepada serangan penyakit ini berlaku.

Namun, gangguan ini boleh disebabkan oleh banyak faktor-faktor tertentu. Antaranya adalah seperti faktor genetik, cedera pada otak ketika masih dalam kandungan yang akhirnya boleh menyebabkan kekurangan oksigen atau cedera pada otak selepas kelahiran.

Walaupun kita banyak dengar kes-kes sawan berlaku pada kanak-kanak, golongan dewasa juga boleh mengalami serangan epilepsi terutamanya apabila berlaku kecedaraan otak seperti strok, ketumbuhan dalam otak, penyakit kemerosotan otak seperti penyakit Alzheimer, tumor otak dan sebagainya.

Gejala yang dialami oleh pesakit 

4

Dalam golongan kanak-kanak, sawan boleh terbahagi kepada sawan akibat demam dan sawan bukan akibat demam.

Sawan demam biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 5 tahun dan selalunya tidak melebihi 15 minit. Ia jarang berlaku pada individu yang berumur 5 tahun ke atas dan sekiranya berlaku, mereka disarankan untuk menjalani saringan kesihatan segera.

Antara gejala yang boleh berlaku pada pesakit adalah seperti hilang sedar secara tiba-tiba, kekejangan otot, pergerakan badan yang tersentak-sentak, mulut berbuih dan terbuang air kecil atau air besar.

Sawan tanpa demam pula adalah bila mana kanak-kanak tiba-tiba alami perubahan tingkah laku seperti termenung dan tidak menyahut apabila dipanggil. Kanak-kanak ini juga berkemungkinan mempunyai pergerakan mata yang tidak normal seperti kelipan mata yang kerap atau mata juling.

Antara gejala yang biasa berlaku pada pesakit adalah perubahan emosi secara tiba-tiba, pergerakan yang berulang-ulang serta halusinasi terhadap bau, dengar atau rasa yang tidak wujud.

Sekiranya sawan ini kerap berlaku, ibu bapa disarankan untuk merujuk anak-anak kepada doktor pakar kerana ia boleh menganggu proses tumbesaran mereka, terutamanya dalam masalah pembelajaran.

Tindakan yang kita boleh lakukan 

Tindakan Epilepsi

Sekiranya kita berdepan dengan orang yang mengalami masalah epilepsi, perkara yang paling penting sekali untuk kita semua adalah untuk tidak panik supaya dapat membuat keputusan yang rasional.

Kita juga perlu untuk memastikan bahawa persekitaran sekeliling kita itu adalah selamat, contohnya tidak berdekatan dengan objek tajam atau berat. Kemudian, kita disarankan untuk melonggarkan pakaian pesakit pada bahagian leher dan dada untuk mendapat bantuan pernafasan. Hal ini kerana, pesakit berpotensi untuk tercekik dengan air liur sendiri ke ketika serangan epilepsi berlaku.

Ketika serangan epilepsi ini berlaku, kita perlu perhatikan seberapa lama ia berakhir. Sebab andai kata ia berlaku lebih daripada 10 hingga 15 minit, mereka perlu dapatkan bantuan hospital dengan segera.

Sepanjang serangan berlaku, pesakit tidak digalakkan untuk diberikan ubatan, air atau makanan serta perlu tunggu sampai ia berakhir. Sebaik sahaja serangan berhenti, pusingkan badan pesakit ke sisi supaya dia tidak tercekik air liur atau tergigit lidahnya.

Namun dalam apa keadaan sekalipun, kita perlu sentiasa tenang dan positif bersama pesakit terutamanya ketika menerangkan apa yang telah berlaku pada mereka. Hal ini adalah untuk memberi ruang kepada mereka untuk hadam apa yang baru berlaku, sebab biasanya mereka akan alami rasa keliru, penat atau terganggu selepas serangan.

Oleh itu, kita sebagai masyarakat biasa ni perlulah sentiasa prihatin dan buang segala stigma tentang pesakit epilepsi. Sebab kejadian ini biasanya berlaku tanpa kawalan mereka, jadi kita perlu mempunyai rasa empati dan beri sokongan kepada pesakit.

Sumber: Doctor on Call, Pusat Sejahtera, Gleneagles, Healthline

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |