“Lebih 150 negara dah akui” – Ini Sebab Kenapa Pengiktirafan Antarabangsa Penting Untuk Palestin Menjadi Sebuah Negara

1 day ago 9

Akhirnya… pada tahun 2025, kita dapat menyaksikan sebanyak 157 negara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. Angka ini sekali gus menandakan sokongan majoriti komuniti antarabangsa terhadap Palestin, sesuatu yang tak pernah dicapai sebelum ni.

Bukan tu je, menurut laporan daripada Al Jazeera, Vatikan pun turut sama berdiri teguh mengiktirafkan Palestin sebagai sebuah negara. Bagi yang tak tahu, Vatikan ni adalah pusat pentadbiran Gereja Katolik dan memiliki pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun bukan ahli penuh.

Negara-negara yang baru mengiktiraf Palestin di sidang ke-80 Mesyuarat Agung PBB termasuklah Perancis, Luxembourg, Malta, Monaco, Andorra dan Belgium.

Mereka turut menyertai negara lain seperti United Kingdom, Kanada, Australia dan Portugal yang lebih awal sudah mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin, seiring dengan perkembangan di Tebing Barat yang terus diduduki Israel dan peningkatan serangan di Gaza.

Walaupun begitu, ada je negara yang masih belum membuat pengiktirafan rasmi. Contohnya, Jepun menyatakan bahawa mereka ‘tidak akan mengiktiraf Palestin sebagai negara buat masa ini’, di samping menyatakan mereka perlukan masa untuk mempertimbangkan langkah tersebut.

Begitu juga dengan Singapura, mereka menyatakan bahawa negara mereka akan mengiktirafkan Palestin sekiranya syarat-syarat seperti kerajaan yang stabil, mengiktiraf hak Israel untuk wujud, dan penolakan terhadap keganasan boleh dipenuhi.

Artikel Berkaitan: “Kami tidak akan gentar” – Diserang Dron, Aktivis Sumud Flotila Tidak Akan Berundur – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Portugal Bakal Iktiraf Palestin Sebagai Negara Berdaulat – Lobak Merah

Jadi, kenapa pengiktirafan itu penting? 

palestine flag

Salah satu sebab utama kenapa pengiktirafan antarabangsa ni sangat penting adalah kerana soal legitimasi undang-undang antarabangsa. Selagi Palestin hanya dianggap sebagai ‘wilayah’ tanpa status negara yang jelas, hak mereka akan sentiasa dipertikai.

Tetapi apabila semakin banyak negara mengiktiraf Palestin, ia boleh jadi satu kelebihan kepada Palestin dari segi undang-undang bahawa Palestin memang berhak untuk menentukan nasib negara mereka sendiri.

Dalam sidang PBB, isu ini sering diketengahkan sebagai langkah penting untuk menjaga hak kedaulatan Palestin dan memastikan mereka tidak terus dipinggirkan dalam sistem global. Malah pakar undang-undang antarabangsa turut menegaskan bahawa pengiktirafan sebuah negara walaupun belum sempurna strukturnya, tetap sah di sisi undang-undang dan bukanlah satu pelanggaran.

Menurut pakar undang-undang antarabangsa, Céline Bardet, pengiktirafan ini jugalah yang mampu meletakkan Palestin sama rata dengan negara-negara merdeka lain. Selain itu, Palestin sebenarnya sudah pun menjadi negara pemerhati bukan ahli PBB sejak 2012 dan diiktiraf oleh ramai anggota.

“Perkara ni boleh bagi identiti rasmi pada rakyat Palestin, walaupun sebenarnya mereka sendiri memang dah tahu siapa diri mereka. Cuma masalahnya, identiti tu belum sah dari segi undang-undang, atau sekurang-kurangnya belum diiktiraf. Bagi saya, yang paling penting sebenarnya adalah simbolik di sebalik keputusan ni, terutamanya untuk rakyat Palestin,” katanya

Di samping itu, pengiktirafan juga membuka pintu untuk Palestin mendapat akses kepada organisasi antarabangsa. Lebih banyak negara yang mengiktirafnya sebagai sebuah negara, lebih besarlah peluang Palestin untuk diterima dalam badan-badan global yang penting, sama ada dalam aspek ekonomi, kesihatan atau keamanan.

Contohnya apabila Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi pada tahun 2012, menjadikan Palestin ke status pemerhati bukan ahli (non-member observer state). Langkah itu memberi Palestin untuk menyertai beberapa agensi PBB dan juga Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Resolusi itu mendapat sokongan daripada 138 negara, dengan 9 menolak, dan 41 berkecuali, menandakan bahawa dunia mula memberi ruang untuk Palestin bersuara dalam arena antarabangsa.

Sebab itulah, kalau lebih banyak negara berani mengambil langkah sama pada masa depan, peluang Palestin untuk mendapat keadilan dan pengiktirafan penuh sebagai sebuah negara akan semakin cerah.

Paling penting sekali, rakyat Palestin yang setiap hari berdepan dengan pendudukan haram, serangan ketenteraan dan penindasan berterusan akhirnya boleh mendapat perlindungan yang lebih jelas apabila negara mereka diiktiraf.

Menurut Al Jazeera, ramai penduduk Gaza menyambut baik langkah ini kerana ia dilihat sebagai ‘pengakuan kewujudan mereka’ selepas hampir dua tahun peperangan yang meragut ribuan nyawa. Walaupun pengiktirafan tidak akan menghentikan penderitaan serta-merta, ia masih memberi harapan bahawa dengan pengiktirafan ini, mereka berpeluang untuk hidup bermaruah di tanah sendiri.

Namun, terdapat pakar undang-undang dan penduduk Palestin mewartakan kebimbangan, meskipun banyak negara sudah mula mengiktiraf Palestin, realiti di lapangan tidak akan semudah itu.

Pendudukan Israel dan terutamanya kekejaman tentera tetap membawa kepada rakyat Palestin terdedah kepada bahaya. Jadi, pengiktirafan ini hanyalah satu langkah awal yang perlu disusuli dengan pelan perancangan yang lebih konkrit.

Kalau usaha pengiktirafan ni dipertimbangkan dengan lebih jauh, status negara Palestin ni juga boleh menuntut perlindungan undang-undang antarabangsa terhadap hospital, doktor, dan kanak-kanak yang selalu menjadi mangsa perang. Secara tak langsung, ia membuka jalan untuk mendapatkan bantuan ubat, makanan, dan air bersih tanpa sebarang sekatan.

Usaha two-state solution

two state solution

Walaupun dunia sering menjadikan two-state solution sebagai naratif diplomatik, secara realitinya Israel langsung tak ada kesungguhan untuk melaksanakannya.

Usaha penyelesaian dua negara ini berdepan halangan besar kerana mendapat tentangan kuat daripada Amerika Syarikat dan Israel sendiri. Malah, difahamkan juga pihak Amerika Syarikat sampai menghalang pegawai Palestin daripada hadir ke Perhimpunan Agung PBB, memetik laporan daripada Religion News.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memang terang-terangan menolak idea negara Palestin. Malah, dia juga ugut untuk membuat keputusan sendiri tanpa persetujuan sesiapa, termasuklah ambil alih sebahagian Tebing Barat dan jadikan ia sebahagian daripada Israel. Kalaulah itu benar-benar berlaku, bermaksud semakin sukar untuk Palestin mencapai kemerdekaan sebenar.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres, turut memberi amaran tegas kepada Israel supaya tidak terus menindas Palestin.

“Israel kena faham yang one-state solution, dengan terus menindas rakyat Palestin tanpa hak, adalah perkara yang langsung tidak boleh diterima. Tanpa solusi dua negara, memang takkan ada keamanan di Timur Tengah,” katanya.

Oleh itu, negara-negara yang telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara menegaskan bahawa usaha diplomatik ini bertujuan untuk segera menghentikan keganasan dan mengakhiri pendudukan haram yang berlarutan selama ini.

Walaupun jalan menuju kemerdekaan Palestin masih panjang dan berliku, pengiktirafan demi pengiktirafan daripada pelbagai negara menunjukkan yang ramai mula berani membuat langkah demi masa depan yang lebih adil.

Tanpa kita sedar, sebenarnya sejarah sedang bergerak di depan mata kita. Satu hari nanti, bila semua negara akhirnya bersatu, bukan sahaja bendera Palestin akan berkibar tetapi harapan untuk memperolehi masa depan yang lebih adil turut bersinar.

Sumber: Al Jazeera, Los Angeles Times, Arab News

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |