Tak Sangka Minyak Petrol Malaysia Sangat Murah, Ini 5 Negara Dengan Harga Petrol Tinggi

16 hours ago 6

Netizen Malaysia kini sedang hangat membincangkan harga petrol RON95 di Malaysia yang bakal turun mulai 30 September ini, iaitu daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter.

Penurunan ini sememangnya disambut baik oleh rakyat kerana minyak petrol ini boleh dikatakan keperluan harian bagi kebanyakan orang. Menariknya, menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, RM1.99 ini menjadikan Malaysia antara negara dengan harga petrol paling murah di dunia.

“Kalau kita lihat, harga RM1.99 ini memang yang paling murah. Sekiranya dinaikkan kepada harga pasaran, kita masih lagi tergolong antara negara dengan harga minyak terendah,” katanya.

Dengan harga subsidi yang rendah ini, Malaysia kini berada dalam kelompok negara dengan harga petrol RON95 yang paling murah, setanding dengan negara-negara seperti Kazakhstan dan Venezuela yang juga memiliki harga minyak petrol yang murah.

Tapi korang tahu tak, ada negara yang rakyatnya perlu bayar harga petrol yang sangat mahal sehingga puluhan ringgit seliter?

Jom kita tengok 5 negara dengan harga petrol tertinggi pada tahun 2025.

Switzerland

switzerland

Switzerland adalah antara negara yang menawarkan harga petrol paling mahal di dunia. Pada September 2025, harga petrol di sana adalah sekitar CHF 1.70 seliter (lebih kurang USD 2.14 seliter atau RM9.50 seliter).

Walaupun mahal, rakyat Switzerland masih ramai yang menggunakan kereta kerana pendapatan bulanan kasar purata mereka adalah sekitar CHF 6,500 (lebih kurang RM36,000). Dengan pendapatan sebegini, rakyat Switzerland masih mampu menanggung kos petrol yang tinggi.

Harga petrol yang tinggi di Switzerland disebabkan oleh beberapa faktor utama, termasuk cukai eksais yang besar, VAT sebanyak 7.7%, serta kos import bahan api yang tinggi kerana negara ini bergantung kepada import. Selain itu, Switzerland turut komited kepada tenaga lestari, yang turut mempengaruhi harga petrol sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon.

Namun, trend pemilikan kereta mula berubah di kawasan bandar besar. Antara tahun 2007 hingga 2015, jumlah pemilikan kereta di bandar utama menurun sebanyak 16%, kerana ramai mula memilih untuk memanfaatkan pengangkutan awam, berbasikal, atau alternatif lain yang lebih mesra alam dan kos efektif. Sistem pengangkutan awam yang cekap di Switzerland turut menyumbang kepada perubahan ini, menjadikan penggunaan kenderaan peribadi bukan lagi keutamaan di bandar.

Artikel Berkaitan: Rakyat Malaysia Boleh Semak Kelayakan Subsidi Petrol RON95 Mulai Hari Ini – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: ”Boleh ulang-alik Kodiang 6 kali sebulan!” – Ramai Persoal Kuota RON95 300 Liter Sebulan Tak Cukup, Ini Respon Netizen – Lobak Merah

Denmark

denmark

Denmark adalah salah satu negara di Eropah yang mempunyai harga petrol tertinggi di dunia. Pada September 2025, harga petrol di Denmark adalah sekitar DKK 14.37 seliter (lebih kurang USD 2.27 seliter atau RM10.20 seliter).

Walaupun harga petrol tinggi, rakyat Denmark masih mampu menanggung kos tersebut kerana pendapatan bulanan purata mereka adalah sekitar DKK 48,572 (sekitar RM33,000). Dengan pendapatan sebegini, kos petrol walaupun tinggi tidak membebankan secara besar bagi kebanyakan rakyat Denmark.

Trend penggunaan kenderaan di Denmark juga telah menunjukkan perubahan ketara. Pada tahun 2025, lebih daripada 80% kereta baru yang didaftarkan di Denmark adalah kenderaan elektrik (EV). Peralihan ini didorong oleh insentif kerajaan seperti pengecualian cukai, subsidi pembelian EV, dan pembangunan infrastruktur pengecasan.

Malah menurut Inhabitat, pemilik kenderaan elektrik di Denmark berpeluang menjana pendapatan tambahan sehingga sekitar €1,300 (lebih kurang RM6,000) setahun dengan memanfaatkan teknologi pengecasan dua hala. Melalui sistem ini, tenaga lebihan dari bateri kereta boleh dihantar semula ke grid elektrik ketika permintaan tinggi.

Projek percubaan yang dijalankan oleh Nissan bersama syarikat utiliti Enel menunjukkan bahawa program ini bukan sahaja membantu menstabilkan grid elektrik negara, tetapi juga memberi peluang kepada pemilik EV untuk memperoleh pendapatan tambahan dengan usaha minimum.

Netherlands

netherlands

Setakat ini iaitu September 2025, harga petrol Netherlands mencatatkan €1.95 seliter iaitu bersamaan dengan RM10.90 seliter, menjadikannya antara tertinggi di Eropah.

Andai kata kos petrol adalah sekitar €1.95 seliter, bermakna mereka perlu membayar sekitar €97.50 untuk 50 liter, iaitu bersamaan dengan RM545. Namun, rakyatnya tidak kelihatan terlalu terkesan dengan kos tersebut.

Hal ini kerana Netherlands mempunyai kadar pendapatan yang seimbang, membuatkan rakyatnya masih mampu menanggung kos petrol yang tinggi.

Selain itu, Netherlands merupakan salah satu negara terkemuka dalam penggunaan EV. Pada separuh pertama 2025, lebih daripada 60,000 EV dijual, membuatkan sebanyak 31.52% telah meningkat daripada tahun sebelumnya.

Di samping budaya Netherlands yang sangat terkenal dengan pengangkutan awamnya yang efisien, rakyatnya juga ramai sudah beralih dengan menggunakan EV bagi menjimatkan kos petrol serta menjaga alam sekitar.

Iceland

iceland

Bagi negara Iceland pula, harga petrolnya adalah sekitar ISK 300.72 seliter iaitu bersamaan dengan RM11.70 seliter, menjadikannya kedua tertinggi di dunia.

Antara sebab utama yang menyebabkan harganya mahal adalah kerana lokasi geografinya yang terpencil. Sebagai negara pulau yang bergantung sepenuhnya kepada import bahan api, Iceland mengahadapi kos pengangkutan logistik yang jauh lebih tinggi berbanding negara lain.

Ditambah lagi dengan cukai dan yuran kerajaan yang besar, harga petrol meningkat dengan ketara. Terdapat kajian menjelaskan bahawa sekitar 53% harga petrol di Iceland datang daripada pelbagai cukai, termasuklah cukai nilai tambah (VAT), cukai eksais khas, cukai eksais umum, dan cukai karbon, di samping proses penambahan bahan api untuk memenuhi piawaian alam sekitar juga menyumbang kepada kenaikan kos ini.

Disebabkan harga petrolnya yang semakin mahal, rakyat negara ini mula beralih ke kenderaan EV. Kerajaan Iceland juga memainkan peranan penting dalam dorongan ini dengan menghapuskan VAT dan yuran pendaftaran bagi pembelian EV, menjadikan pemilikan kenderaan EV lebih menarik.

Langkah ini secara tidak langsung boleh mengurangkan kos bahan api, tetapi juga membuatkan pasaran EV berkembang pesat di Eropah. Oleh demikian, Iceland bukan saja mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil, malah lebih memilih menggunakan kenderaan EV sebagai usaha untuk menjadikan pengangkutan yang lestari.

Hong Kong 

hong kong

Dan negara yang memiliki harga minyak petrol paling mahal jatuh kepada Hong Kong, iaitu sekitar HKD 28.44, iaitu bersamaan dengan RM16.30 seliter.

Hong Kong terkenal dengan sistem pengangkutan awam yang sangat efisien. Namun, bagi mereka yang ingin memiliki kereta sendiri, ia datang dengan kos yang sangat tinggi.

Selain kos membeli kereta, pemilik kereta di Hong Kong harus menghadapi pelbagai perbelanjaan tambahan seperti insurans, petrol, lesen memandu, dan kos parkir, menjadikan semuanya satu beban kewangan yang besar.

Meskipun harga petrol negara itu adalah yang tertinggi di dunia, cabaran terbesar sebenarnya datang daripada kos parkir. Disebabkan tanah di Hong Kong yang sangat terhad, kos parkir di kawasan utama boleh mencecah antara HKD 3,000 hingga HKD 5,000 sebulan, iaitu bersamaan dengan sekitar RM1,700 hingga RM2,800, bergantung pada lokasi.

Isu ini menyebabkan wujudnya kes di mana ruang parkir boleh dijual pada harga HKD 664,000 iaitu mengalahkan harga sesetengah unit kediaman di negara lain.

Bagi kadar pendapatan selepas cukai rakyat Hong Kong pula adalah sekitar HKD 31,655. Ini bermakna, kos parkir bulanan sahaja boleh mengambil antara 10% hingga 15% daripada pendapatan sebulan seseorang.

Oleh itu, walaupun pendapatan mereka antara yang tertinggi berbanding negara Asia lain, kos parkir yang melampau ini menjadikan ia salah satu faktor hanya segelintir golongan sahaja mampu memiliki kereta.

Kesimpulannya, penurunan harga petrol di Malaysia jelas berbeza dengan beberapa negara lain yang rakyatnya terpaksa membayar harga petrol atau mencari alternatif lain bagi mengurangkan kos petrol.

Perbezaan ini juga menunjukkan bahawa harga petrol itu sememangnya boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuklah cukai, kos import, serta struktur geografi sesebuah negara, namun ia tetap bergantung kepada perubahan harga petrol global.

Jadi bagi Malaysia, harga RM1.99 seliter ini sebenarnya adalah peluang untuk kita menikmati kelegaan dari segi kos hidup, kerana walaupun harga petrol global kini sekitar RM2.60 seliter, kita tetap dapat menikmati harga subsidi ini.

Sumber: Sinar Harian, GlobalPetrolPrices, CampervanIceland, Kwiksure

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |