Prosiding inkues kematian Zara Qairina yang dilakukan pada hari Rabu lepas, memperdengarkan keterangan saksi kanak-kanak kedua yang menggambarkan situasi yang berlaku pada malam 15 Julai di mana insiden ini berlaku sebelum pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri di bangunan asrama sekolah agama di Papar, Sabah.
Menurut peguam ibu Zara Qairina, Rizwandean M Borhan, insiden bermula apabila seorang saksi mendakwa kehilangan dompet dan dia mengesyaki arwah Zara Qairina yang mengambilnya.
Katanya, Zara Qairina kemudian dipanggil ke ‘dorm’ lain dan dikepung untuk disoal siasat. Arwah juga telah menafikan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya itu.
“Namun Zara menafikan, dia kata tidak menyentuh dompet, tidak ambil, dan pelajar yang menyoal meminta Zara bersumpah. Zara kemudian bersumpah ‘Wallahi saya tidak ada sentuh, saya tidak ambil dompet ini’. Pelajar yang membuat aduan akhirnya percaya dengan arwah Zara dan mengatakan ‘sorry’,” katanya ketika berkongsi apa yang berlaku di Mahkamah Koroner kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Rabu.
Artikel Berkaitan: Shafie Apdal Kena Surat Tunjuk Sebab Susulan Kenyataan Tentang Kes Zara Qairina
Artikel Berkaitan: “Siap bagi ‘peace’ dalam gambar” – Ketua Warden Dakwa Pelajar A MC Sampai 2 Minggu Lepas Kes Zara Qairina
Tambahnya, keadaan menjadi lebih tegang apabila seorang lagi pelajar masuk ke bilik ‘dorm’ itu dan menuduh Zara telah mencuri pin bendera miliknya.
“Kemudian pelajar itu keluar semula dan membawa dua orang lagi rakannya bersama beberapa pelajar lain masuk ke bilik. Ketika itu, arwah Zara masih duduk di sudut dorm dikelilingi beberapa pelajar yang berdiri.”
“Seorang pelajar marah kepadanya dan beberapa perkataan kesat telah digunakan. Pada masa itu arwah Zara menangis. Menurut saksi kanak-kanak hari ini, dia nampak Zara menangis,” katanya.
Rizwandean menjelaskan, saksi juga mengatakan beberapa pelajar lain yang berada di dalam bilik itu turut mengejek arwah.
Menurut saksi, seorang daripada mereka membawa sepucuk surat ‘privasi’ milik Zara. Beberapa pelajar menjadikan isi surat itu sebagai bahan ejekan sehingga menyebabkan arwah semakin menangis.
Selepas pelajar lain meninggalkan bilik, arwah Zara dilihat masih menangis sebelum melarikan diri keluar, menurut keterangan saksi.
“Kami ada tanya sama ada dia (saksi) buat sesuatu ketika itu, dia kata dia pun takut kerana Zara menangis. Dia turut menggunakan perkataan ‘Zara ditahan, dikepung’,” katanya.
Rizwandean menjelaskan, surat ‘privasi’ yang ditunjukkan itu mengandungi hasrat arwah Zara Qairina untuk menjadi Badar atau pengawas surau di sekolah.
Ketika ditanya sama ada berlaku sentuhan fizikal ke atas arwah Zara Qairina, saksi memaklumkan tiada sebarang sentuhan kecuali soal siasat yang dijalankan.
“Menurut saksi, tiada sentuhan. Yang ada ketika itu lima pelajar bersama tiga ahli dorm lain. Tetapi berapa orang yang soal siasat, kami tidak dapat pastikan kerana menurut saksi hanya seorang pelajar yang marah,” katanya.
Sehubungan itu, Rizwandean menjelaskan bahawa butiran berkenaan merupakan rumusan prosiding yang berlangsung di Mahkamah Koroner semalam.
Sumber: Sinar Harian