Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak berdiam diri apabila timbul dakwaan mengaitkan dirinya dengan pengetua sekolah Allahyarham Zara Qairina, SMKA Tun Datu Mustapha.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasminya, Fadhlina tampil menafikan tuduhan liar terbabit dan menyifatkan ia sebagai fitnah jahat.
Dalam hantaran itu yang turut memaparkan tangkap layar tuduhan terbabit, seorang pengguna media sosial mendakwa beliau mempunyai hubungan persaudaraan dengan pengetua terbabit, malah turut melibatkan arwah ibunya yang sudah tiada untuk mempertahankan diri.
Artikel berkaitan: Sebar Maklumat Palsu Tentang Kes Zara Qairina, KPM Sudah Buat 10 Laporan Polis
Artikel berkaitan: Tiada Kesan Lebam Atau Tanda Penderaan Pada Tubuh Zara Qairina – Dr Janefer Voo
“Akhir-akhir ini, banyak sekali fitnah direkayasa secara liar dan jahat, serta menyebarkan kebencian. Setakat menepis dan menafikan, ternyata tidak menjadi pengajaran.
“Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya. Fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan telah memberikan implikasi kepada masyarakat,” katanya.
Ekoran itu, Fadhlina telah membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung isu tersebut.
Menurutnya, tindakan undang-undang juga akan diambil agar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah.
Dalam pada itu, Fadhlina turut mengingatkan masyarakat agar tidak menambah spekulasi, sebaliknya menghormati keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
Sumber: Facebook