Status agama dua beradik yang maut dalam tragedi kereta menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, minggu lalu telah terjawab.
Mahkamah Tinggi Syariah Seremban mengesahkan kedua-dua mangsa yang berusia enam dan lapan tahun itu adalah beragama Islam.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, pengesahan status agama kanak-kanak terbabit dibuat dalam satu sesi pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
Artikel berkaitan: “Bapa dakwa anak-anaknya telah diislamkan tapi tiada rekod”- Status Agama 2 Beradik Yang Maut Sedang Dikenal Pasti
Artikel berkaitan: Kes Dua Beradik Lemas: Bedah Siasat Belum Dibuat, Suasana Luar Bilik Mayat Lengang
“Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan bahawa kedua-dua mangsa adalah beragama Islam dan diperintahkan dikebumikan mengikut cara Islam.
“Jadi, pengebumian mangsa akan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak waris juga telah mewakilkan kepada JHEAINS untuk menuntut jenazah mangsa.
Semalam, media melaporkan keputusan bedah siasat kedua-dua mangsa adalah disebabkan lemas tanpa sebarang unsur kekerasan.
Difahamkan, siasatan lanjut masih dijalankan dengan setakat ini seramai 15 individu telah diambil keterangan termasuk bekas isteri suspek yang merupakan ibu kepada mangsa serta beberapa saksi di lokasi kejadian.
Sumber: Sinar Harian