Bagaikan sejarah berulang apabila terperangkap kali kedua di Iran akibat peperangan selepas 40 tahun.
Itulah pengalaman warga Malaysia yang terperangkap di Iran, Dr Suraiya Ali, 72 dan suaminya warga Iran Dr Ali R Ebadi, 75, yang sepatutnya pulang ke tanah air pada 18 Jun lalu, berdepan situasi cemas apabila penerbangan mereka terbatal susulan penutupan lapangan terbang.
“Dahulu, saya pernah tinggal di Iran selepas berkahwin dan menamatkan pengajian. Masa itu berlaku peperangan Iran-Iraq, jadi saya terpaksa pulang ke Malaysia kerana saya ada anak berusia dua tahun. Selepas itu, saya tidak pernah kembali ke Iran sehinggalah dua minggu lepas.
“40 tahun kemudian, berlaku lagi peperangan. Jadi saya terperangkap untuk dua kali. Peperangan kali ini jauh lebih teruk,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Teminal 1, malam tadi.
Artikel berkaitan: “Kami tak dapat berhubung dengan ahli keluarga” – Wanita Malaysia Isteri Orang Iran Kongsi Situasi Di Tehran
Artikel berkaitan: Perang Israel-Iran: Parlimen Iran Lulus Langkah Tutup Selat Hormuz
Menceritakan pengalaman itu, Dr Suraiya berkata, mereka yang ketika itu berada di Shiraz, terpaksa mencari jalan alternatif untuk keluar dari Iran selepas semua penerbangan dibatalkan.
“Suami saya berusaha dapatkan tiket untuk ke Dubai, termasuk melalui jalan laut. Namun, akhirnya kami dapat bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Tehran dan Wisma Putra yang mengatur perjalanan pulang kami ke tanah air,” katanya.
Pasangan suami isteri ini antara 24 individu yang dibawa pulang dari Iran melalui koordinasi pelbagai pihak termasuk Kedutaan Malaysia di Tehran dan Kedutaan Malaysia di Ashgabat serta Bangkok bagi menyelaras keselamatan rakyat Malaysia.
Pesawat Malaysia Airlines yang membawa mereka melalui penerbangan MH 781, mendarat di KLIA pada jam 10.50 malam dari Bangkok, Thailand.
Sumber: Buletin TV3