Malam tadi, negara kita telah menyaksikan kemunculan fenomena gerhana bulan penuh. Fenomena di langit yang jarang berlaku ini turut menarik perhatian ratusan pengunjung ke Planetarium Negara bagi menyaksikan detik bersejarah kerana kali terakhir langit kelihatan ‘berdarah’ di seluruh dunia adalah pada November 2022.
Tapi persoalannya, apakah sebenarnya gerhana bulan penuh ni?
Gerhana Bulan Penuh
Fenomena Gerhana Bulan Penuh, atau turut dikenali sebagai Lunar Eclipse, sering menjadi perhatian orang ramai kerana keunikannya yang jarang berlaku.
Ada juga yang memanggil ia sebagai Blood Moon, ekoran kerana bulan akan kelihatan seakan warna kemerahan jingga yang menerangi langit pada waktu malam. Namun Blood Moon bukanlah fenomena berbeza, ia cumalah panggilan lain bagi Gerhana Bulan Penuh.
Gerhana ini terjadi apabila Bumi berada tepat di antara matahari dan bulan, serta bayang-bayang Bumi menutupi keseluruhan permukaan bulan. Walaupun terlindung, bulan tidak hilang daripada pandangannya.
Sebaliknya, ia berubah menjadi warna kemerahan. Warna ini terhasil daripada cahaya Matahari yang dibelokkan oleh atmosfera Bumi, sama seperti cahaya kemerahan jingga yang kita selalu nampak ketika matahari terbenam.
Artikel Berkaitan: Fenomena Rare! Gerhana Bulan Penuh ‘Blood Moon’ Boleh Disaksikan Di Malaysia Malam Ini! – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Lepas Gerhana Matahari & Meteor, Esok Malam Korang Boleh Tengok Gerhana Bulan Penumbra Pula! – Lobak Merah
Ada apa dengan bulan penuh?
Fasa bulan penuh berlaku apabila bulan berada berhadapan terus dengan matahari dari sudut pandangan Bumi. Pada kedudukan ini, keseluruhan bahagian bulan yang menghadap Bumi menerima cahaya matahari sepenuhnya, sebab itu bulan kelihatan bulat dan terang di langit.
Namun, jika pada waktu yang sama bulan sejajar dengan bayang Bumi, maka barulah berlakunya Gerhana Bulan Penuh. Ketika itu, bulan akan tidak dilihat pada langit kerana terlindung, sebaliknya ia akan bertukar warna menjadi kemerahan jingga.
Kenapa merah?
Secara lebih terperinci, apabila cahaya matahari sampai ke Bumi, atmosfera kita akan menapis dan menyerakkan panjang gelombang cahaya yang berbeza.
Cahaya biru dengan panjang gelombang lebih pendek akan tersebar keluar, manakala cahaya merah dengan panjang gelombang lebih panjang akan dibelokkan masuk ke dalam bayang umbra.
Cahaya merah inilah yang akhirnya terpantul pada permukaan bulan, menjadikan ia kelihatan seakan ‘berdarah’.
Warna yang terhasil juga boleh berbeza-beza iaitu daripada keemasan, jingga hingga merah pekat, bergantung kepada faktor seperti jumlah habuk, wap air, suhu dan kelembapan udara dalam atmosfera Bumi ketika gerhana berlaku.
“Sejauh mana Bulan kelihatan berwarna emas, jingga atau merah semasa gerhana bergantung kepada jumlah habuk, wap air serta zarah lain dalam atmosfera Bumi.” kata saintis NASA.
Dari sudut sains, bayangan gelap Bumi yang dipanggil umbra ini berdiameter sekitar 9,334 kilometer, jauh lebih besar daripada saiz Bulan yang hanya besar sekitar 3,540 kilometer. Maka, tidak hairanlah bulan boleh tenggelam dalam bayang tersebut.
Fenomena kali ini juga difahamkan juga lebih istimewa kerana ia berlaku ketika bulan berada pada kedudukan yang lebih dekat dengan Bumi, iaitu sekitar 364, 773 kilometer dan menyebabkan saiznya kelihatan sedikit lebih besar iaitu 33.4 arc minit.
Walau bagaimanapun, tidaklah setiap kali bulan penuh ia akan menghasilkan gerhana. Hal ini kerana, orbit bulan condong sekitar 5 darjah berbanding orbit Bumi.
Maka, kebanyakan masa Bulan hanya melintasi sedikit di atas atau di bawah bayang Bumi. Hanya apabila kedudukan Matahari, Bumi dan Bulan berada dalam satu garisan tepat, barulah fenomena Gerhana Bulan dapat disaksikan.
Kekerapan Gerhana Bulan
Secara umumnya, gerhana Bulan bukanlah fenomena yang terlalu jarang berlaku. Menurut National History Museum, secara purata sekitar tiga gerhana Bulan berlaku setiap tahun.
Namun begitu, tidak semuanya merupakan gerhana penuh. Hanya kira-kira 29% sahaja yang benar-benar Gerhana Bulan Penuh.
Kadang-kadang di sesetengah lokasi tertentu di dunia, gerhana Bulan Penuh boleh dilihat setiap 2 hingga 3 tahun. Walaupun begitu, jika mengambil kira semua jenis gerhana bulan, ia boleh berlaku antara 2 hingga 3 kali setahun, lapor DetikNow yang memetik data rasmi daripada NASA bagi tempoh tahun 2021 hingga 2024.
Dari segi tempoh, satu gerhana bulan biasanya berlangsung selama beberapa jam. Fasa paling kemuncak, iaitu ketika bulan sepenuhnya berada dalam bayang gelap Bumi, ia boleh bertahan sekitar 30 minit hingga sejam lebih, bergantung pada kedudukan dan laluan bulan melalui umbra.
Berbeza pula dengan gerhana Matahari, gerhana bulan jauh lebih mudah untuk disaksikan. Gerhana bulan boleh disaksikan dengan mata kasar oleh sesiapa sahaja. Gerhana matahari tidak dinasihatkan untuk melihat tanpa perlindungan seperti cermin mata gerhana yang disahkan. Hal ini boleh menyebabkan kerosakan mata yang serius.
Gerhana bulan antara fenomena yang paling mudah untuk disaksikan. Kita tidak perlu teleskop atau perlatan khas. Jadi, cukuplah sekadar keluar rumah, dongak ke langit dan saksikan sendiri keindahannya.
Namun dengan menggunakan teropong binokular atau teleskop kecil, ia membolehkan kita melihat lebih banyak butiran permukaan Bulan ketika gerhana sedang berlaku.
Jenis-jenis Gerhana Bulan
Ada ke gerhana Bulan yang lain? Jawapannya, ada!
Selain Gerhana bulan Penuh, terdapat juga fenomena iaitu Gerhana Bulan Separa atau partial lunar eclipse. Fenomena ini berlaku apabila Bumi hanya menutupi sebahagian daripada cahaya Matahari yang menuju ke Bulan.
Jadinya, hanya sebahagian permukaan Bulan sahaja yang berada dalam bayang gelap, manakala selebihnya masih boleh dilihat.
Ketika gerhana Bulan Separa, bahagian bulan yang terlindung akan dilihat seolah-olah sedang ‘digigit’ pada permukaannya. Bayang Bumi kelihatan gelap di sisi bulan yang menghadap ke arah kita. Besarnya ‘gigitan’ itu bergantung pada bagaimana kedudukan matahari, Bumi dan bulan berada pada garis lurus.
Selain itu, Gerhana Bulan Penumbra atau penumbral lunar eclipse pula akan berlaku apabila keseluruhan bulan berada dalam kawasan bayang samar Bumi yang dipanggil penumbra. Dalam keadaan ini, bulan masih dapat dilihat sepenuhnya tetapi cahayanya kelihatan lebih redup dan suram berbanding biasa.
Bayang samar ini merupakan bahagian paling luar daripada bayang Bumi. Oleh sebab perubahannya sangat halus, gerhana jenis ini agak sukar dikesan dengan mata kasar.
Kebanyakan orang mungkin tidak akan perasan pun, kecuali jika mereka benar-benar menumpukan perhatian atau menggunakan kamera.
Walaupun fenomenanya tidak seunik Gerhana Bulan Separa atau Bulan Penuh, ia masih sebahagian daripada kitaran fenomena gerhana bulan.
Setiap kali gerhana bulan berlaku, langit malam ibarat bertukar menjadi ‘pentas’ untuk kita menyaksikan sendiri keindahan alam semesta.
Fenomena ini mengingatkan kita kepada kebesaran ciptaan-Nya yang penuh dengan keajaiban. Kadang-kadang, keajaiban yang berlaku di langit malam sudah cukup untuk menyedarkan kita tentang luasnya ciptaan Tuhan.
Sumber: Space, National Geographic, Astro Awani, Tempo