“Walid sempat usap kepala saya…” – Anak Kongsi Momen Terakhir Dengan Bapa Sebelum Kemalangan M*ut

7 hours ago 9

Sentuhan mesra dan usapan di kepala sebelum melangkah keluar rumah menjadi kenangan terakhir yang tidak akan pernah dilupakan oleh anak sulung kepada Mohd Hilmi Tahar, 48, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan, Putrajaya malam tadi.

Dhia, 18, berkata kali terakhir dia bertemu arwah bapanya adalah kira-kira jam 9 malam sebelum mangsa keluar untuk melakukan aktiviti berbasikal bersama rakannya.

Artikel berkaitan: “Patut kayuh ramai-ramai” – Luahan Sayu Isteri Penunggang Basikal M*ut Dirempuh Kereta

Artikel berkaitan: “Guna kereta EV, carpool, naik basikal” –  Ahmad Maslan Kongsi 7 Langkah Tangani Kesan Kenaikan Harga Petrol

“Tak banyak yang kami bualkan malam tadi tetapi walid sempat usap kepala saya dan saya cakap ‘take care’ (hati-hati) sebelum walid (ayah) keluar untuk pergi berbasikal,” katanya.

Menurut Dhia, hobi berbasikal itu sudah sebati dengan arwah bapanya sejak beberapa tahun lalu dan mangsa kerap menghabiskan masa lapang mengayuh bersama rakan-rakan sekerja.

Mengenang kembali detik cemas berkenaan, Dhia memberitahu ibunya menerima panggilan telefon memaklumkan mengenai insiden itu pada jam 10.30 malam sebelum mereka bergegas ke hospital.

“Saya memang terkejut dan cakap dengan ‘mummy’ semua baik saja dan walid akan baik. Kami sangka keadaan walid tidak serius.

Apabila dimaklumkan keadaan sebenar walid kami sangat sedih namun sebagai anak sulung saya cuba kuat untuk mummy dan adik,” luahnya sebak.

Sambil menyifatkan bapanya yang bekerja di sektor swasta itu sebagai seorang insan yang penyayang, bertanggungjawab dan suka membantu, Dhia memaklumkan jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 sebaik sahaja semua urusan bedah siasat selesai.

Dalam pada itu, ibu mentua mangsa, Rokiah Don, 70, turut menyuarakan rasa kehilangan yang amat mendalam atas pemergian menantu sulungnya yang disifatkan sangat taat dan memudahkan urusan keluarga.

“Semalam saya pergi ke rumah mereka untuk hantar jam dan menantu sempat salam saya sebelum keluar rumah. Arwah juga cium dua anak perempuannya, arwah sayangkan dua anaknya,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa yang mahu dikenali sebagai Naz, 45, memilih untuk menyerahkan sepenuhnya siasatan kes itu kepada pihak polis bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |