“Ia bukan perbuatan manusia” – Bapa Bayi 4 Bulan Meninggal Dunia Di Taska Takkan Maafkan Pelaku

8 hours ago 5

Kematian bayi lelaki berusia empat bulan, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, di sebuah pusat jagaan kanak-kanak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya telah meninggalkan kesan trauma yang mendalam buat keluarganya. Bapa mangsa, Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, menegaskan bahawa dia tidak akan berdiam diri dan nekad menuntut keadilan demi anaknya.

Syafaeez menyatakan rasa kesal yang amat sangat terhadap kejadian yang menimpa anak tunggalnya itu. Beliau menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang di luar batas kemanusiaan.

Artikel berkaitan: 2 Bayi Ditemui Beku Dalam Peti Ais, Suspek Utama Ibu Kandung Kini Dalam Tahanan Polis

Artikel berkaitan: Wanita Buat Laporan Polis Terjumpa Bayi Dalam Tandas Di Stesen Minyak Tapi Rupanya Bayi Sendiri?

“Tidak ada langsung kemaafan. Apa yang berlaku tidak boleh diterima. Ia bukan perbuatan manusia,” katanya.

Malah, beliau juga enggan membenarkan pihak yang bertanggungjawab untuk mendekati jenazah anaknya.

“Kami tidak akan sesekali memaafkan individu yang bertanggungjawab atas kematiannya. Dia minta untuk melihat anak selepas kematiannya, kami tidak benarkan,” katanya lagi.

Kejadian berlaku apabila bayi berkenaan, yang dihantar ke pusat jagaan 24 jam tersebut pada waktu malam, didapati tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan. Hayl Haarith disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi.

Syafaeez, yang merupakan seorang peniaga di Terengganu, bergegas ke Pulau Pinang sebaik sahaja menerima khabar duka daripada isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, yang bertugas sebagai jururawat di hospital berkenaan.

Pasangan ini sering berhubung melalui panggilan video memandangkan mereka tinggal berjauhan. Syafaeez mendedahkan ada sesuatu yang pelik dalam perbualan terakhir mereka sebelum kejadian.

“Saya perasaan sesuatu yang luar biasa ketika buat panggilan video semalam. Hayl Haarith memandang saya lama. Riak wajahnya kelihatan berbeza daripada sebelum ini kerana dia sentiasa ceria,” kongsinya.

Lebih menyedihkan, Syafaeez sepatutnya datang ke Pulau Pinang esok untuk membawa keluarga kecilnya membeli persiapan Aidilfitri, namun perancangan itu kini hancur berkecai.

Syafaeez turut membangkitkan isu kredibiliti pusat jagaan tersebut. Walaupun dia sendiri yang menguruskan pendaftaran, dia mendakwa wujud ketidaktentuan dalam aspek tenaga kerja di premis berkenaan. Beliau mendakwa pekerja di situ sering bertukar ganti dan meragui tahap pengalaman mereka dalam mengendalikan bayi.

Keluarga mangsa mendakwa terdapat unsur penderaan yang dapat dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat berkenaan.

“Sebagai seorang bapa, saya akan mengambil tindakan. Saya akan menuntut keadilan hingga ke penghujungnya supaya keluarga lain tidak mengalami nasib yang sama,” tegasnya.

Jenazah Hayl Haarith dibawa pulang ke Terengganu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut, Marang hari ini.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |