Slim Chickens Malaysia, jenama menjamu selera kasual pantas (fast-casual) yang semakin berkembang dan diiktiraf di peringkat global, hari ini mengumumkan pelancaran rasminya di Malaysia, sekali gus menandakan kemunculan sulung francais ini di Asia.
Slim Chickens terkenal dengan pengalaman menjamu selera kasual-pantas berinspirasikan gaya Selatan Amerika Syarikat, menampilkan kepingan tender ayam yang disediakan segar, sos ciptaan khas (house sauces) serta tawaran menu masa terhad yang disesuaikan dengan cita rasa tempatan.
Pelancaran rasmi di Malaysia & pembukaan cawangan kedua

Pada Rabu, 8 April 2026, Slim Chickens Malaysia telah mengadakan acara bagi menandakan pelancaran rasmi jenama ini di Malaysia, termasuk pembukaan cawangan keduanya yang terletak di NU Sentral, Kuala Lumpur. Sebelum ini, cawangan pertama telah dibuka pada Jun 2025 di SS15, Subang Jaya.
Acara tersebut dirasmikan oleh pasukan kepimpinan kanan Slim Chickens Malaysia yang diketuai oleh Shuen Chiu, Pengarah Pemasaran; Amirul Ashraf Ravi, Pengurus Halal, Rantaian Bekalan dan Jaminan Kualiti; Sanggari Athimulam, Pengurus Operasi; serta Ketua Peruncitan NU Sentral, Alice You.
Sasar buka lebih banyak cawangan dalam tempoh 2 hingga 3 tahun

Shuen Chiu, Pengarah Pemasaran Slim Chickens Malaysia berkata:
“Kami amat teruja untuk mengumumkan pelancaran rasmi Slim Chickens Malaysia dan pembukaan cawangan kedua kami di NU Sentral. Pelancaran ini menandakan kemunculan sulung Slim Chickens di Asia dan menjadi langkah pertama dalam pelan pengembangan jangka panjang jenama ini di rantau ini. Di Malaysia, kami menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 9 hingga 12 lagi cawangan dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang.
“Slim Chickens berada dalam kategorinya yang tersendiri iaitu chicken tenders kasual-pantas. Kami bukan restoran makanan segera, bukan ayam goreng Korea dan bukan juga ayam panggang. Fokus kami adalah untuk menghasilkan kepingan isi ayam yang ringan, rangup, berjus dan penuh rasa menggunakan tender ayam segar. Ia dipadankan dengan 12 variasi sos buatan sendiri yang memberikan pengalaman rasa berbeza setiap kali, dalam suasana yang santai untuk dinikmati bersama rakan dan keluarga.
“Rakyat Malaysia memang mempunyai cita rasa yang tinggi, dan perkara ini jelas dilihat di cawangan pertama kami apabila ramai pelanggan kembali semula. Mereka menghargai kualiti dan rasa, dan ini menjadi dorongan untuk kami terus menyajikan makanan premium dengan rasa yang konsisten pada harga berpatutan.
“Sebahagian besar daripada Slim Chickens juga adalah tentang layanan mesra ala Selatan (Southern hospitality) yang menekankan kemesraan dan rasa ‘dialu-alukan’. Kami percaya makanan mampu menyatukan orang ramai, dan itu menjadi sebahagian daripada fokus pertumbuhan kami.
“Kami juga berbangga untuk berkongsi bahawa Slim Chickens Malaysia telah memperoleh pensijilan halal bagi premis operasi kami. Kawalan dalaman yang ketat turut dilaksanakan merentasi keseluruhan rantaian bekalan, daripada sumber bahan halal hingga ke penyediaan makanan, bagi memastikan setiap hidangan memenuhi piawaian halal yang tinggi.”
Tampil dengan chicken tenders, pelbagai sos & suasana santai

Slim Chickens dikenali di seluruh dunia kerana makanannya yang dimasak segar mengikut pesanan serta pangkalan peminat setia yang dikenali sebagai “Slimthusiasts”. Antara keunikan utama jenama ini adalah pilihan sos pencicah yang pelbagai, membolehkan pelanggan menikmati profil rasa berbeza setiap kali berkunjung.
Menu yang ditawarkan juga lebih luas berbanding kebanyakan jenama dalam segmen yang sama, termasuk chicken tenders, salad segar, sandwic, kepak ayam serta hidangan sampingan yang unik. Reka bentuk cawangan pula menampilkan susun atur terbuka yang selesa dan mengundang, selari dengan fokus jenama terhadap layanan mesra.
Terus lebarkan sayap di peringkat global

Seiring pengembangannya di Asia, Slim Chickens terus menunjukkan pertumbuhan yang pesat dan kini muncul sebagai salah satu konsep ayam kasual-pantas yang semakin mendapat perhatian di peringkat global. Jenama ini turut menawarkan peluang francais dengan sokongan sistem bertaraf dunia serta pasukan kepimpinan yang berpengalaman.
Pada tahun 2025, Slim Chickens mencatatkan peningkatan hampir 25% dalam pertumbuhan restoran global. Kini terdapat lebih daripada 300 cawangan di seluruh dunia, dengan UK dan EU menjadi antara pasaran yang paling pesat berkembang. Setakat Ogos 2025, lebih daripada 1,000 lokasi sedang dalam perancangan pembangunan, termasuk pasaran baharu seperti Poland, Turki, Arab Saudi dan Filipina.
Sektor makanan tempatan tunjuk pertumbuhan kukuh
Pelancaran Slim Chickens di Malaysia berlaku ketika sektor perkhidmatan makanan tempatan menunjukkan pertumbuhan kukuh. Menurut analisis oleh Mordor Intelligence, pasaran ini dianggarkan bernilai USD16.67 bilion (sekitar RM67 bilion) pada tahun 2026 dan dijangka meningkat kepada USD30.74 bilion (sekitar RM124 bilion) menjelang 2031, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 13.05%.
Perkembangan ini didorong oleh peningkatan kuasa beli pengguna, pertumbuhan ekonomi yang stabil serta penggunaan aplikasi pesanan makanan yang semakin meluas.

16 hours ago
33






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















