Tiga sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas sebuah lori milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum melanggar sebuah kenderaan dan merempuh pejalan kaki di persimpangan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
Menurut laporan, dalam kejadian kira-kira jam 1.00 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian disahkan seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.
Sementara itu, isteri mangsa berusia 55 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan kanan dan kedua-dua belah kaki. Mangsa telah dikejarkan ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kronologi kejadian
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kemalangan membabitkan sebuah lori Isuzu milik Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang kosong, Proton Saga, Inokom Matrix dan empat pejalan kaki.
Lori Imigresen yang dipandu lelaki berusia 43 tahun itu dilaporkan dalam perjalanan dari Pejabat Imigeresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit untuk mengambil tahanan selepas operasi terhadap PATI di kawasan berkenaan.
“Lori itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat bagi laluannya berwarna merah, dengan lampu beacon dan siren diaktifkan,” katanya.
Pada masa sama sebuah Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
“Pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.
“Akibat pelanggaran itu, lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah Inokom Matrix yang sedang berhenti di persimpangan,” ujarnya.
Dalam kejadian itu, ketiga-tiga pemandu tidak mengalami kecederaan. Walau bagaimanapun, pemandu lori Imigresen dan pemandu Proton Saga telah ditahan bagi membantu siasatan.
Ujian saringan awal air kencing dan ujian pernafasan alkohol yang dijalankan ke atas kedua-dua pemandu didapati negatif.
Artikel berkaitan: Warga Asing Tular Guna Kenderaan Logo JIM Ditahan, Dakwa Tak Tahu Ia Salah
Artikel berkaitan: [VIDEO] Netizen Puji Tindakan Pejalan Kaki Cuba ‘Hempuk’ Penunggang Motosikal Langgar Lampu Merah
PMX arah JIM siasat
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan JIM menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung insiden terbabit.
Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya wujud sebarang kecuaian atau pelanggaran undang-undang.
Sumber: Berita Harian

8 hours ago
10














![[VIDEO] Pemandu Singapura Didakwa Bergaduh Dengan Polis Malaysia Di Laluan Menuju Ke Woodlands](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/08/ft-polis-trafik.jpg)















:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















