1Bom

Seorang lelaki warga emas dikenali sebagai ‘Ayang’ yang sebelum ini berdepan pertuduhan berkaitan bahan letupan buatan sendiri (IED) disahkan meninggal dunia pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya memaklumkan Yeoh Hock Sun, 63, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.30 malam di Hospital Kuala Lumpur. Makluman kematian diterima daripada anggota pengiring Penjara Kajang, manakala punca kematian dikenal pasti akibat ‘refractory shock’, iaitu keadaan renjatan yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan optimum telah diberikan.

Terdahulu, pada 9 Januari lalu, tertuduh terpaksa didakwa di Hospital Tuanku Jaafar kerana sedang menerima rawatan susulan kecederaan dialami dalam satu insiden letupan. Dalam prosiding tersebut, beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan.

Screenshot 2026 02 28 At 11.51.56 AmGambar ketika kejadian 22 disember lalu

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yeoh didakwa melakukan khianat menggunakan bahan letupan sehingga menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di kawasan parkir Blok A, Pangsapuri Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lalu. Selain itu, beliau turut berdepan beberapa pertuduhan lain kerana memiliki bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah untuk digunakan bagi mencederakan orang lain, termasuk di sebuah unit pangsapuri, dalam sebuah kereta Proton Wira serta di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 dan Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan. Susulan kematian tertuduh, tindakan lanjut berkaitan prosiding kes akan ditentukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.