Syaz Ft 2026 04 13T171722.899

Syarikat pengangkutan bas ekspres, Sri Maju Group, mengesahkan bahawa pemandu yang tular dalam sebuah video baru-baru ini telah ditamatkan perkhidmatannya dengan serta-merta. Tindakan tegas itu diambil susulan perbuatan tidak bertanggungjawab pemandu berkenaan yang dirakam mengendalikan bas sambil seorang wanita duduk di atas ribanya.

Menerusi satu kenyataan rasmi di Facebook hari ini, pihak pengurusan menjelaskan bahawa kejadian tersebut berlaku semalam melibatkan laluan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Larkin, Johor Bahru. Pihak syarikat menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang amat mengecewakan dan sama sekali tidak boleh diterima.

Artikel berkaitan: “Tak fikir nyawa penumpang ke?” – Riba Wanita Ketika Bawa Bas, JPJ Siasat Pemandu Bas Ekspres

Artikel berkaitan: Dakwa Dipergunakan, Bekas Chef Peribadi Mahu Saman Neymar RM1.4 Juta

Selain tindakan pemecatan, Sri Maju Group turut mengambil langkah undang-undang dengan membuat laporan polis serta melaporkan perkara tersebut kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Susulan itu juga, pihak syarikat membuat satu laporan polis terhadap pemandu berkenaan berhubung insiden itu, selain kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Kami sedang beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya.

Bagi mengelakkan perkara sama berulang, syarikat kini giat menjalankan kerja-kerja pemasangan sistem pengawasan video pada semua bas sedia ada yang masih belum dilengkapi teknologi berkenaan. Sistem pemantauan terhadap pemandu dan keadaan di dalam bas sudah mula dipasang pada unit-unit bas baharu mereka.

Pihak Sri Maju turut memohon maaf secara terbuka kepada para penumpang serta orang awam atas kegusaran yang timbul, sambil menegaskan bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kakitangan yang melanggar etika kerja.

“Tingkah laku dipaparkan dalam video berkenaan suatu pelanggaran serius terhadap prosedur operasi standard syarikat, selain bercanggah sama sekali tata etika profesional yang kami tetapkan bagi semua pemandu kami,” tegas mereka.

Pihak syarikat memberi jaminan bahawa keselamatan dan keselesaan penumpang akan terus menjadi keutamaan tertinggi dalam operasi harian mereka selepas ini.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.