Pelajar Tingkatan Satu Maut Dirempuh Kereta Ketika Pakai Kasut Di Depan Surau Sekolah

8 hours ago 14

Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau di sebuah sekolah di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Abang mangsa, Muhammad Ali Mustaqim, 15, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut sejurus adiknya selesai menunaikan solat Zohor.

Saya berada di luar sekolah menunggu rakan untuk pulang bersama sebelum dimaklumkan adik dilanggar kereta di hadapan surau,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, dia melihat adiknya dalam keadaan tidak bernyawa di tangga surau sebelum memeluk jenazah tersebut.

Difahamkan, kenderaan yang terlibat dipercayai diparkir berhampiran kawasan surau sebelum insiden berlaku.

668618965 34808651885447337 8228872791680038748 N

Artikel berkaitan: Bumbung Sebuah Stesen Minyak Runtuh Akibat Dilanggar Treler

Artikel berkaitan: Dipercayai Dilanggar, Tapir Jantan Seberat 250kg Ditemui Mati Di Kemaman

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Azaudin Abdullah, 43, berkata, dia menerima panggilan daripada ahli keluarga yang memaklumkan kejadian berkenaan ketika berada di tempat kerja.

“Sebaik tiba di sekolah, saya lihat anak sudah terbaring kaku dan diletakkan di surau. Saya tergamam melihat keadaan itu,” katanya.

Menurutnya, pihak sekolah memaklumkan anaknya telah meninggal dunia, namun belum dapat menjelaskan secara terperinci kejadian sebenar termasuk identiti pemandu yang terlibat.

Allahyarham merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan tinggal bersama ibu saudara sejak kematian ibunya lima tahun lalu.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Mas selepas proses bedah siasat selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Azmir Damiri mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |