Syaz Ft 2026 04 13T121101.434

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini sedang giat menjalankan siasatan susulan tularnya sebuah video yang mencetuskan kemarahan netizen, memaparkan tindakan tidak bertanggungjawab seorang pemandu bas ekspres yang didakwa memandu sambil meriba seorang wanita.

Menerusi rakaman yang dipercayai diambil oleh salah seorang penumpang, wanita tersebut dilihat duduk di atas riba pemandu sambil tangannya turut memegang stereng ketika bas sedang dipandu laju di lebuh raya. Bukan itu sahaja, satu lagi rakaman dashcam daripada kenderaan lain menunjukkan bas berkenaan memandu secara meluru dan menyelit di celah-celah kenderaan, sekali gus membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Artikel berkaitan: 30 Penumpang Berdepan Detik Cemas, Bas Ekspres Bertembung Lori Dari Arah Bertentangan 

Artikel berkaitan: JPJ Wajibkan Penumpang Bas Ekspres & Persiaran Untuk pakai Tali Pinggang Keledar Berkuatkuasa Selasa Ini

Kejadian itu dipercayai berlaku melibatkan perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai. Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, pihaknya tidak berlengah dan terus mengambil tindakan sebaik sahaja rakaman tersebut tular.

“Siasatan segera dijalankan susulan video tular itu. Pemandu dan syarikat bas yang terbabit sudah pun dikenal pasti. Pemandu berkenaan juga sudah dipanggil untuk diambil keterangan pagi ini,” jelas beliau.

Datuk Muhammad Kifli menambah, sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan, kes tersebut akan dirujuk terus kepada Ketua Pengarah JPJ untuk menentukan tindakan dan arahan selanjutnya. Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan mengenai insiden ini supaya tampil menyalurkannya di mana-mana pejabat JPJ berhampiran.

Dalam masa yang sama, beliau memberikan peringatan keras kepada semua pemandu, khususnya bagi sektor kenderaan komersial, agar tidak memandang remeh undang-undang jalan raya.

Sumber: Harian Metro, Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.