Syaz Ft 2026 02 25T101821.282

Jeritan dan tangisan sayu dari dalam sebuah kereta yang sedang tenggelam di Tasik Biru, Kundang, menggerakkan sekumpulan pemuda untuk bertindak berani terjun ke dalam tasik demi menyelamatkan nyawa mangsa.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam itu melibatkan seorang wanita berusia 40-an dan dua anak perempuannya yang berusia tiga serta enam tahun. Kesemua mangsa berjaya diselamatkan sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

Salah seorang penyelamat, Mohamad Fahmi Ismail, 33, menceritakan bahawa dia sedang menikmati juadah moreh apabila menerima maklumat mengenai sebuah Proton X50 yang terjunam ke dalam tasik melalui kumpulan WhatsApp komuniti.

Artikel berkaitan: Mayat Misteri Ditemui Terapung Di Taman Tasik Danau Kota

Artikel berkaitan: “Edi janji nak bawa tunai umrah” –  Pelajar Pintar PhD M*ut Kereta Terjunam Dalam Tasik UMK

Setibanya di lokasi, suasana sangat cemas dengan suara tangisan kanak-kanak dari kenderaan yang hampir tenggelam sepenuhnya.

“Bila saya dengar kanak-kanak tu menjerit, terus terba­yangkan dua anak saya. Mula-mula takut juga, tapi saya beranikan diri ke­tepikan rasa takut terjun terus ke dalam tasik berkenaan,” kongsinya.

Fahmi bersama enam pemuda lain menggunakan teknik “panjangkan tangan” untuk mencapai mangsa di tengah kegelapan malam. Walaupun keadaan sangat berisiko, mereka nekad meneruskan usaha tersebut.

“Ketika saya tiba sudah ada pemuda-pemuda lain, termasuk saya seramai tujuh orang cuba selamatkan mangsa. Kami guna teknik panjangkan tangan. Walaupun begitu, ada juga di antara kami hampir lemas ketika nak selamatkan mangsa,” katanya.

Dalam tempoh 15 minit, kedua-dua kanak-kanak tersebut berjaya dibawa keluar menerusi bumbung suria (sunroof) kereta, manakala ibu mereka dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Si ibu, dia yang hampir tenggelam cuba nak selamatkan anak-anak. Nasib baik sunroof kereta terbuka. Jadi boleh keluarkan dari atas. Dengan kea­daan gelap-gelita. Kayu ke ranting langsung tak ada.” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fahmi mendedahkan bahawa pada awalnya orang ramai yang berhimpun menyangka ia hanyalah sesi penggambaran filem sehinggalah jeritan sebenar kedengaran.

Beliau turut meluahkan kegusaran mengenai keselamatan di kawasan tersebut yang sering memakan korban atau terlibat dalam kemalangan serupa setiap tahun.

Sumber: Kosmo, Instagram

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.