3Karok

Kerajaan negeri menetapkan semua pusat karaoke di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Terengganu hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam berkuat kuasa serta-merta, dan ketetapan itu akan terus dilaksanakan walaupun selepas Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penyelarasan itu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan berhubung waktu operasi yang sebelum ini berbeza antara satu kawasan dengan kawasan lain. Terdapat premis yang beroperasi sehingga jam 1 pagi, manakala sebahagian lagi menamatkan operasi pada jam 10 malam.

Screenshot 2026 02 28 At 12.54.39 PmGambar hiasan

Menurutnya, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak melanjutkan tempoh operasi sehingga jam 1 pagi seperti yang dimohon segelintir pengusaha. Sebaliknya, semua PBT diarahkan untuk menyeragamkan waktu operasi pusat karaoke bermula jam 10 pagi hingga 10 malam sahaja di seluruh negeri.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas merasmikan Program Selepek Sahur di tapak Payang Walk, Dataran Shah Bandar. Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta wakil agensi pelancongan negeri.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam menegaskan pengusaha yang gagal mematuhi arahan baharu itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11(2), Enakmen Hiburan di Tempat Hiburan 2002. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.