Syaz Ft 2026 02 19T153618.858

Di Seksyen 7, Shah Alam, seorang lelaki cuba berlakon jadi ‘sis’ semata-mata nak pecah masuk sebuah rumah sewa. Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya kantoi juga apabila aksinya dirakam jelas oleh televisyen litar tertutup (CCTV).

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.26 pagi semalam itu hanya disedari oleh salah seorang penghuni rumah sebaik sahaja dia pulang sekitar jam 6.30 petang. Alangkah terkejutnya mangsa apabila mendapati pintu utama rumahnya sudah ternganga luas dan keadaan di dalam kediaman pula berselerak dikerjakan ‘tetamu tak diundang’.

Artikel berkaitan: Dakwa Pecah Masuk Rumah, Dr Afifah Bakal Ambil Tindakan Sivil Terhadap Nubhan

Artikel berkaitan: “Suami saya culik dan sembunyikan, sekarang dia dakwa anak hilang” – Ibu Budak Ditemui M*ut Di Rompin

Menerusi perkongsian mangsa di media sosial, dia mendakwa tiada kesan umpil dikesan pada pintu, seolah-olah suspek mempunyai akses kunci lain. Malah, mangsa turut menyifatkan tindakan suspek sebagai agak ‘kelakar’ kerana tidak memakai sarung tangan dan siap menyentuh kamera CCTV, sekali gus memudahkan kerja pihak polis.

Apa yang menarik perhatian adalah kegigihan suspek untuk mengaburi mata orang sekeliling. Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol individu tersebut memakai pakaian persis wanita.

“Hasil rakaman CCTV memaparkan suspek cuba menyamar dengan berpakaian wanita seperti bertudung dan membawa beg tangan agar perbuatannya tidak disyaki penghuni rumah lain di kawasan tersebut,” katanya.

Walaupun rumah sudah diselongkar, nasib baiklah tiada sebarang kerugian atau kehilangan barang berharga dilaporkan buat masa ini.

Pihak polis kini sedang giat memburu lelaki tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun serta sebatan.

“Orang ramai terutamanya penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan agar memaklumkan kepada jiran atau pihak polis sendiri di balai berdekatan sekiranya meninggalkan rumah untuk bercuti,” katanya lagi.

Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kes ini diharap dapat hubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Rustam Eliah di talian 019-6148034 bagi membantu siasatan.

Sumber: Threads, Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.