Sebuah bandar raya di Jepun menerima sumbangan luar biasa bagi membantu menaik taraf sistem bekalan air yang semakin uzur apabila seorang penderma misteri menyumbang 21 kilogram jongkong emas kepada pihak berkuasa tempatan.
Datuk Bandar Osaka, Hideyuki Yokoyama, memaklumkan jongkong emas itu diserahkan pada November lalu dengan nilai yang dianggarkan sekitar 560 juta yen (bersamaan kira-kira RM17 juta). Penderma tanpa nama terbabit dilaporkan memilih untuk tidak mendedahkan identitinya.
Osaka yang mempunyai hampir tiga juta penduduk merupakan hab komersial utama di wilayah Kansai dan bandar ketiga terbesar di Jepun. Namun seperti banyak bandar lain di negara itu, infrastruktur paip air dan kumbahan di Osaka semakin berusia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.

Menurut biro bekalan air bandar berkenaan, lebih 90 kes kebocoran paip bawah tanah direkodkan sepanjang tahun fiskal 2024. Secara keseluruhan, lebih 20 peratus paip air di Jepun telah melepasi jangka hayat perkhidmatan sah selama 40 tahun, menyebabkan risiko kerosakan dan insiden seperti tanah jerlus semakin meningkat.
Pihak berkuasa bandar menyatakan penghargaan atas sumbangan emas tersebut dan memaklumkan dana berkenaan akan digunakan untuk kerja-kerja penggantian serta pembaikan paip yang telah berkarat. Usaha pembaharuan infrastruktur sebelum ini berdepan kekangan bajet, terutama selepas beberapa insiden tanah jerlus serius dilaporkan, termasuk kejadian di Wilayah Saitama yang mengorbankan seorang pemandu lori akibat paip kumbahan pecah.
Sumber: BBC

18 hours ago
8































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















