Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) terus memperkukuh usaha pemuliharaan Harimau Malaya melalui program penajaan makanan dan suplemen kesihatan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.

Hasil kerjasama strategik ini membantu meningkatkan kesihatan dan kebajikan induk Harimau Malaya bagi menyokong usaha pembiakan secara ex-situ. Sepanjang tempoh tajaan dari tahun 2023 hingga 2025, sebanyak lapan (8) kelahiran anak harimau daripada seekor induk betina telah berjaya direkodkan.

Kerjasama ini turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti pegawai PERHILITAN melalui penajaan latihan dan bengkel antarabangsa berkaitan wildlife conservation medicine dan wildlife reproductive biotechnology.
Antara program termasuk penyertaan dalam International Conference of Asian Society of Conservation Medicine (ASCM) di Chiang Mai, Thailand, serta bengkel berkaitan Assisted Reproductive Technology (ART) di Khao Kheow Open Zoo, Thailand.
Tajaan industri sawit itu memberi peluang kepada pegawai PERHILITAN untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pendekatan serta teknologi terkini berkaitan konservasi spesies hidupan liar terancam, khususnya dalam bidang perubatan veterinar, pengurusan reproduktif dan teknologi pembiakan berbantu. Pada masa yang sama, program ini turut membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan pengalaman dengan pakar konservasi antarabangsa.
Kerjasama yang merangkumi pemuliharaan secara ex-situ, penyelidikan saintifik, teknologi pembiakan berbantu dan pengayaan habitat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 12 April 2021 dan tamat tempoh pada 20 April 2026.
Ia memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pemuliharaan, khusus di NWRC dan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC), Lanchang, Pahang.
Sejak tahun 2021, MPOGCF telah menyalurkan tajaan sebanyak RM2 juta bagi menyokong pelbagai inisiatif pemuliharaan Harimau Malaya bersama PERHILITAN, merangkumi program pembiakan secara ex-situ, penyelidikan saintifik, pembangunan teknologi pembiakan berbantu serta pembangunan kapasiti pegawai.
Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah penyediaan kelengkapan serta naik taraf makmal bagi menyokong program pembiakan Harimau Malaya secara ex-situ, penyelidikan hormon dan genetik, pembangunan Assisted Reproductive Technology (ART) serta pengayaan habitat yang dijalankan oleh jabatan berkenaan.

Kelengkapan dan kemudahan makmal yang dipertingkatkan ini menyokong pelaksanaan Program
Pembiakan Berbantu yang merangkumi pelbagai kaedah seperti laparoscopic artificial insemination (LAI), ovum pick-up (OPU), pengumpulan semen dan cryopreservation.
Pendekatan ini membolehkan penilaian kesuburan, pengurusan pembiakan serta pemeliharaan bahan genetik Harimau Malaya dilaksanakan secara lebih sistematik, berkesan dan berasaskan sains.
Di samping itu, kerjasama MPOGCF dan PERHILITAN turut menyalurkan sumbangan bagi penyelidikan berkaitan hormon pembiakan serta genomik Harimau Malaya bersama institusi pengajian tinggi. Penyelidikan ini membantu meningkatkan pemahaman berkaitan aspek reproduktif, genetik dan kesihatan populasi Harimau Malaya dalam kurungan.
Dalam usaha untuk terus memperkukuhkan komitmen tersebut, MPOGCF, PERHILITAN dan FELDA kini dalam peringkat memeterai memorandum persefahaman yang baharu bagi meneroka pembangunan Program Pembiakbakaan Spesies Mangsa Harimau Malaya.
Cadangan program ini memberi tumpuan kepada tiga spesies utama iaitu rusa sambar, pelanduk dan landak raya, dengan potensi penglibatan penternak terpilih komuniti FELDA. Sekiranya dilaksanakan, program ini berpotensi menggabungkan kepakaran teknikal daripada Jabatan PERHILITAN dalam aspek pengurusan dan pemuliharaan spesies dengan penglibatan komuniti dan penternak FELDA.
Inisiatif yang sedang dibincangkan ini mengambil kira kepentingan ketersediaan spesies mangsa sebagai salah satu komponen penting dalam ekosistem yang menyokong kelangsungan populasi Harimau Malaya di habitat semula jadi.
Kerjasama MPOGCF dan PERHILITAN ini mencerminkan pendekatan pemuliharaan yang menyeluruh melalui gabungan pembiakan ex-situ, penyelidikan saintifik, teknologi reproduktif, pembangunan kapasiti, rehabilitasi dan usaha pemulihan ekosistem.
MPOGCF kekal komited untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan, industri, institusi penyelidikan dan komuniti dalam menyokong usaha pemuliharaan Harimau Malaya serta memastikan spesies ikonik ini terus menjadi khazanah dan simbol kebanggaan negara untuk generasi akan datang.

5 hours ago
12





![[TERKINI] Pengampunan Diraja: Permohonan Pengampunan Najib Razak Ditangguh](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/09/pengampunan-najib-ditangguh.jpg)
























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















