“Ketika itu saya memang hilang harapan” – Yasin Sulaiman Kongsi Detik Gelap Semasa Dalam Penjara

3 hours ago 3

Seperti yang kita sedia maklum, penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, 51 akhirnya dibebaskan selepas menghabiskan masa selama 4 tahun setengah di sebalik tirai besi.

Katanya, pengalaman itu telah meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya, termasuk pengalaman dibogelkan ketika pemeriksaan keselamatan, dan ketidakpastian mengenai masa depan.

Artikel berkaitan : Selepas 4 Tahun, Yasin Sulaiman Akhirnya Bebas & Dibenarkan Pulang Dari Hospital Bahagia

Artikel berkaitan : Yasin Sulaiman Dibebas Dari Hukuman Penjara Seumur Hidup, Perlu Kembali Ke Hospital Bahagia

Rasa akan habiskan riwayat di dalam penjara

Malah, Yasin turut mengakui pernah berada pada satu tahap sehingga merasakan bahawa fasa hidupnya sudah berakhir.

“Penjara bukan tempat yang senang. Keadaannya sangat mencabar dan memberi kesan yang mendalam kepada saya. Kalau boleh, jangan masuk penjara. Itu sahaja yang boleh saya katakan.” 

Berkongsi mengenai episod sukar dalam hidupnya, Yasin berkata, keadaan menjadi semakin gelap selepas beliau dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun. Ketika itu, beliau mula membayangkan masa depannya akan berakhir di dalam penjara.

“Saya dijatuhkan hukuman 30 tahun penjara. Ketika itu saya memang hilang harapan. Kalau hukuman itu kekal, saya akan berada dalam penjara sehingga umur saya 80 tahun. Itu pun kalau panjang umur. Kalau tidak, mungkin saya meninggal dunia dalam penjara.”

“Saya tak dapat gambarkan perasaan itu dengan kata-kata. Saya rasa seperti tiada penyelesaian lagi. Sebab itu saya pernah terfikir, kalau perlu menunggu 30 tahun dalam penjara, lebih baik saya digantung sampai mati.” katanya.

Screenshot 2026 09 10 145233

Sebagai info, Yasin ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sebelum dipindahkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, kemudian ke Penjara Kajang sebelum kembali semula ke hospital berkenaan.

Ketika hukuman dijatuhkan, Yasin berkata beliau benar-benar merasakan kehidupannya sudah berakhir.

“Saya boleh rasa tekanan itu. Darah dan tekanan darah saya naik mendadak. Apabila dibawa semula ke lokap, saya hanya mampu baring kerana tidak dapat mengendalikan tekanan dan emosi yang sedang saya lalui ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik detik paling gelap itu, Yasin menemui kekuatan untuk terus bertahan. Sepanjang berada di Penjara Kajang, Yasin berdoa, bersolat bersungguh-sungguh dan mendekatkan diri kepada Tuhan ketika berdepan dengan ujian tersebut.

“Saya banyak berdoa, bersolat bersungguh-sungguh dan mendekatkan diri kepada Ilahi. Apabila hukuman itu dijatuhkan, saya benar-benar rasa sudah tiada jalan keluar,” katanya.

Bagaimanapun sinar akhirnya muncul apabila Mahkamah Rayuan menerima laporan forensik daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta dan membebaskannya.

Bahkan, pembebasan penuh Yasin kemudian diperkenankan Sultan Selangor selepas semua prosedur rawatan serta penilaian yang ditetapkan selesai dijalankan. Menurutnya, penyanyi lagu Mimpi Laila ini, dia tidak diberikan laluan mudah sepanjang proses tersebut.

Screenshot 2026 09 10 145407

“Saya tidak diberi laluan mudah. Saya ikut semua prosedur yang ditetapkan. Pihak hospital telah berpuas hati dengan perkembangan rawatan saya. Mereka membuat penilaian yang menyeluruh sebelum proses pembebasan diluluskan.” katanya.

Kini, selepas kembali menikmati kebebasan, Yasin mengakui kehidupannya dipenuhi dengan kesibukan yang sudah lama dirinduinya.

Jelasnya, banyak perkara perlu diuruskan semula, termasuk keluarga, kerjaya seni serta studio rakamannya yang ditinggalkan sepanjang tempoh tersebut.

“4 tahun setengah itu satu tempoh yang panjang. Jadi banyak perkara yang perlu disusun semula,” katanya.

Menurut sumber, Yasin kini sedang menyiapkan sebuah autobiografi setebal kira-kira 400 halaman yang merakamkan perjalanan hidupnya.

Buku tersebut memberi penekanan kepada pengalamannya berdepan isu kesihatan mental, sesuatu yang dianggap penting untuk dikongsikan kepada masyarakat.

“Saya mahu orang tahu bahawa masih ada harapan. Ramai yang rasa hidup sudah berakhir apabila didiagnosis dengan gangguan mental seperti bipolar. Saya pun pernah berada dalam keadaan itu.

“Tetapi sebenarnya masih ada harapan jika kita mendapatkan rawatan yang betul dan tidak berputus asa,” katanya.

Bagi Yasin, kebebasan yang dinikmatinya hari ini bukan sekadar bermaksud bebas daripada tahanan. Sebaliknya, ia menjadi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan, memperbaiki diri dan berkongsi harapan kepada mereka yang sedang bergelut dengan ujian masing-masing.

Sumber : Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |