Kisah Anna Jarvis: Cipta Hari Ibu Tapi Menyesal Selepas Satu Dunia Meraikannya

1 hour ago 4

Memandangkan Hari Ibu menjelang tiba, ingin kami kongsikan mengenai sejarah bagaimana Hari Ibu boleh tercetus. Ia bermula daripada seorang wanita dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Anna Jarvis pada tahun 1908.

Anna Jarvis difahamkan tidak mempunyai anak sendiri, tetapi beliau menganggap Hari Ibu sebagai kesempatan untuk menghormati pengorbanan yang dilakukan oleh setiap ibu untuk anak-anak mereka.

Artikel berkaitan: “Kecik2 dah sweet” – Wanita Terharu Anak ‘Surprise’ Hadiah Tudung Sempena Hari Ibu

Artikel berkaitan: [VIDEO] Sempena Hari Ibu, Anak Hadiahkan Cincin Emas Hasil Kumpul Duit Jual Jajan

Hanya sambut secara kecil-kecilan di gereja kawasan perumahan

Anna yang merupakan anak kepada seorang aktivis memulakan sambutan Hari Ibu secara rasmi di  sebuah gereja yang terletak di kampung halamannya di Grafton, Virginia Barat, serta di gedung serbaneka Wanamaker di Philadelphia, tempat dia tinggal pada masa itu.

Oleh sebab itu, Anna Jarvis kemudian mula menulis surat kepada akhbar dan ahli politik untuk menjadikan Hari Ibu ini sebagai cuti umum.

Dijadikan hari rasmi oleh kerajaan

Screenshot 2026 05 07 151157Anna jarvis

Memandangkan sambutan Hari Ibu yang dikendalikannya itu mendapat sambutan yang memberangsangkan, banyak gereja dari bandar dan negeri lain turut mengadakan sambutan Hari Ibu ini pada tahun 1912. Kejayaan tersebut telah mendorong Jarvis telah menubuhkan Persatuan  Hari Ibu Antarabangsa

Kempen tersebut telah membuahkan hasil pada tahun 1914, apabila Woodrow Wilson yang memegang jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat pada waktu itu telah menandatangani rang undang-undang secara rasmi dan mengisytiharkan bahawa hari Ahad kedua pada bulan Mei sebagai Hari Ibu.

Mula kecewa ‘niat’ sebenar Hari Ibu dah mula menyimpang

Pada mulanya, Anna Jarvis menganggap Hari Ibu ini hanyalah sebagai sambutan secara tertutup antara seorang anak bagi menghormati dan menyayangi ibu mereka dan ia bukannya satu perayaan.

Tidak lama kemudian, Anna Jarvis mula rasa kecewa apabila Hari Ibu ini mula tertumpu kepada pembelian dan pemberian kad bercetak, bunga, gula-gula dan hadiah lain. Pendek kata nilai sempena Hari Ibu itu sudah semakin pudar.

Oleh sebab itu, Anna Jarvis berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan nilai murni tersebut dan beliau mula berkempen secara terbuka dengan menentang para peniaga manisan, kedai bunga dan mana-mana peruncit yang menggunakan Hari Ibu untuk mengaut keuntungan.

Anna Jarvis juga turut melakukan banyak tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menggunakan nama Hari Ibu itu dan perkara ini membuatkan beliau kehabisan sejumlah wang simpanan yang banyak untuk menampung kos guaman.

Pada tahun 1925, apabila ada sebuah organisasi yang dipanggil American War Mothers menggunakan Hari Ibu sebagai kesempatan untuk mengumpul dana dan menjual bunga teluki, Anna Jarvis telah ‘menyerang’ pertubuhan tersebut di Philadelphia dan beliau telah ditangkap kerana mengganggu ketentaraman awam.

Anna Jarvis juga pernah menyerang ‘First Lady’ Eleanor Roosevelt kerana menggunakan Hari Ibu sebagai kesempatan untuk dana amal.

Menjelang 1940-an, Jarvis telah menggesa agar cuti itu ditarik semula, malah beliau melakukan demonstrasi terhadap kerajaan agar cuti Hari Ibu itu dikeluarkan daripada kalendar.

Anna Jarvis

Walau bagaimanapun, usahanya tidak membuahkan hasil kerana Hari Ibu telah sebati dalam strategi perniagaan untuk mengaut keuntungan. Anna Jarvis yang pada waktu itu dalam keadaan hampir miskin, tidak pernah mendapat keuntungan daripada sambutan yang dia sendiri cipta.

Pada tahun 1948, Anna Jarvis dilaporkan meninggal dunia di Marshall Square Sanitarium di Philadelphia. Niatnya yang mahu menjadikan Hari Ibu hanya sekadar hari biasa untuk meraikan para ibu telah merubah menjadi satu bahan komersial bagi syarikat untuk meraih keuntungan.

Sumber : History.com, remarkablewomanstories.com

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |