Persiapan akhir bagi penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 kini giat dilaksanakan menjelang pembukaannya kepada orang ramai dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang.

Perkembangan terkini persiapan MAHA 2026 dikongsikan sempena sesi Media Tour MAHA 2026 bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, di MAEPS hari ini. Sesi tersebut memberi peluang kepada rakan-rakan media untuk meninjau sendiri persiapan serta kemudahan yang sedang disiapkan.
YB Menteri turut meninjau keseluruhan tapak dan ruang MAHA 2026, dengan tahap persiapan keseluruhan kini mencapai kira-kira 80 peratus menjelang pembukaan kepada orang ramai.

MAHA 2026 membawa tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” dan akan menghimpunkan keseluruhan ekosistem agromakanan negara, merangkumi petani, penternak, nelayan, usahawan, pemain industri, penyelidik, pelabur, belia serta masyarakat umum.
Penganjuran kali ini memberi penekanan kepada teknologi, inovasi, pertanian pintar, peluang perniagaan dan pasaran antarabangsa, di samping menyediakan pengalaman mesra keluarga melalui pelbagai aktiviti pendidikan, interaktif, makanan, hiburan dan rekreasi.
Antara tarikan utama yang boleh diterokai pengunjung ialah MAHA Go Global, International Country Pavilion, Exporter’s Club, Agrotech, Agro Masterclass & Competition, Pameran Mekanisasi, Kingdom of Agrofood, Food Truck Fiesta, Pavilion Negeri dan Kiddies Wonderland.

Pengunjung turut boleh menerokai pelbagai Laman Agrofood yang mengetengahkan sektor florikultur, sayur-sayuran, herba, kelulut, veterinar, perikanan, padi, nanas serta smart farming.

Pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti Floating Market, Sukan Rakyat, Rewang Warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF) serta pertunjukan cahaya, laser dan dron pada waktu malam.
Dari segi penyertaan dan impak ekonomi, MAHA 2026 menyasarkan kehadiran sekitar 4 juta pengunjung dan penyertaan kira-kira 2,000 pempamer dari dalam dan luarmnegara. Penganjuran ini turut menyasarkan sekurang-kurangnya RM58 juta jualan langsung, manakala potensi pelaburan dan perdagangan dianggarkan mencecah RM8 bilion. Penglibatan belia pula disasarkan sekitar 800,000 orang.
Menerusi MAHA Go Global, penyertaan dari 14 negara luar akan dibawa ke MAHA 2026, selain kehadiran 40 international buyers yang terdiri daripada pemborong, pengedar dan peruncit. Inisiatif ini bertujuan membuka lebih banyak peluang jaringan dan pasaran kepada usahawan tempatan, khususnya bagi produk yang bersedia untuk dieksport.

MAHA 2026 turut mendapat sokongan Rakan Strategik yang terdiri daripada Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) sebagai penaja utama, BERNAS, NAFAS, NEKMAT, Mitsubishi Motors Malaysia, Ehh Food Industry, Denso Malaysia, Asas Synergy Enterprise (Tupperware), ARC Berkat Agro Food, Aafiyat Holdings dan Syarikat Hang Tuah.
Berlangsung dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan, MAHA 2026 turut menganjurkan sambutan Ambang Merdeka bagi memberi peluang kepada pengunjung meraikan semangat patriotik bersama keluarga.
Sektor agromakanan juga akan tampil dalam Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2026 menerusi penglibatan kira-kira 100 peserta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sebuah kereta berhias bertemakan pertanian dan keterjaminan makanan serta jentera pertanian terkini.
Dengan kemasukan percuma, MAHA 2026 dijangka menjadi platform yang bukan sahaja memberikan pengalaman dan pengetahuan kepada pengunjung, malah membuka peluang kepada usahawan, pemain industri dan golongan muda untuk meneroka potensi serta perkembangan sektor agromakanan negara.

Orang ramai, khususnya keluarga, golongan muda, usahawan dan pemain industri, dijemput hadir ke MAHA 2026 di MAEPS, Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September 2026, jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bagi menyaksikan sendiri perkembangan, inovasi dan peluang yang ditawarkan oleh sektor agromakanan negara.

7 hours ago
5






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















