Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima suapan bernilai RM1.097 juta berhubung kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Ahli Parlimen Tapah berusia 58 tahun itu memohon untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Artikel berkaitan: DBKL Dedah Jenis Barang Lepas Dituduh Terima Rasuah Sebab Pulangkan Semula Barang Sitaan Kepada Penjaja
Artikel berkaitan: Daripada Pengasas Gojek Ke Kerusi Pesalah, Ini Kronologi Kes Rasuah Nadiem Makarim Yang Buat Ramai Terkedu
“Tidak mengaku, minta dibicara,” katanya ketika berdiri di dalam kandang tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, Timbalan Presiden MIC itu didakwa secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, menerusi seorang individu dikenali sebagai Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
Bagi transaksi bernilai RM597,000, suapan berkenaan diterima melalui sekeping cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.

Menerusi pertuduhan tersebut, wang suapan berkenaan didakwa sebagai dorongan untuk Saravanan yang pada ketika itu memegang jawatan Menteri Sumber Manusia, meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi pihak syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu sebuah resort golf di Bukit Jalil, Jalan Telawi 3 Bangsar, serta sebuah cawangan bank di Jalan Klang Lama antara 16 Jun 2022 dan 7 Julai 2022.
Bagi kesemua pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana jumlah yang lebih tinggi.
Pasukan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Saravanan diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.
Prosiding berkenaan turut dihadiri oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran bersama isteri Saravanan, Datin Seri Kavitha Vivekanandan bagi memberikan sokongan.
Sumber: Berita Harian

9 hours ago
10






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















