Kerajaan mengakui krisis bekalan global masih memberi tekanan kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia susulan ketidaktentuan geopolitik, kenaikan kos logistik dan gangguan rantaian bekalan.
Dalam taklimat Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil 10/2026, Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir memaklumkan Malaysia masih berada dalam keadaan stabil, namun perkembangan semasa perlu dipantau rapi kerana ia boleh memberi kesan kepada kos pengeluaran, harga barang, operasi perniagaan dan kehidupan rakyat.

Antara perkembangan utama yang dibentangkan:
- Harga minyak mentah Brent turun 8.5% kepada AS$108.40 setong, tetapi masih tinggi berbanding sebelum krisis global tercetus
- Harga gas asli cecair (LNG) menurun 1.5%
- Harga arang batu hampir tidak berubah, meningkat marginal 0.1%
- Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 2.75% oleh Bank Negara Malaysia
- Inflasi keseluruhan suku pertama 2026 berada pada 1.6%
- Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang 5.3%

Sektor pembuatan terus berkembang
Malaysia mencatatkan bacaan Pembuatan S&P Global Malaysia (PMI) pembuatan tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 51.6 pada April 2026. Ini menunjukkan aktiviti pengeluaran masih berkembang walaupun firma mula berdepan tempoh penghantaran pembekal lebih panjang.
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pula meningkat 3.1% dipacu sektor pembuatan terutama subsektor eksport seperti komputer, produk elektronik dan optikal.
Harga makanan masih terkawal, tapi ada barang mula naik
Kerajaan memaklumkan harga makanan secara keseluruhan masih dalam julat terkawal, namun beberapa bahan mentah menunjukkan peningkatan harga.
Antaranya ialah:
- Ikan kembung – RM17.42 sekilogram
- Udang putih – RM32.11 sekilogram
- Sawi – RM7.23 sekilogram
- Santan kelapa segar – RM16.88 sekilogram
Dalam masa sama:
- Harga daging lembu turun 1.4% – RM25.88 sekilogram
- Harga ayam standard kekal sekitar RM9.50 sekilogram
MTEN turut menyuarakan kebimbangan kerana rakyat di sesetengah kawasan terutama luar bandar sudah mula merasai tekanan kos sara hidup.
Rakyat mula ubah gaya hidup
Penggunaan pengangkutan awam juga meningkat pada April 2026:
- Penumpang rel meningkat 7.6% – 1,085,580 penumpang sehari
- Penumpang bas meningkat 10.3% – 227,448 penumpang sehari
Menurut kerajaan, perubahan ini menunjukkan rakyat mula memilih cara lebih menjimatkan dalam mengurus perbelanjaan harian.

Peniaga kecil antara paling terkesan
YAB Perdana Menteri dan ahli MTEN turut memberi perhatian kepada tekanan yang dihadapi peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro akibat peningkatan kos operasi serta masalah aliran tunai.
Susulan itu:
- MARA mengurangkan kadar sewa 20% melibatkan lebih 7,135 premis bermula Mei 2026.
- DBKL pula mengurangkan sewa sehingga 50% bagi tapak penjaja dan premis tertentu sehingga 31 Disember 2027.
- Kerajaan Negeri Selangor dijangka mengumumkan peratusan pengurangan dalam masa terdekat.
Kerajaan turut menggesa lebih banyak PBT dan kerajaan negeri melaksanakan pengurangan sewa secara bersasar bagi membantu peniaga terus bertahan.

Artikel berkaitan: Menteri Ekonomi Tinjau Projek Infrastruktur Di Kedah: Pelaksanaan Projek Pembangunan Perlu Sampai Kepada Rakyat
Artikel berkaitan: Mengharungi Gelombang Krisis Bekalan Global, Strategi Berfasa Malaysia Membina Ketahanan Ekonomi
Dashboard khas bakal dilancar
Dalam perkembangan sama, kerajaan akan melancarkan Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global bermula 15 Mei 2026.
Platform itu dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi memudahkan rakyat memantau perkembangan berkaitan:
- tenaga
- komoditi
- kos sara hidup
- ekonomi semasa
- kadar pertukaran wang asing
- aliran perdagangan
Kerajaan menegaskan sebarang pelarasan dasar selepas ini akan dibuat secara berhati-hati dan bersasar demi memastikan bekalan kekal stabil serta rakyat terus dilindungi.
Sumber: MTEN

7 hours ago
11






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















