Baru-baru ini, tular spekulasi dalam kalangan netizen yang melahirkan rasa bimbang melihat keadaan fizikal seekor gajah jantan dari Malaysia bernama Kelat, yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun. Mana tidaknya, ada dakwaan yang mengatakan gajah tersebut mengalami masalah mata dan diabaikan kebajikannya di sana.
Bagaimanapun, pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) telah pun tampil memberikan penjelasan sebenar bagi menjawab segala keraguan orang ramai.
Bukan Sakit Mata, Tapi Perubahan Hormon Semula Jadi
Presiden MPT, Mohamed Akmal Dahalan, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Kelat mengalami masalah mata. Menurut beliau, perubahan visual di sekitar mata gajah jantan itu sebenarnya berpunca daripada pembengkakan kelenjar temporal ketika haiwan tersebut melalui fasa musth.

Untuk info korang, fasa musth ialah satu fasa biologi semula jadi yang berlaku pada gajah jantan dewasa di mana mereka akan mengalami perubahan hormon yang sangat tinggi, terutamanya peningkatan testosteron.
“Dalam tempoh ini, perubahan paras testosteron boleh menyebabkan gajah menjadi lebih aktif, sensitif atau agresif daripada biasa.
Keadaan ini normal dan sedang dipantau rapi oleh penjaga haiwan serta doktor veterinar. Dakwaan bahawa Kelat mengalami masalah mata adalah tidak tepat,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pembengkakan kelenjar temporal tersebut sememangnya boleh memberi sedikit tekanan di kawasan sekitar mata gajah jantan yang matang, namun ia adalah tindak balas fisiologi yang lazim.
Berat Badan Makin Naik, Tiada Isu Pembiakan Paksa!
Menolak dakwaan bahawa kebajikan gajah-gajah Malaysia di sana terabai, MPT berkongsi berita gembira di mana kesemua tiga ekor gajah kita iaitu Kelat, Dara, dan Amoi sebenarnya berada dalam keadaan stabil malah semakin ‘buntat’ sejak berpindah ke Jepun!
“Pemerhatian harian menunjukkan tahap kesihatan, selera makan, tingkah laku dan aktiviti harian mereka dalam keadaan baik, termasuk peningkatan berat badan sejak ditempatkan di Zoo Tennoji,” katanya.
Berdasarkan rekod, gajah betina bernama Dara mencatatkan peningkatan berat sebanyak 235 kilogram (kg), manakala Amoi meningkat 220kg. Kelat pula mencatatkan pertambahan berat badan yang paling ketara iaitu sebanyak 460kg!
Dalam masa yang sama, MPT turut menafikan dakwaan kononnya wujud aktiviti ‘pembiakan secara paksa’ terhadap gajah-gajah tersebut di Zoo Tennoji.
“Aktiviti seperti itu tidak pernah berlaku dan dilarang sama sekali di bawah terma serta syarat MoU berkenaan,” tegasnya yang menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan bertentangan dengan Memorandum Persefahaman (MoU) kedua-dua pihak.
Isu Gading Kelat Tertanggal
Bagi memastikan Kelat sentiasa berada dalam keadaan terbaik sepanjang fasa musth ini, beberapa langkah pengurusan khas telah dilaksanakan termasuklah pemantauan tingkah laku harian, pemeriksaan veterinar berkala, pengasingan terkawal, serta program pengayaan persekitaran.
Mengenai isu serpihan gading Kelat yang ditemui di dalam kandang baru-baru ini, pihak pengurusan zoo mempercayai bahawa ia telah tertanggal secara semula jadi.
“Pemeriksaan veterinar mendapati tiada kecederaan serius atau pendarahan dan keadaan Kelat kekal stabil. Kawasan terbahair kini dipantau rapi bagi memastikan tiada jangkitan atau komplikasi,” jelasnya lagi.
MPT menegaskan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan pihak Zoo Tennoji bagi memastikan kebajikan, kesihatan, dan pengurusan kesemua gajah Malaysia di sana sentiasa berada pada tahap yang terbaik.
Sumber: Berita Harian

6 hours ago
13






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















