Fenomena Languishing: Ramai Anak Muda Rasa Hidup Makin Kosong, Tapi Tak Jumpa Punca Sedih

13 hours ago 7

Pernah tak korang berdepan dengan satu perasaan yang mana, korang tak sedih, tapi korang tak juga rasa bahagia? Dan bila korang cuba cari sebab untuk merasa sedih, tak ada pun momen atau mana-mana kisah yang boleh menjelaskan perasaan tersebut.

Menurut portal antarabangsa, sepanjang tempoh pandemik berlangsung, kita berdepan dengan pelbagai emosi yang seiring dengan pola perubahan kadar kes Covid-19. Ditambah pula dengan kita banyak menghabiskan masa dengan media sosial sehinggakan ia memberi pengaruh besar terhadap persepsi dan pengalaman kehidupan seharian kita.

Dalam pada masa yang sama, kebanyakan kita juga berharap yang kita akan kembali menjalani kehidupan seperti sebelum berlakunya fasa sekatan pergerakan berskala besar.

Namun, bila kehidupan mula kembali berjalan seperti biasa, ramai mendapati yang perasaan ‘biasa’ sebelum dahulu tidak hadir sepenuhnya. Anehnya, ia bukan satu perasaan takut atau cemas yang mendominasi, tapi juga bukan kegembiraan seperti yang diharapkan, seolah-olah ada yang hilang tapi tak dapat dikenal pasti apa.

Jadi persoalannya di sini adalah, fenomena apa sebenarnya yang dialami oleh kebanyakan anak muda hari ini?

Artikel Berkaitan: Hari Epilepsi Sedunia: Ini Fakta Penting Tentang Epilepsi Yang Korang Patut Tahu – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Jatuh Cinta Pandang Pertama Ni Real Ke? Ini Penjelasan Saintifik Disebaliknya – Lobak Merah

Apa itu languishing

3 1

Sejak fasa pandemik bermula, ramai anak muda sebenarnya bergelut dengan languishing, iaitu satu keadaan emosi di mana seseorang tidak tertekan, tapi tidak juga merasa bahagia. Mereka masih boleh berfungsi, berinteraksi dan meneruskan kehidupan, namun tiada satu sifat keterujaan atau kepuasan yang hadir dalam hidup mereka.

Languishing ini juga merujuk kepada keadaan emosi apabila seseorang itu berasa kosong, lesu dan sukar untuk memberi tumpuan. Situasi tersebut tidak meletakkan kita dalam keadaan yang tertekan atau berasa cemas, tapi dalam pada masa yang sama, kita juga tidak berkembang atau merasa positif.

Perasaan ini biasanya berlaku apabila terdapat gabungan beberapa faktor yang telah menjejaskan kehidupan kita, termasuklah tekanan harian yang berterusan tanpa henti, keperluan asas seperti tidak dapat makanan yang mencukupi serta kekurangan hubungan sosial.

Semua ini boleh membuatkan kita rasa lesu, kosong dan sukar untuk merasai kepuasan walaupun semasa melakukan aktiviti yang biasanya menyeronokkan kita.

Beza languishing dan kemurungan

4 1

Dalam kajian ini, terdapat satu pandangan dari ahli sosiologi yang mencipta languishing dan menjelaskan ia adalah keadaan emosi yang berlawanan dengan flourishing, iaitu keadaan di mana seseorang mempunyai emosi positif dan berfungsi dengan baik secara mental dan sosial.

Difahamkan, languishing ini juga berbeza dengan kemurungan. Kedua-duanya memang boleh buat seseorang rasa kosong, lesu dan hilang motivasi, bahkan cenderung untuk menjauhkan diri daripada orang tersayang.

Tapi, languishing biasanya hanya akan ‘melemahkan’ kegembiraan dan keterujaan seseorang saja. Bagi yang mengalami kemurungan pula sukar untuk berasa gembira dalam apa jua keadaan pun dan keadaan ini disertai dengan sukar untuk tidur, hilang selera makan serta hilang fokus.

Walaupun perasaan languishing ini tidak dianggap sebagai penyakit mental, namun ia boleh meningkatkan risiko menghidap masalah mental dan selalunya individu yang mengalami languishing ini juga akan sukar untuk mengakui perasaan mereka.

Menurut pakar psikoterapi, Lauren Demshar Abbott, beliau berpendapat yang mungkin dengan memberi nama kepada keadaan emosi itu boleh membantu individu-individu yang sedang mengalami masalah ini.

Dengan menamakan keadaan emosi ini serta menerima yang emosi itu adalah normal, ia boleh memberi kawalan kepada emosi tersebut.” 

Jadi memandangkan kehidupan kita penuh dengan ketidakpastian, ditambah pula dengan pelbagai emosi yang kita sendiri pun tak boleh nak kenalpasti, jadi apa yang kita boleh lakukan untuk keluar daripada keadaan emosi ini demi kesejahteraan mental secara menyeluruh?

Utamakan penjagaan diri 

6

Sebenarnya, tiada cara yang paling tepat sekali untuk keluar daripada lohong languishing ini. Cuma kalau kita dapat berikan lebih masa untuk penjagaan diri, secara tak langsung fizikal, mental dan emosi kita pun akan menjadi lebih sihat.

Ada juga yang mengikut trend penjagaan diri seperti mana yang ditayangkan di sosial media, namun tak semua boleh memberi kesan yang sama pada kita, terutamanya bila ia tidak bersesuaian dengan gaya hidup kita.

Jadi antara aktiviti-aktiviti penjagaan diri yang mudah untuk semua adalah seperti mencari aktiviti yang betul-betul buat kita rasa segar dan tenang, walaupun sederhana. Contohnya dengan memasak makanan kegemaran korang, dengar muzik, atau mungkin berbual selalu dengan kawan-kawan sekeliling korang.

Janji lepas aktiviti tersebut dibuat, tanya diri sendiri, adakah aktiviti ini semua membuat korang rasa lebih baik?

Sebab andai kata kalau lakukan aktiviti yang memerlukan tenaga yang banyak, biarpun mental atau fizikal sekalipun, ianya hanya akan menambah lagi perasaan languishing yang sudah sedia ada.

Cari rentak dalam aktiviti yang disukai 

5 1

Satu cara lain untuk keluar daripada languishing adalah dengan cari rentak dengan aktiviti-aktiviti tersebut.

Bila kita terlalu kusyuk atau seronok dengan aktiviti tersebut, kita seakan-akan lupa dengan pergerakan masa. Secara tak langsung, keadaan ini akan membuatkan kita rasa lebih gembira dan sentiasa menantikan momen yang bakal tiba.

Namun, tak semua orang boleh fokus dengan satu aktiviti demi nak mencari ‘flow’ tersebut, memandangkan lain orang lain cara. Jadi, apa yang korang boleh buat adalah dengan menvariasikan aktiviti penjagaan diri supaya korang tak bosan.

Sebagai contoh, boleh cuba aktiviti santai macam berjalan di taman atau kawasan semula jadi untuk dapatkan suasana yang lebih segar. Aktiviti macam ni bukan sahaja menyeronokkan, tetapi sebagai cara untuk kita berehat daripada rutin harian yang membosankan iaitu pergi kerja dan balik rumah saja.

Bila kita banyak aktiviti-aktiviti yang mengutamakan diri kita, minda kita pun tidak terlalu terperap dengan pemikiran negatif. Secara tak langsung, perkara ini boleh ubah perspektif dengan menghargai apa yang ada pada sekeliling kita.

Tapi dalam apa keadaan sekalipun, perasaan ini akan bersifat sementara dan akan berlalu seiring dengan masa. Pastikan sentiasa percaya dengan segala usaha dan proses yang dilakukan, secara perlahan-lahan nanti korang akan dapat semula tenaga, motivasi dan kegembiraan yang suatu ketika dahulu pernah hilang. Janji kena kekal positif, okay!

Sumber: Froedtert, Healthline

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |