“Saya tunggu tak datang-datang” – Peniaga Sebak Kenang 4 Sahabat Sempat Pesan Beli Jajan Sebelum Tragedi Lemas

22 hours ago 18

Seorang peniaga jajan tidak menyangka pertemuan biasa dengan empat kanak-kanak menjadi kenangan terakhir sebelum mereka ditemui lemas akibat terjatuh dalam longkang di Taman Desa Karangan, Sungai Karangan, Kulim dalam kejadian malam tadi.

Peniaga Norliza Mohamad, 58, berkata dia masih teringat pertemuan terakhir bersama kanak-kanak berkenaan sekitar jam 4 petang semalam.

Menurutnya, mereka datang membeli jajan dan salah seorang mangsa, Naufan sempat memberitahu mahu makan aiskrim goreng selepas selesai bermain bola.

“Semalam mereka datang beli jajan, Naufan pula mahu makan aiskrim goreng.

“Mereka beritahu akan datang ambil lepas main bola, tapi saya tunggu tak datang-datang,” katanya.

Empat kanak-kanak yang terlibat ialah Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.

Norliza berkata, keempat-empat mereka kelihatan ceria dan bersemangat untuk bermain bola sepak walaupun ketika itu hujan.

Katanya, dia mengenali kesemua kanak-kanak berkenaan sejak kira-kira dua tahun lalu kerana sering menjual jajan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Mereka sangat rapat, memang satu geng malah baik serta hormat kepada orang tua.

“Saya terkilan sebab tak dapat serahkan aiskrim goreng itu, tapi saya reda dengan pertemuan terakhir kami,” katanya.

Screenshot 2026 09 15 174102

Artikel berkaitan: 4 Kanak-kanak M*ut Lepas Cuba Ambil Bola Dalam Longkang, Ibu Luluh Lihat Jenazah Anak

Artikel berkaitan: “Balik la abey…” – Adik Khairil Jatuh Longkang Belum Ditemui, Bapa Sanggup Redah Aliran Deras

Sementara itu, penduduk mendakwa keempat-empat kanak-kanak berkenaan dipercayai cuba mengambil bola yang hanyut dalam longkang sebelum mereka terjatuh. Longkang berkenaan dilaporkan mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter.

Hasil tinjauan di lokasi mendapati, jarak antara padang bola dengan lokasi kanak-kanak itu ditemukan lemas adalah kira-kira 100 meter.

Lebih menyayat hati, masih terdapat sebiji bola yang dipercayai milik mereka serta seluar salah seorang mangsa di dalam longkang tersebut.

Dikebumi satu liang

Sementara itu, jenazah empat kanak-kanak terbabit selesai menjalani proses bedah siasat.

Keempat-empat jenazah akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Karangan.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |